Oleh : Noor Mohamad Shakil Hameed
Tahun ini kerajaan bakal melaksanakan pelbagai reformasi dan inisiatif untuk memulihkan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
Semua inisiatif yang bakal dilaksanakan hanya akan berjaya mencapai matlamat jika rakyat berbilang etnik hidup bersatu padu dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi atau etnik masing-masing. Tuntasnya, hanya perpaduan rakyat mampu merintis jalan ke arah kejayaan negara ini.
Negara unik
Malaysia adalah sebuah negara yang sangat unik kerana walaupun dihuni oleh penduduk daripada pelbagai etnik namun kesepaduan sosial yang terbina selama ini banyak menyumbang kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti bangsa Malaysia.
Kita wajar berbangga apabila orang Melayu, Cina, India dan kaum minoriti lain di Semenanjung Malaysia serta rakan-rakan daripada pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak dapat hidup bersatu padu di bawah satu bumbung yang sama.
Namun, mengorak langkah ke hadapan kita perlu terus berusaha keras untuk bukan saja mengekalkan kesepaduan sosial yang ada tetapi memantapkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional yang terbentuk sekian lama.
Untuk itu, setiap warganegara perlu memikul tanggungjawab bagi memastikan tahap perpaduan terus kukuh dan mampu menjadi benteng untuk mempertahankan kemerdekaan dan memacu kegemilangan negara ke tahap yang lebih baik khususnya melonjakkan negara ke paras negara maju berpendapatan tinggi.
Hal ini penting kerana walaupun secara umumnya kelihatan tiada sebarang pergolakan mahupun persengketaan serius antara kaum pada ketika ini, namun ada saja insiden-insiden kecil yang berlaku dari semasa ke semasa yang mula menggoncang jambatan perpaduan yang ada.
Misalnya, ada saja yang cuba mengambil kesempatan dan bermain api apabila menyentuh isu-isu sensitif berkaitan 3R, iaitu Raja, kaum dan agama. Akibatnya mula berlaku pelbagai pertelagahan terutamanya dalam platform media sosial dengan saling tuduh-menuduh dan menuding jari.
Sudah tentu ini suatu persekitaran yang kurang sihat dalam masyarakat majmuk di negara ini, lantas tidak boleh dibiarkan terus berlaku terutamanya apabila ia didalangi oleh rakyat kita sendiri yang bertindak umpama musuh dalam selimut.
Pertahan perpaduan nasional
Justeru, sudah tiba masanya untuk setiap anggota masyarakat memainkan peranan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif yang sewajarnya bagi mempertahankan perpaduan nasional yang ada atas prinsip meraikan perbezaan dan menyuburkan perpaduan.
Antara langkah yang wajar diambil oleh setiap warganegara ialah sentiasa menghormati perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat majmuk di negara tercinta ini.
Ironinya, negara kita unik berbanding negara majmuk lain kerana setiap etnik masih bebas mengamalkan adat, budaya dan tradisi masing-masing tanpa sebarang halangan dan sekatan. Hal ini kerana negara kita dibentuk berasaskan semangat integrasi antara kaum dan bukannya berpaksikan konsep asimilasi.
Justeru, perbezaan yang ada perlu difahami dan dihormati oleh semua warga tanpa menjadikan perbezaan sebagai garis pemisah antara etnik sebaliknya jadikan perbezaan yang ada sebagai nilai kekuatan kehidupan masyarakat majmuk negara ini.
Anggota masyarakat juga perlu terus menyuburkan budaya toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain. Kita perlu banyak belajar daripada generasi terdahulu yang sanggup bertolak ansur dengan mengetepikan segala ego serta kepentingan peribadi dan etnik masing-masing demi membuktikan kepada penjajah bahawa kita mampu bersatu hati dan bersedia untuk merdeka serta mampu membentuk negara dan pentadbiran sendiri dalam suasana kehidupan yang harmoni serta stabil.
Ini penting kerana pada hari ini kelihatan budaya bertolak ansur, sabar serta sedia berkorban itu kelihatan semakin terhakis. Defisit kepercayaan dan keyakinan terhadap etnik lain turut mengeruhkan lagi keadaan. Akibatnya kita mudah marah dan melenting serta terlalu mementingkan diri sendiri atau etnik masing-masing sahaja.
Selain itu, kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus dijadikan sebagai prinsip dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini. Anggota masyarakat tidak boleh sama sekali membelakangkan panduan hidup ini dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini penting kerana kegagalan kita menghayati dan mengamalkan panduan ini boleh mencetuskan huru hara serta mengganggu gugat ketenteraman dan keamanan negara.
Semarak aktiviti kemasyarakatan
Untuk terus menyuburkan semangat perpaduan kita juga perlu menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan di semua peringkat lapisan anggota masyarakat. Aktiviti seperti kenduri rakyat, gotong-royong serta rumah terbuka di musim perayaan wajar dirancakkan supaya ianya mampu memperkukuhkan ikatan tali persaudaraan antara etnik yang ada.
Para pemimpin masyarakat di semua peringkat perlu menggerakkan aktiviti yang terus menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap etnik dalam usaha memupuk semangat perpaduan nasional di setiap komuniti. Mengambil tahu dan memahami amalan serta tradisi etnik lain termasuk makanan dan pakaian mampu mewujudkan budaya hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Pada masa sama, sebagai asas kepada pembentukan perpaduan nasional, ibu bapa dan keluarga perlu memainkan peranan yang signifikan. Umpama melentur buluh biar dari rebungnya, anak-anak perlu diterapkan kepentingan memahami dan menghormati amalan dan budaya rakan-rakan dari etnik lain. Jujurnya perpaduan nasional perlu bermula dari rumah.
Sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara, marilah kita tanamkan azam untuk terus memperkukuhkan perpaduan nasional demi membina sebuah negara dan bangsa Madani yang hebat dan cemerlang.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah, Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).