TINTA MINDA

KESALINGHUBUNGAN GLOBAL DAN BERMAKNA ASAS KEPADA TRANSFORMASI DIGITAL MALAYSIA

06/03/2024 11:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Nurhizam Safie Mohd Satar

Kemajuan teknologi digital dan peningkatan capaian kepada Internet telah membawa perubahan besar dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Transformasi digital merupakan satu lonjakan proses perubahan teknologi digital dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan sektor perniagaan, industri, sektor awam, dan masyarakat secara keseluruhan.

Transformasi digital merujuk kepada penggunaan teknologi seperti komputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan, analisis data, keselamatan siber yang disokong oleh rangkaian capaian Internet yang pantas. Transformasi digital ini bukan sekadar menggunakan peranti atau sistem baharu, tetapi juga merevolusi cara kita berfikir, bersosial, bekerja, dan berkomunikasi.

Kedudukan Malaysia Dalam Transformasi Digital

Menurut Laporan Kesalinghubungan Global dan Bermakna yang dikeluarkan pada tahun 2023 oleh International Telecommunications Union (ITU), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia berada pada kedudukan ke-15 di peta dunia dan ke-3 di rantau ASEAN, di belakang Singapura dan Brunei Darussalam.

Laporan ini, telah menilai tahap kesalinghubungan secara global, menggunakan kerangka analisa yang unik, mengambil kira empat dimensi iaitu liputan, penggunaan, kualiti, dan dampak. Laporan ini menunjukkan penyelesaian dan amalan baik dalam mempercepat kemajuan mencapai kesalinghubungan sejagat dan bermakna yang memberi faedah kepada rakyat menikmati pengalaman dalam talian yang selamat, memuaskan, produktif dan berpatutan.

Menurut laporan ini, Malaysia telah meraih skor sebanyak 94.5 daripada jumlah keseluruhan 100 mata, melepasi skor purata global iaitu 72.8 mata. Sekali gus, ini menunjukkan pencapaian cemerlang negara kita ke arah mencapai sasaran kesalinghubungan sejagat dan bermakna.

Malaysia telah memaparkan prestasi tinggi dalam semua empat dimensi kesalinghubungan, terutamanya dalam aspek liputan dan kualiti. Negara menyediakan liputan jalur lebar mudah alih yang hampir mencapai 100 peratus, dan kelajuan jalur lebar Internet yang mencapai purata mencecah 100 Mbps.

Negara ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meningkatkan kesalinghubungan sejagat dan bermakna, menerusi pelbagai inisiatif dan dasar, seperti Pelan Jalur Lebar Nasional, Program Komuniti Digital, dan Rangka Kerja Keselamatan Siber Nasional.

Semua inisiatif ini disokong menerusi asas Pelan Tindakan "Malaysia Digital Economy Blueprint". Pelan Tindakan ini bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia sebagai pemimpin ekonomi digital global menjelang tahun 2030. Initiatif ini merupakan langkah berani kerajaan dalam menzahirkan komitmen memanfaatkan teknologi digital dalam usaha memacu ekonomi digital dan masyarakat secara amnya.

Laporan ini juga menekankan bahawa kesalinghubungan sejagat dan bermakna telah menjadi keperluan baharu bagi dasawarsa 2020-2030, terutama selepas pasca pandemik COVID-19, yang membuktikan betapa pentingnya penggunaan internet dalam kehidupan seharian kita.

Walaupun terdapat kemajuan, masih terdapat cabaran dalam transformasi digital di Malaysia. Isu-isu seperti keselamatan siber, perbezaan gender, jurang umur dan jurang digital antara bandar dan luar bandar merupakan cabaran-cabaran utama yang perlu ditangani bersama. Pendekatan yang betul dan disertai sumber yang mencukupi, mampu menangani semua cabaran ini dan seterusnya membawa peluang-peluang baharu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Transformasi digital di Malaysia adalah suatu proses yang sedang berlangsung dan akan terus berlangsung dalam masa yang akan datang. Komitmen yang kuat dari kerajaan dan sektor swasta, meletakkan Malaysia di kedudukan yang strategik dalam memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital yang ditawarkan. Sekarang adalah masa yang menarik untuk Malaysia dan kita selaku rakyat dalam menanti dan melihat apa yang akan mendatang. Negara ini telah membuktikan bahawa ia adalah salah sebuah negara yang terkehadapan dalam hal kesalinghubungan sejagat dan bermakna, serta boleh menjadi contoh dan inspirasi bagi negara-negara lain.

--BERNAMA

Prof. Madya Ts. Dr. Nurhizam Safie Mohd Satar ialah Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)