TINTA MINDA

PRODUK BUATAN MALAYSIA SETANDING PRODUK ANTARABANGSA – TEKNOLOGI SUKAN MALAYSIA PERLU DIANGKAT MELALUI MODEL QUADRUPLE HELIX

29/11/2023 06:43 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Seringkali kita dengar makmal-makmal di Malaysia yang menggunakan produk antarabangsa menjadi 'projek gajah putih’ berikutan kerosakan peralatan yang memerlukan peruntukan kos yang tinggi untuk memperbaikinya kerana menggunakan kepakaran antarabangsa ataupun kos penyelenggaraan terhadap alatan teknologi tersebut.

Ini menyebabkan kelestarian program teknologi sukan di Malaysia tidak dapat dilakukan dengan baik. Malahan produk antarabangsa yang dilanggan perlu diperbaharui lesen setiap tahun yang memerlukan penyediaan kos dalam bajet kewangan tahunan.

Produk teknologi luar negara sering diangkat sedangkan ramai anak tempatan yang dilatih oleh institusi-institusi kemahiran teknologi dan kejuruteraan di Malaysia, berkebolehan dan berkemampuan untuk melaksanakan pembangunan rekacipta inovasi dan teknologi dengan baik.

Namun, mereka tidak diberi peluang pekerjaan yang spesifik sebagai pembangun alat teknologi sukan melainkan memilih untuk menjadi seorang usahawan sepenuh masa. Apabila dikaitkan tentang teknologi, ia pasti melibatkan sejumlah bajet kewangan yang tinggi yang biasanya menjadi kekangan utama bagi usahawan-usahawan yang baharu hendak bermula dalam dunia perniagaan.

Produk buatan Malaysia adalah sangat penting dalam memastikan kelestarian aplikasi teknologi sukan di Malaysia. Prototaip teknologi sukan yang baik perlu diberi bimbingan sehingga berjaya terjual dan digunakan oleh semua pihak terutamanya komuniti setempat.

Kita semua tahu untuk mengkomersialkan sesebuah produk teknologi memerlukan tempoh masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi tambahan produk yang melibatkan aplikasi teknologi 4.0 seperti sistem, sensor dan database.

Peranan Institusi Sukan Negara

Institut Sukan Negara (ISN) telah melaksanakan inisiatif yang tepat sebagai badan yang melakukan koordinasi kepada semua institusi di Malaysia bagi melaksanakan pembangunan teknologi sukan dengan memberi bantuan kepakaran serta dana untuk memastikan kejayaan produk teknologi sukan tempatan digunakan dan diangkat di Malaysia.

ISN mempunyai unit khas teknologi sukan yang terdiri daripada beberapa kakitangan yang memberi fokus kepada aplikasi teknologi dalam sukan. Ini samalah seperti Proton yang pada peringkat awalan dibantu sepenuhnya oleh kerajaan dalam memastikan kejayaan kereta produk buatan Malaysia yang pertama.

Justeru itu, inisiatif ISN yang bergerak pantas sebagai sebuah badan yang memantau inovasi dan teknologi sukan negara adalah bertepatan. Pelbagai pendekatan seperti persidangan teknologi sukan, majlis anugerah teknologi sukan negara, pusat satelit teknologi sukan negara dan pelbagai lagi telah diadakan bagi menonjolkan lagi pembangunan teknologi sukan yang ada.

Masyarakat umum boleh menyaksikan betapa canggih makmal-makmal teknologi sukan yang ada di institusi itu melalui peruntukan belanjawan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.

Namun ramai yang terlepas pandang, penggunaan makmal-makmal canggih tersebut hanya terhad kepada atlet kebangsaan sahaja terutama yang di sekitar Lembah Klang. Ini berikutan kekangan kewangan yang terhad dalam menyediakan peralatan teknologi canggih itu di setiap daerah dan negeri.

Tidak semua program pembangunan sukan di peringkat akar umbi dapat menggunakan alat teknologi sukan canggih tersebut atas pelbagai faktor kekangan seperti berjauhan dari tempat latihan daerah dan negeri, alatan terlalu mahal untuk disediakan di peringkat negeri, kekurangan tenaga kerja pakar dan fokus tumpuan kepada atlet sukan kebangsaan.

Kerjasama dan peranan universiti dan industri

Sayugia, tanggungjawab berat itu tidak seharusnya hanya digalas oleh ISN, sebaliknya ia perlu dibantu oleh pelbagai pihak seperti universiti dan industri. Pelan strategik ISN melantik Pusat Inovasi Teknologi Sukan UTM sebagai pusat satelit teknologi sukan negara merupakan satu langkah bijak bagi memastikan pembangunan kepakaran dan alatan teknologi sukan dapat dijalankan secara bersama demi kejayaan sukan negara.

Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan Universiti Teknologi Malaysia (SITC UTM) merupakan sebuah pusat kajian pertama yang melakukan penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan sains, inovasi dan teknologi sukan di Malaysia pada 2011.

Penubuhan SITC UTM telah membuka mata pelbagai pihak untuk turut bersama menubuhkan pusat teknologi sukan di Malaysia. SITC UTM mula mengorak langkah dengan melakukan pelbagai usaha, inisiatif dan kerjasama dalam memastikan bidang inovasi dan teknologi sukan di Malaysia terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di peringkat nasional dan antarabangsa.

SITC UTM diasaskan oleh Prof. Dr. Abdul Hafidz Omar dengan matlamat utama memberikan khidmat penyelidikan yang pelbagai dalam melahirkan rekacipta sukan, inovasi sukan, teknologi sukan, kenal pasti bakat sukan, meningkatkan tahap prestasi sukan serta kajian-kajian saintifik sains dan teknologi sukan yang lain.

SITC UTM juga mempunyai makmal hidroterapi, makmal analisis gerakan (motion analysis laboratory), makmal sukan 4.0 serta strength and conditioning laboratory. Pemilihan SITC UTM selaku pusat satelit sukan negara adalah kerjasama strategik dalam memastikan produk buatan teknologi sukan Malaysia di martabatkan.

Secara tuntasnya, era industri revolusi 4.0 membawakan aplikasi teknologi dan kejuruteraan adalah sangat penting pada masa kini. Kita tidak boleh ketinggalan lagi dan bersikap sombong untuk belajar menerima sesuatu yang bermanfaat.

Pelbagai kejayaan yang kita boleh lihat kepada pasukan yang mengaplikasi teknologi sukan seperti pasukan JDT. Kita harus belajar dan bersikap terbuka tentang kepentingan aplikasi sains dan teknologi dalam sukan. Kerjasama semua pihak secara menyeluruh sangat penting dalam memastikan kejayaan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Model Quadruple Helix

Model Quadruple Helix perlu diaktifkan dengan kerjasama bersepadu di antara kerajaan, universiti, industri dan komuniti dalam memastikan skuad negara berjaya memperolehi Emas Olimpik Pertama Dunia dan Bola Sepak Malaysia layak ke World Cup.

Kita boleh belajar dari negara Asia seperti Jepun dan Korea yang cemerlang di peringkat dunia. Dalam tempoh yang singkat Jepun dan Korea mampu menjadi pesaing yang hebat di peringkat antarabangsa dalam pertandingan sukan. Kita juga boleh lihat kejayaan negara luar di mana kerjasama erat universiti dan industri yang membuahkan hasil dan bukan sekadar retorik semata seperti kejayaan pasukan Liverpool FC yang berkerjasama erat dengan Universiti Liverpool John Moores dalam sukan bolasepak. Tanggungjawab ini perlu dijalankan secara ikhlas dan altruism (tidak mementingkan diri) demi melihat kejayaan negara di peringkat antarabangsa.

Akhir kata, kita telah melakukan pelbagai rombakan dalam sistem pendidikan dan pengajian tinggi di Malaysia. Rombakan itu dikatakan mampu melahirkan graduan yang hebat dan berkualiti untuk negara. Namun begitu, akhirnya produk buatan Malaysia yang dilahirkan atas rombakan yang pelbagai tersebut tidak diiktiraf sebagai tenaga kerja yang hebat di Malaysia dan kalah kepada produk antarabangsa. Renung-renungkan bersama.

-- BERNAMA

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip ialah Pengarah Pusat Teknologi Inovasi Sukan, Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia, Universiti Teknologi Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)