TINTA MINDA

SEMPENA TAMAT TEMPOH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR SEBAGAI PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA

13/03/2024 08:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff

Kebijaksanaan Raja-Raja Melayu menjadi titik permulaan kepada penubuhan sebuah badan penyelaras tertinggi peringkat Persekutuan dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia yang dikenali sebagai Majlis kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Sejarah MKI, penubuhan dan fungsi

Sejarah penubuhannya bermula apabila Majlis Raja-Raja dalam persidangannya yang ke-81 pada 17 Oktober 1968, telah berkenan menubuhkan sebuah badan bagi menyelaras pentadbiran hal ehwal Islam antara negeri-negeri.

Badan ini telah dirasmikan penubuhannya pada 1 Julai 1969 dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Barat dan dipinda kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 17 Jun 1971 setelah Sabah dan Sarawak secara rasmi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Antara fungsi MKI ialah untuk membincang dan memutuskan perkara-perkara berkaitan aspek pengurusan hal ehwal Islam, perundangan Islam dan pendidikan agama Islam.

Pengesyoran daripada MKI bagi tujuan menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman undang-undang dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan. Hal ini selaras dengan fungsi MKI sebagai sebuah badan penasihat kepada Majlis Raja-Raja.

Peraturan dan pindaan struktur MKI

MKI sekali lagi mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila Majlis Raja-Raja dalam sidang mesyuaratnya yang ke-258 pada 9 dan 10 Mac 2022 telah memperkenankan Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 (Peraturan-Peraturan MKI 2022) dan membatalkan Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1968.

Beberapa pindaan utama telah dibuat melibatkan struktur MKI. Jika sebelum ini MKI dipengerusikan oleh Perdana Menteri, struktur baharu MKI menetapkan bahawa Pengerusi MKI dipilih oleh Raja-Raja Melayu dalam kalangan Raja Pemerintah untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui, manakala Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi MKI.

Peraturan-Peraturan MKI 2022 turut memperuntukkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Setiausaha MKI dan pegawai JAKIM berperanan sebagai Sekretariat MKI.

Selain itu bagi menguruskan perkara-perkara yang berhubung dengan fungsi MKI, lima jawatankuasa telah ditubuhkan di bawah MKI iaitu:

  1. Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan;
  2. Jawatankuasa Muzakarah MKI;
  3. Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan;
  4. Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan; dan
  5. Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan.

Lembaran baharu, ketegasan Sultan Selangor sebagai pengerusi MKI

Selari dengan Peraturan-Peraturan MKI 2022, Raja-Raja Melayu telah berkenan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai Pengerusi MKI mulai 10 Mac 2022 hingga 9 Mac 2024.

Ternyata pemilihan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi pertama MKI dalam kalangan Raja-Raja Melayu telah membawa lembaran baharu dalam catatan sejarah tadbir urus hal ehwal Islam di Malaysia.

Sepanjang mengemudi MKI, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah mencurahkan sepenuh usaha dan daya Baginda demi memastikan kemajuan Islam dapat dicapai dan ketinggian syiar Islam di negara yang tercinta ini terus berkembang subur. Baginda amat tegas dalam mempertahankan kesucian Islam dan sama sekali tidak membenarkan isu-isu berbangkit berkaitan agama Islam dipolitikkan.

Selama dua tahun memegang teraju MKI, Baginda telah berjaya menyelesaikan beberapa isu besar yang berbangkit dalam kalangan ummah secara tuntas dan begitu harmoni, yang sekaligus menggambarkan kebijaksanaan, kearifan dan hikmah Baginda dalam mendepani perkara tersebut.

Antaranya isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang mana kehangatan polemik isu ini telah pun dapat diredakan apabila MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja telah dapat memutuskan suatu keputusan dasar mengenainya.

Begitu juga dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang mana idea penubuhannya dicetuskan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri.

Baginda juga dengan tegas mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menunggu laporan penuh berserta pengesyoran daripada Jawatankuasa Khas ini.

Kongsi pengalaman sebagai Setiausaha MKI

Sebagai Setiausaha MKI, pengalaman bekerja di bawah bimbingan Duli Yang Maha Mulia Tuanku memberi suatu pengalaman yang sangat bermakna dan begitu mahal nilainya. Duli Yang Maha Mulia Tuanku merupakan seorang Raja yang begitu teliti. Dalam memastikan pelaksanaan Mesyuarat MKI mencapai objektifnya, Baginda dengan tekun menyemak terlebih dahulu dokumen yang akan dibentangkan dalam sidang Mesyuarat MKI dan aktif memberikan cadangan serta buah fikiran yang signifikan bagi tujuan penambahbaikan aspek pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Sesungguhnya pemilihan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI yang pertama dalam kalangan Raja-Raja Melayu telah menyuntik satu aspirasi baharu dan membawa dimensi berbeza kepada MKI sejak ia ditubuhkan lebih lima dekad yang lalu.

Semoga keberhasilan dan impak positif yang ditinggalkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku sepanjang dua tahun menerajui MKI menjadi satu momentum ke arah pengurusan hal ehwal Islam yang lebih maju dan berdaya saing demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dalam keadaan sihat wal afiat, dianugerahkan oleh Allah SWT rahmat dan kebahagiaan yang berterusan serta kekal berada dalam perlindungan-Nya, bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Selangor dengan penuh daulat dan kebesaran.

--BERNAMA

Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)