Oleh: Rabi’ahtuladawyah Md Saleh
Ayuh kita pandang sekeliling, apa yang anda lihat? Adakah mata anda tertancap pada sebuah seni ukiran kayu? Atau hanya memandang kepada tembok batu yang keras dan bisu seperti kerasnya terjahan cabaran demi cabaran yang kita lewati dalam kehidupan kita era kini.
Paksi kita berubah seperti berubahnya badai membawa angin perubahan pada dekad-dekad negara kita sudah mencapai kemerdekaan sejak 66 tahun yang lalu.
Kita hidup dalam suasana yang saling menyatu dalam keadaan menyesuaikan diri, mempelajari sesuatu yang baharu serta menjalani kehidupan kita dengan rutin teknologi yang memberikan kita warna, ada kala ceria ada kala juga menjadi langkah yang gelap.
Jika merujuk teknologi, sudah tentu, pencapaian memajukan alat benda oleh manusia ini sentiasa sahaja dipertingkatkan jarang sekali berpatah balik ke belakang. Sudah ada mesin pengisar, batu lesung tetap perlu untuk melazatkan sesetengah juadah!
Berbeza pula dengan kemajuan akal budi manusia itu sendiri. Semakin hari kisah manusia di setiap pelusuk dunia semakin tenat. Di sesetengah tempat, manusia berdepan dengan krisis mengabdikan diri kepada perusahaan sehingga melanggar fitrah karamah insaniah, ada pula golongan manusia amat suka menindas manusia yang lainnya kerana kuasa ibarat nadi sesetengah manusia mencapai cita-citanya terhadap sesuatu sejak beradab-abad lamanya.
Tidak itu sahaja, wujud juga golongan manusia yang menikmati duniawi semaksimum mungkin tanpa mempeduli insan lain yang perlu diberikan pertolongan yang sebenarnya dengan mudah dapat dibantu, hanya dari hujung jari.
Alam Melayu dan konflik manusia
Acapkali golongan ini seronok menikmati hedonisme serta bergurau senda dengan haiwan ganas, kerana bagi mereka, inilah kehidupan yang perlu dipuaskan.
Alam Melayu telah mendepani konflik manusia dengan pendekatannya tersendiri.
Sedang ‘negeri-negeri atas angin’ (Eropah) berada dalam Zaman Kelam iaitu antara 476M hingga 1000M, Alam Melayu ketika ini sudah pun memiliki peradaban yang tidak kurang hebat kerana berdasarkan penelitian Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh bahawa Prof. De Selva yang melakukan penyelidikan dan menganalisis artifak iaitu bahan yang ditemui dari gali cari (eskavasi) atau artifak, mendapat bahawa peradaban di Alam Melayu ini sudah wujud sejak 15,000SM.
Nah, wilayah ini sudah tentu memiliki keajaiban yang luar biasa sehingga setiap sudut yang dimilikinya dari empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin itu mempunyai satu graviti yang amat hebat lantas menarik kuasa-kuasa asing meneroka setiap inci yang dimiliki oleh wilayah ini termasuklah manusia dan budayanya sehingga daun-daun kering bertaburan atau pasir-pasir memutih di persada pantai tidak ada yang terlepas daripada rekod mereka. Demikianlah diibaratkan bagaimana ilmu-ilmu watan Melayu ini telah dikhazanahkan cukup meluas oleh para orientalis.
Kehadiran manusia negeri-negeri atas angin pada awalnya dalam misi menjelajah akhirnya bertukar misi dan visi yang lebih besar menjarah wilayah ini bagaikan ‘hantu haus darah’.
Dan beberapa abad yang dikongsikan oleh pakar-pakar ilmu termasuk sejarah, antropologi, sosiologi, agama, kejuruteraan, pertanian, geologi dan juga politik telah menghidangkan kita pelbagai rempah-ratus sejarah yang cukup dinamik.
Wajarlah apabila kita memahami trafik sejarah dan pola peristiwa secara kronologi yang berlaku di wilayah ini sepatutnya menjadikan kita sebagai generasi yang semakin celik ilmu dan peradabannya, malah kita juga telah bersedia dengan segala anasir mahupun faktor-faktor yang boleh mengganggugugat kemakmuran wilayah ini seperti yang telah berlaku dalam babak-babak penting antaranya 1511, 1824 dan 1875. Tidak perlulah penulis menghuraikan angka-angka tahun yang cukup signifikan dengan tirai gelap yang menutup persembahan kecemerlangan peradaban kita. Pada bulan yang mulia ini, penulis mahu kita semua meneguhkan semangat dan mencedok satu kebijaksanaan yang kita miliki tanpa kita sedar, kita mungkin dapat menyuburkan rasa cinta terhadap warisan yang satu ini.
Menelusuri peristiwa pelbagai peristiwa yang terakam dalam aksara-aksara para pengkaji serta juga rakaman minda menonton teater Anak Si Tukang Kayu pada 2015 karya Azmizi Zakaria, neuron penulis berhubung untuk memahami seni ukiran kayu selanjutnya.
Seni ukiran Melayu Malaysia dipengaruhi Indonesia dan Siam
Seni ukiran kayu di Malaysia yang dikatakan dipengaruhi oleh Indonesia dan Siam. Seni ukiran kayu ini mempunyai motif-motif yang terkenal yang ada kaitan dengan unsur dua wilayah ini ialah pucuk rebung, bunga padi, daun inai, bunga pecah empat, bunga kekwa, cengkih, melur dan bunga cempaka.
Kesemua motif ini diwarisi oleh seorang pengukir kayu berdasarkan penelitian ini: Alam, Idea, Karya, Idea (Syed Ahmad Jamal, 1999).
Syed Ahmad Jamal menjelaskan bahawa adanya hubungan antara alam dan manusia serta Tuhan yang menciptakan sesuatu iaitu saling berinteraksi dan berkomunikasi (Nur Nazirah, 2014).
Seseorang pengkarya iaitu pengukir seperti watak Pak Mail dalam teater ini, adalah seseorang yang menterjemahkan penelitiannya daripada alam kepada hasil seninya dan mempunyai hubungan secara langsung kepada kehidupannya.
Secara ringkasnya perjalanan hidup manusia ada persamaannya berdasarkan penelitian terhadap nilai dan falsafah Melayu pada ukiran kayu.
Mengamati falsafah dibina daripada warisan seni ukir
Mengamati falsafah yang dibina daripada warisan ini, penulis menemukan dalam warisan seni ukir terdapat makna-makna yang diterjemahkan mengenai cabaran ibu bapa atau orang dewasa yang mendidik anak-anak iaitu yang masih dianggap rebung dalam kalangan masyarakat Melayu berdasarkan kajian Norfaezah Hamidin (2017).
Dalam falsafah seni ukiran Melayu pula memperjelaskan secara terperinci mengenai hubungan motif-motif dalam seni ukiran dengan hubungan masyarakat mendidik anak-anak seperti yang dijelaskan oleh Mohammad Nazzri bin Ahmad (2016) iaitu seni ukiran Melayu adalah umpama cermin.
Ukiran yang dihasilkan merupakan paparan apa yang dilihat pada alamnya dan menceritakan kewujudan sesuatu bangsa dan perkembangan tamadunnya.
Apabila menghubungkan era kini, golongan dewasa terhadap pembentukan karamah insaniah generasi, kita perlulah berusaha membina generasi kita ke arah menjadi manusia yang mengakari jati diri warisan bangsanya.
Negara kita memiliki kelebihan tersendiri kerana terdiri daripada pelbagai keturunan dan etnik yang mempunyai adat tradisi yang diamalkan bertujuan untuk memperkukuh nilai diri.
Walaupun mempunyai kepercayaan berbeza dari segi kerohanian, elemen yang satu ini juga merupakan kekuatan kepada kepelbagaian yang ada pada rakyat atau generasi Malaysia.
Kesimpulan generasi hari ini ibarat kudup dan buah, masih muda
Kesimpulannya, generasi hari ini ibarat kudup dan buah, masih lagi muda, mereka memerlukan ilmu yang betul dan pengalaman hidup yang bermakna daripada orang dewasa untuk menyempurnakan mereka sebagai seorang insan.
Seni ukiran kayu yang biasa kita lihat dan ditemui, bukanlah semata-mata hasil sebuah kerja seni, tetapi mempunyai falsafah yang mendalam tentang kehidupan dan isinya.
Generasi Malaysia hari ini adalah seperti sekeping kayu yang bakal diukir, sekiranya berkasar tidak berhalus, rosaklah sekeping kayu yang hendak diukir, sekiranya berkeras maka tindak balas generasi juga berbeza, manakala kalau terlalu lemah mendidik dan membangunkan mereka, maka kesan dan akibatnya juga mungkin menyamai apa yang digambarkan oleh Seniman Agung, P. Ramlee dalam Anakku Sazali.
Jika Islam memperlambangkan anak-anak ibarat sehelai kain putih, Alam Melayu juga memiliki hikmah tersendiri berkaitan cabaran membentuk keperibadian anak-anak seperti yang dapat kita buktikan secara lahiriah. Ramai bakal ibu bapa berencana untuk memilki cahaya mata, namun tidak semua ibu bapa akan dapat melaksanakan amanah membina akhlak serta berkeperibadian unggul kepada anak-anak mereka.
Demikian juga dengan sekeping kayu yang baik, belum tentu akan dapat menghasilkan seni ukir kayu yang indah, malah bukanlah banyak orang boleh melakukannya begitu juga tidak juga banyak orang yang memiliki warisan seni ukiran kayu di kediamannya yang boleh dilihat, direnunginya untuk diraih hikmahnya daripada warisan ini. Semoga akan ada jalannya kepada kita semua dalam melestarikan warisan ini kita juga akan dapat memimpin diri kita dan generasi kita ke arah Malaysia Madani yang cemerlang.
Marilah bersama-sama merenungi bait-bait kata ini.
Tumbuh berpunca
Punca penuh rahsia
Tumbuh tidak menunjak lawan
Memanjat tidak memaut lawan
Tetapi melingkar dengan penuh mesra.
-- BERNAMA
Rabi’atuladawiyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.