Oleh: Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam
Isu buli yang membarah dalam kalangan pelajar sekolah sejak sekian lama perlu dinoktahkan. Tidak dinafikan pelbagai inisiatif telah diambil dalam menangani isu sosial ini melalui pelaksanaan kempen dan program kesedaran. Selain itu, kewujudan portal aduan buli menunjukkan iltizam kuat pihak kerajaan dalam menangani permasalahan sosial ini.
Pelbagai cadangan yang dikemukakan dalam menangani isu ini turut mendapat perhatian semua pihak. Jaminan bahawa setiap kes buli di sekolah akan disiasat dalam tempoh yang segera merupakan satu tindakan yang wajar dipuji dan disambut baik. Begitu juga inisiatif untuk menambah bilangan warden yang memantau perilaku buli dalam kalangan pelajar yang dilihat tepat pada masanya kerana kes buli yang semakin membarah.
Namun begitu, isu besar dalam fenomena buli masih berkait dengan perkara asas iaitu ketidakfahaman masyarakat mengenai apa itu buli. Masyarakat masih lagi beranggapan bahawa buli hanya melibatkan sentuhan fizikal. Malah, kebanyakan kes buli yang dilaporkan di media massa dan sosial lebih menumpu kepada buli secara fizikal yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Hakikatnya, buli tidak hanya melibatkan sentuhan fizikal, bahkan turut berlaku secara lisan. Antara perilaku buli ini adalah mengejek, mengugut, menghina, dan memfitnah. Bagi kategori buli jenis lisan ini, perilakunya lebih sukar untuk dikesan. Ini kerana buli secara lisan tidak mendatangkan sebarang kecederaan fizikal kepada mangsa buli, namun ia memberi kesan psikologi. Kebiasaannya, mangsa buli mengalami kesan psikologi seperti rendah nilai diri, menyendiri, mudah berasa bimbang, mengalami tekanan dan kemurungan.
Masyarakat cakna
Sikap tidak cakna segelintir kelompok masyarakat juga menyulitkan usaha dalam menoktahkan fenomena buli di sekolah. Tahap kesedaran yang rendah sentiasa dikaitkan sebagai punca utama masyarakat menjadi kurang peka kepada buli dan kesan buruknya. Buli hanya menjadi topik perbincangan utama apabila ada kes yang dilaporkan dan menjadi tular di media sosial. Namun, selepas seketika, ianya semakin dilupakan dan keadaan menjadi seperti sedia kala. Apabila muncul kes buli yang baharu, ianya kembali hangat diperkatakan. Kitaran peristiwa ini memperlihatkan satu keperluan mendesak untuk meningkatkan kepekaan masyarakat. Masyarakat yang cakna terhadap isu buli tidak hanya mampu mengenali tanda-tanda buli, bahkan turut menjadi lebih empati dan memberi sokongan awal kepada mangsa buli.
Lebih merisaukan adalah apabila perilaku buli menjadi normalisasi dalam masyarakat. Sekiranya perkara ini berlaku, ia sudah mencapai satu tahap defisit sosial yang kronik. Hal ini kerana menjadi kekhuatiran apabila perilaku negatif ini mulai diterima sebagai perkara yang biasa dan lazim dalam segenap lapisan masyarakat. Justeru, perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak agar isu buli ini tidak menjadi barah tahap 4 yang tidak lagi dapat diubati.
Dalam mewujudkan generasi penamat buli, beberapa inisiatif yang berpaksikan kepada penyertaan masyarakat boleh dilaksanakan. Pertama, satu naratif baharu dalam penyampaian ilmu perlu dibangunkan. Misalnya, platform digital seperti media massa dan sosial seharusnya dimanfaatkan untuk menyampaikan perkongsian pengalaman oleh pembuli atau mangsa buli yang boleh menjadi kisah teladan dalam memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap bahaya buli. Bahkan, elemen kreatif dan artistik boleh disuntik dalam penghasilan kempen antibuli yang interaktif di media sosial dan arus perdana terutamanya ketika waktu kemuncak siaran televisyen seperti segmen berita sehingga mampu memupuk pemahaman yang lebih mendalam.
Kedua, pihak kerajaan boleh mewujudkan satu minggu khas untuk kesedaran antibuli di peringkat kebangsaan. Mengambil contoh yang dilaksanakan di United Kingdom saban tahun, Minggu Anti-Buli Kebangsaan pada tahun ini berlangsung dari 13 hingga 17 November 2023. Dengan tema “Make A Noise About Bullying”, pihak sekolah dan komuniti di seluruh negara akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan mesej antibuli. Masyarakat perlu terus menerus ‘membisingkan’ atau ‘membingitkan’ antibuli supaya fenomena ini terus mendapat perhatian.
Ketiga, penyertaan aktif masyarakat perlu dirancakkan dengan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO). NGO mampu berperanan penting dalam membangun dan melaksanakan kempen kesedaran untuk mendidik ahli masyarakat yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa, sekolah, dan kejiranan tentang pelbagai jenis buli, kesannya, dan strategi untuk mencegahnya. Bagi mencapai hasrat ini, ganjaran berupa pemberian dana khas boleh diberikan kepada NGO yang aktif mempromosi kempen antibuli. Selain itu, pemain industri perlu terlibat aktif dalam mempromosikan antibuli. Syarikat telekomunikasi yang giat menjalankan kempen antibuli juga perlu diberikan satu bentuk insentif seperti mengurangkan cukai perniagaan.
Akhir sekali, masyarakat perlu sedar dan peka bahawa buli adalah satu bentuk jenayah yang perlu diberikan hukuman yang setimpal. Mengambil kira kesan buli kepada mangsa yang boleh mengakibatkan kecacatan tubuh badan, kecederaan parah, dan ada kes kematian, hukuman buang sekolah yang lazimnya dikenakan ke atas pembuli wajar dinilai semula. Bentuk hukuman yang setimpal adalah perlu dalam menyedarkan ahli masyarakat tentang keseriusan isu sosial ini dan peri penting mewujudkan generasi penamat buli.
--BERNAMA
Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam ialah Penyelidik Bersekutu, IPSAS dan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.