TINTA MINDA

HALA TUJU KELANGSUNGAN INDUSTRI AGROMAKANAN NEGARA MELALUI LENSA BELANJAWAN 2024

18/12/2023 09:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Chakrin Utit

Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' merupakan belanjawan tahunan keempat dibentangkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12). Tempoh itu merupakan satu tempoh mencabar dalam proses rancangan pembangunan ekonomi negara, lantaran bayangan pelbagai isu yang merencatkan arah pertumbuhan. Lebih merisaukan, kehadiran isu seperti ketegangan geopolitik dan kejatuhan nilai mata wang telah mendatangkan impak domino kepada situasi keterjaminan makanan. Dari sudut pandangan kasar, isu terbabit mungkin wujud melalui saluran berbeza, tetapi ancamannya terhadap situasi keterjaminan makanan tidak boleh dipandang enteng.

Ketegangan geopolitik contohnya telah membawa kepada gangguan dalam rantaian perbekalan makanan global dan memberikan kesan kepada tingkat ketersediaan makanan. Manakala kejatuhan nilai ringgit pula telah menyebabkan lonjakan harga makanan dan mempengaruhi aspek kebolehcapaian. Berdasarkan situasi gangguan daripada sudut penawaran dan permintaan tersebut, Malaysia kini berhadapan situasi sukar untuk mengukuhkan agenda keterjaminan makanan disebabkan dua daripada empat dimensi utama keterjaminan makanan telah tergugat. Cabaran itu dikukuhkan lagi dengan penurunan Malaysia sebanyak tujuh anak tangga dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, kepada kedudukan 41.

Langkah proaktif Belanjawan 2024

Dalam usaha menangani cabaran yang berbangkit, kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan industri agromakanan negara. Usaha itu dapat dilihat daripada nilai peruntukan langsung yang berjumlah RM2.6 bilion kepada industri agromakanan dan pelbagai peruntukan lain yang berbentuk insentif, kemudahan pinjaman, geran komuniti dan dana pembangunan jaringan jalan. Keseluruhannya, peruntukan berkenaan disasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dalam negara melalui kaedah langsung dan tidak langsung. Bagi kaedah tidak langsung melibatkan aspek guna tanah, keusahawanan, penerapan teknologi pertanian moden, pembangunan komuniti dan infrastruktur.

Peruntukan langsung

Daripada perspektif peruntukan langsung, tumpuan peningkatan kapasiti pengeluaran makanan melalui ikhtiar agenda mampan memberikan kelegaan kepada komuniti pesawah dan nelayan yang merupakan barisan hadapan agenda keterjaminan makanan negara. Dalam usaha merangsang pengeluaran padi dan beras, usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun bakal dimulakan di beberapa kawasan jelapang di Perak, Kedah dan Perlis, di samping tumpuan kepada penanaman padi bukit dan peningkatan insentif tunai pesawah. Bagi golongan nelayan, insentif hasil tangkapan, skim subsidi diesel dan petrol, serta bantuan perumahan dijangka akan meningkatkan tingkat produktiviti pengeluaran perikanan negara.

Selain peruntukan bersasar kepada pesawah dan nelayan, Belanjawan 2024 turut menyasarkan ekosistem industri agromakanan. Ini dapat dilihat melalui galakan bagi meningkatkan kerjasama di peringkat kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan serta pelaksanaan kaedah baharu perolehan baja. Galakan kerjasama di peringkat negeri amat penting disebabkan keupayaan pengeluaran makanan antara negeri yang berbeza.

Sebagai contoh, negeri di koridor Utara mempunyai kelebihan untuk pengeluaran padi dan beras, manakala di sebahagian koridor ekonomi Pantai Timur dan Selatan pula memfokuskan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran. Pelaksanaan kaedah perolehan baja secara tender terbuka pula dilihat akan meningkatkan persaingan dalam kalangan pemain industri, seterusnya mewujudkan harga yang lebih kompetitif. Proses itu juga akan mendorong kepada pertumbuhan pemain industri baja baharu untuk merebut peluang bagi memperoleh tender.

Lebih menarik, belanjawan kali ini turut mengambil pendekatan baharu untuk memperkasa petani melalui penyaluran peruntukan bagi menghadapi kerugian bencana. Ini merupakan satu ‘titik buta’ yang telah mendatangkan kerugian besar kepada prospek pengeluaran makanan dalam tahun-tahun terdahulu. Laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk impak bencana banjir kepada sektor pertanian pada tahun 2022 menganggarkan nilai kerugian sebanyak RM154.5 juta, iaitu 25 peratus daripada jumlah kerugian keseluruhan.

Malahan jumlah yang direkodkan itu lebih tinggi daripada tahun 2021 yang berada di paras RM90.6 juta. Antara peruntukan utama melibatkan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) dan tambahan RM50 juta sebagai dana permulaan Skim Takaful Tanaman Padi untuk tujuan perlindungan sosial dan pampasan dalam tempoh pasca bencana. RM10 juta bagi bantuan kerugian tanaman pertanian (termasuk harta benda) akibat konflik hidupan liar turut diperuntukkan di bawah agenda perlindungan khazanah alam.

Peruntukan tidak langsung

Bagi terus mengukuhkan kapasiti pengeluaran makanan, peruntukan yang berbentuk insentif turut diketengahkan. Ini merangkumi insentif galakan pekebun kecil berjumlah RM90 juta melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk mengoptimum penggunaan tanah ladang bagi penghasilan tanaman makanan dan ternakan. Mengambil contoh program semasa yang dilaksana oleh RISDA, antara skop tanaman makanan yang boleh diusaha melibatkan tanaman jangka pendek seperti sayuran berdaun, tanaman buah-buahan (nanas dan pisang), tanaman herba (serai dan halia), tanaman kontan (jagung dan tebu) dan tanaman makanan ternakan (napier dan jagung bijian). Manakala ternakan pula melibatkan ternakan lembu, kambing, ayam dan ikan air tawar. Insentif itu juga diyakini akan membantu merangsang peningkatan pendapatan sampingan pekebun kecil.k

Melihat kepada sudut kemudahan pinjaman, kerajaan turut memanfaatkan dominasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memperkasa pengeluaran makanan. Langkah itu bertepatan dengan jolokan PMKS sebagai ‘tulang belakang’ ekonomi negara disebabkan ia mewakili 98.5 peratus daripada pertubuhan perniagaan berdaftar di Malaysia. Pecahan mengikut saiz pula menganggarkan 76.5 peratus merupakan perniagaan bersaiz mikro. Melalui kemudahan akses kepada pelbagai dana pembangunan, semestinya ianya akan membuka peluang kepada pengusaha PMKS untuk mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam kalangan penggiat industri agromakanan.

Berdasarkan pengkelasan dana pinjaman mudah mengikut sumber utama, Bank Negara Malaysia (BNM) memperuntukkan sebahagian besar daripada dana tersebut. Sebagai contoh, sejumlah RM798 juta disediakan melalui skim Kemudahan Agromakanan (AF) dengan tujuan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan dieksport. Bagi mengatasi isu jurang pengeluaran tempatan dan permintaan pula, RM100 juta turut diperuntukkan bagi meningkatkan pengeluaran dalaman dan kapasiti import. Peruntukan yang merangkumi kapasiti import adalah selaras dengan situasi imbangan dagangan semasa bagi barangan makanan negara yang terus merekodkan nilai defisit. Keseluruhannya, penyaluran dana dilakukan melalui pelbagai institusi kewangan berlesen dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Tidak ketinggalan, Agrobank turut menyediakan dua program pinjaman mudah berjumlah RM430 juta. Peruntukan yang disediakan meliputi dana pembiayaan agromakanan dan program modenisasi rantaian nilai agromakanan. Bagi pembiayaan agromakanan, sasaran ditetapkan untuk mengembangkan kelompok usahawan tani, termasuklah melalui pengembangan operasi sedia ada dan dorongan penyertaan usahawan baharu. Manakala untuk modenisasi rantaian nilai pula, sasaran peningkatan penerapan teknologi pertanian moden telah diletakkan. Kewujudan dana sebegini amat penting terutamanya dalam proses untuk meremajakan sektor pertanian negara, di samping membantu mengatasi masalah pengangguran melibatkan graduan lepasan institusi pengajian tinggi.

Perlu ditekankan juga bahawa peruntukan yang memperkasa ekonomi rakyat seperti kemudahan skim kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, dana BNM dan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan turut memberikan impak tidak langsung kepada tingkat pengeluaran makanan tempatan. Walaupun peranan skim kredit mikro dalam menjamin kelangsungan industri agromakanan tidak dinyatakan secara jelas, tetapi sasarannya untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah, golongan kurang upaya, pekerja sambilan (gig workers) peniaga mikro dan kecil dilihat akan memberikan impak yang besar. Ini kerana pemberian skim kredit mikro tidak tertakluk kepada aktiviti keusahawanan dalam sektor ekonomi yang tertentu sahaja. Sehubungan itu, penerima pinjaman bebas untuk mengusahakan aktiviti berkaitan agromakanan.

Untuk melengkapi usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan, instrumen geran komuniti juga diangkat sebagai langkah penyelesaian. Antara contoh utama sasaran pelaksanaan program termasuk peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan banduan untuk mengusahakan aktiviti dan projek pertanian. Pelaksanaan program yang diamanahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia merupakan satu usaha bagi memastikan bekas banduan mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Di sebalik nilai peruntukan yang cuma berjumlah RM5 juta, impak seumur hidup akan dapat dinikmati oleh golongan terbabit sekiranya projek yang diusahakan berdaya maju.

Selain itu, instrumen geran komuniti turut dihubungkan kepada ikhtiar pembangunan desa. Peruntukan sebanyak RM10 juta telah ditetapkan untuk meneruskan dan memperluas Program Kebun Komuniti (Kebuniti) untuk kekal menyokong agenda keterjaminan makanan. Kejayaan pelaksanaan program itu di beberapa kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan lokasi lain di seluruh negara membuktikan keupayaan aktiviti pengeluaran setempat untuk menyokong pertumbuhan keperluan makanan masyarakat. Impak daripada program seumpama itu juga tidak terbatas kepada sudut pemakanan, tetapi turut merangkumi aspek ekonomi dan sosial. Situasi tersebut wujud terutamanya apabila pengeluaran hasil pertanian melebihi permintaan setempat dan sedia untuk dipasarkan.

Kelangsungan industri agromakanan

Menyedari kepentingan kemudahan asas kepada kelangsungan industri agromakanan, peruntukan berjumlah RM20 juta juga disalurkan untuk menaiktaraf, membina dan menyelenggara jalan ladang pekebun kecil persendirian di seluruh negara. Ini bertepatan dengan peranan infrastruktur jalan yang baik dalam meningkatkan keterhubungan antara pekebun kecil kepada pasaran input dan pasaran hasil pertanian. Secara tidak langsung, aspek keterhubungan akan membantu pekebun kecil memperoleh harga belian input yang lebih baik disebabkan akses yang mudah kepada pasaran input yang lebih luas. Bagi hasil pertanian pula, pekebun kecil akan dapat mengurangkan kebergantungan mereka kepada orang tengah untuk memasarkan hasil pertanian.

Dengan jangkaan tahun 2024 akan kekal sebagai tahun mencabar kepada ekonomi global, diharapkan peruntukan bagi menjamin kelangsungan industri agromakanan akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Ini kerana dalam jangka pendek, impak daripada peruntukan langsung untuk agenda keterjaminan makanan dan peruntukan-peruntukan lain bukan sahaja akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan, tetapi juga kepada pertumbuhan tingkat pendapatan negara. Situasi itu dicerminkan oleh tanggungjawab untuk memastikan kelangsungan industri agromakanan negara yang tidak lagi terletak di bahu petani (termasuk pesawah dan nelayan) semata-mata, tetapi turut meliputi peranan pelbagai kelompok masyarakat di peringkat negeri, bandar dan luar bandar. Contoh terbaik dapat dilihat melalui penambahbaikan dalam situasi imbangan dagangan. Apabila pengeluaran tempatan semakin meningkat dan mampu memenuhi permintaan tempatan, lebihan pengeluaran akan dapat dieksport. Pada masa sama, aliran keluar mata wang negara juga dapat dikurangkan disebabkan pengurangan permintaan kepada barangan makanan segar import.

-- BERNAMA

Dr Chakrin Utit ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)