TINTA MINDA

TEKNOLOGI PEROLEHAN PINTAR BANTU SEKTOR BINAAN LEBIH TELUS

06/12/2023 09:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr Md. Asrul Nasid Masrom dan Prof. Madya Ts Dr Mohd Faizal Omar

Isu ketelusan dalam pemilihan kontraktor sering kali menjadi topik perdebatan hangat. Ia bukan sekadar menjadi bahan bualan kedai kopi, malah menjadi topik perbincangan dalam kalangan ahli profesional, pemain industri dan ahli akademik.

Industri pembinaan yang dianggap antara nadi kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara, seharusnya terhindar daripada isu-isu berkaitan dengan projek rendah kualiti dan kesilapan dalam perlantikan pasukan projek melalui tender terbuka mahupun secara selektif. Pembangunan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-2025) membuktikan kerajaan begitu serius dalam membangunkan negara dengan lebih efektif berteraskan teknologi.

Apa yang jelas, usaha ini merupakan satu pelan jangka masa pendek (lima tahun) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Pelan strategik ini diperkenalkan selari dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD). Usaha ini juga amat penting dalam menyokong dasar-dasar nasional yang lain seperti Pelan Hala Tuju Strategik Internet of Things (IoT) Kebangsaan, Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Sama ada kita sedar atau pun tidak, kemajuan digital bergerak begitu pantas secara dinamik. Begitu juga dalam sektor pembinaan yang mana teknologi perolehan pintar kian mendapat perhatian.

Kebanyakan ahli profesional percaya bahawa dengan aplikasi sistem perolehan yang efektif ia dapat membantu ke arah kejayaan projek pembinaan secara optimum. Malah, dengan adanya inovasi dalam teknologi, pastinya ia dapat memberi impak positif kepada setiap aspek industri pembinaan secara komprehensif.

Berdasarkan kepada beberapa kajian lepas, terdapat aplikasi digital yang mampu memodenkan proses perolehan sedia ada. Dengan melabur dalam teknologi perolehan pintar sudah pasti ia mampu mengatasi masalah kos projek yang berlebihan, masa yang lama dan kualiti tidak mengikut spesifikasi.

Teknologi perolehan pintar mampu membantu dalam mencapai matlamat syarikat, kekal berdaya saing dalam sektor pembinaan dan seterusnya meningkat pencapaian ekonomi negara. Antara teknologi pintar yang disarankan adalah:

  • Aplikasi pendigitalan di dalam pengurusan pembinaan

Di Malaysia, proses yang penting dalam melonjakkan industri pembinaan yang perlu diutamakan adalah bagaimana untuk mendigitalkan kandungan daripada pengoperasian pengurusan pembinaan secara lebih holistik dan berkesan. Sekiranya sesebuah organisasi telah mencapai tahap pendigitalan yang memuaskan, maka organisasi tersebut mempunyai kelebihan kompetitif berbanding pesaing. Seterusnya dapat memberikan perkhidmatan dengan lebih baik kepada pelanggan. Pendigitalan merupakan langkah awalan terutamanya bagi organisasi atau syarikat berkaitan pembinaan ke arah penggunaan aplikasi digital termaju seperti aplikasi kepintaran buatan, robotik, blok rantai, analitik lanjutan dan lain-lain teknologi terkini.

Selain itu, proses pendigitalan juga penting dalam mengautomasikan pelbagai tugasan manual yang berulang seperti tugas peer-to-peer (P2P), memacu kecekapan, mengurangkan ralat dan risiko dalam pelaksanaan. Penyelesaian digital juga digunakan dalam pemprosesan maklumat, berinteraksi dengan sistem ERP dan menghantar e-mel secara automatik.

Bagi pengekstrakan kandungan dokumen yang berasaskan teks, algoritma pengecaman aksara optik atau lebih dikenali sebagai Optical Character Recognition (OCR) digunakan untuk membaca dokumen tidak berstruktur seperti PDF kontrak, spesifikasi dan bil bahan serta mengekstrak kepingan data kritikal seperti jadual harga, terma pembayaran, terma penghantaran dan klausa penamatan yang akan mengambil masa beberapa hari atau minggu.

Ia juga digunakan untuk mengenal pasti dokumen dan memasukkan data ke dalam sistem. Pengecaman aksara optik telah wujud sejak sekian lama tetapi kurang digunakan dalam perolehan. Dalam membuat invois misalnya, jumlah masa dan wang boleh dijimatkan dengan menggunakan teknologi pengecaman aksara optik dan pemprosesan dokumen pintar dengan betul. OCR sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada transformasi digital selanjutnya dalam sektor pembinaan yang mana ia membantu menjadikan fail tidak berubah, menyunting fail lebih mudah dan juga menghalang kesilapan manusia selain menjimatkan wang dan masa.

  • Pengkomputeran Kognitif dan Kepintaran Buatan

Teknologi pintar perolehan melalui pengkomputeran kognitif dan kepintaran buatan mampu untuk mengumpul, menyimpan, menyusun dan menganalisis semua data pembekal berkaitan perbelanjaan, pengekosan dan pengurusan kontrak kepada proses perolehan.

Selain mengoptimumkan aliran kerja daripada pembuatan pesanan pembelian, pemprosesan invois dan kelulusan, Artificial Intelligence (AI) juga boleh djalankan secara automatik dengan menggabungkan vendor yang betul dan data kontrak untuk pembelian lebih pantas dan optimum selain ia dapat menghapuskan dan menyekat penipuan invois. Bukan itu sahaja, malah ia juga mampu meningkatkan dan menjamin pengurusan kontrak dan populasi data automatik daripada pangkalan data vendor.

Pengkomputeran kognitif juga boleh menyemak vendor dan kontraktor yang tersenarai dalam kontrak. Dengan adanya teknologi ini, pasukan perolehan dapat menghasilkan cadangan tentang kontrak yang harus digunakan dengan lebih efektif, kewangan yang efisien dan data sokongan lain.

  • Teknologi robotik

Teknologi robotik dalam pembinaan bangunan di Malaysia masih lagi baharu. Kepengunaan robotik didorong oleh potensi peningkatan produktiviti, peningkatan keselamatan dan penjimatan kos. Di negara maju, Automasi Proses Robotik atau Robotic Process Automation (RPA) dalam sektor pembinaan merupakan perisian yang mengenali, mempelajari corak dan mampu melaksanakan tugas berasaskan peraturan. Selain itu, RPA juga digunakan di dalam pembinaan bata automatik, percetakan 3D, pemetaan melalui dron, pembinaan konkrit bangunan, pemantauan tapak binaan, penyambungan dan pembuatan logam serta pemeriksaan bangunan.

Walau bagaimanapun, teknologi ini juga membawa cabaran seperti keperluan operator yang mahir, integrasi dengan proses pembinaan sedia ada dan kebimbangan tentang penggantian pekerjaan. Seiring dengan perkembangan teknologi, kita boleh mengharapkan melihat lebih banyak aplikasi robotik yang inovatif dalam industri pembinaan. Dalam konteks Malaysia, bidang ini mempunyai potensi yang cerah untuk diaplikasikan dalam bidang pembinaan secara meluas.

  • Teknologi Blok Rantai

Teknologi Blok Rantai atau Blockchain ialah teknologi berpotensi bagi memberi impak yang besar dalam sektor pembinaan, dan mengurangkan jurang sedia ada dalam pendigitalan perolehan pembinaan. Blockchain dalam perolehan digunakan sebagai perisian selamat tanpa penglibatan pihak ketiga dan semua transaksi diarkibkan dan dilakukan pada lejar digital yang selamat. Sistem ini tidak berpusat dan pihak berkepentingan boleh mengambil bahagian secara langsung dalam urus niaga. Ia membantu dalam penjimatan kos serta pencegahan penipuan.

Ia juga membantu seseorang jurukur bahan menjimatkan transaksi pukal dan kaedah rakaman data, melindungi integriti maklumat digital. Teknologi ini digunakan dalam sistem perolehan dengan memberikan ketelusan dan keselamatan yang lebih efektif. Ia berkemungkinan dapat mempengaruhi banyak aspek pengurusan pembinaan, daripada kontrak, perolehan bahan dan pengurusan aset kepada pembayaran. Kelebihan teknologi Blockchain ini juga dapat memastikan data yang berkaitan dengan projek dapat kekal dilindungi dengan selamat. Maklumat projek secara berpusat boleh diakses dari mana-mana sahaja, yang mana ia boleh meningkatkan kecekapan operasi melalui aplikasi kontrak pintar.

  • Teknologi Realiti Maya

Teknologi Realiti Maya atau Virtual Reality (VR) sedang mengubah industri pembinaan dengan menyediakan visualisasi 3D yang memikat, kolaborasi dalam reka bentuk, dan penyelesaian latihan. Arkitek, jurutera, dan pelanggan dapat meneroka model 3D dengan terperinci dan ia akan membolehkan pemahaman reka bentuk yang lebih baik dan mengenal pasti masalah.

Teknologi VR memudahkan panduan maya, ulasan reka bentuk dan kolaborasi jarak jauh, mengurangkan kesilapan dan masalah komunikasi. Ianya membantu bagi mensimulasikan persekitaran tapak pembinaan, membantu dalam perancangan tapak dan logistik, dan menawarkan simulasi pembinaan untuk pengurusan risiko dan penjadualan projek yang lebih bersesuaian.

  • Data Analitik

Teknologi perolehan pintar yang menggabungkan statistik, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan dengan pelbagai sumber data pihak ketiga untuk meramalkan kemungkinan besar senario untuk turun naik kos, permintaan, risiko pembekal dan membolehkan pembuatan keputusan yang proaktif.

Terdapat beberapa cabaran terdiri daripada isu berkaitan pembekal antaranya kebimbangan kualiti dan data yang tidak tepat. Data analitik memainkan peranan penting pada hampir setiap peringkat proses perolehan. Penggunaan analitik lanjutan boleh mengubah ketiga-tiga bidang utama perolehan seperti perancangan perolehan, penyusunan strategik dan pemilihan pembekal.

Data analitik memberikan nilai utama dalam proses perolehan dengan menyatukan peluang vendor yang menghasilkan peningkatan kos langsung. Ia juga dapat mengenal pasti dan menyediakan analisis sensitif dalam pelbagai senario permintaan.

Kesimpulannya, dengan wujudnya revolusi ini, ia sebagai tanda perubahan yang signifikan bakal berlaku proses perolehan projek pembinaan pada masa hadapan. Oleh itu, kesiapsiagaan perlu diberikan melalui penggunaan teknologi dan juga peningkatan kemahiran serta pengetahuan dalam kalangan pemain industri binaan untuk selari dengan revolusi ini. Dengan adanya teknologi pintar, pastinya pemilihan dapat dijalankan dengan lebih bijaksana dan telus tanpa memihak kepada mana-mana organisasi tertentu.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr Md. Asrul Nasid Masrom ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Prof. Madya Ts Dr Mohd Faizal Omar ialah Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)