TINTA MINDA

PERKASA AGENSI KOMODITI UNTUK KELANGSUNGAN RAKYAT

03/05/2024 10:20 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Dr. Norsida Man

Sesebuah negara dan komuniti khususnya terdedah kepada risiko kemiskinan, ekonomi, politik dan perubahan cuaca yang perlu diperkasakan supaya mereka lebih ampuh dan tahan kepada perubahan.

Masalah yang sering dihadapi oleh komuniti adalah kemiskinan dan pendapatan yang rendah. Ia bukan sahaja berlaku kepada komuniti luar bandar atau desa tetapi juga komuniti bandar.

Isi rumah yang mempunyai pendapatan yang rendah adalah disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup yang tinggi. Harga barangan makanan yang sering meningkat menyebabkan mereka menghadapi masalah ketidakjaminan bekalan makanan peringkat isi rumah.

Sektor Komoditi pertanian boleh membantu masalah yang timbul

Dalam hal ini, sektor komoditi pertanian boleh membantu mengatasi masalah yang timbul.

Walau bagaimanapun, kejayaan sektor ini memerlukan strategi yang mantap dan usaha berpanjangan dari semua pihak.

Seperti sedia maklum, demi kelangsungan komuniti atau rakyat dimana sekali pun, jaminan bekalan makanan adalah perkara utama yang perlu diambilkira.

Masalah jaminan bekalan makanan yang dihadapi diperingkat negara disebabkan oleh beberapa perkara seperti, pertama, kadar sara diri pertanian yang masih rendah menyebabkan bekalan pertanian tidak mencukupi dan permintaan yang tinggi tidak dapat dipenuhi.

Kedua, kitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan mengurangkan peluang pembelian dan konsumsi.

Ketiga, perubahan cuaca, musim dan iklim yang menggangu pengeluaran dan bekalan pertanian.

Manakala faktor keempat adalah ketidaktentuan kadar inflasi, faedah dan kadar tukaran dollar Amerika Syarikat yang menyebabkan ganguan import dan eksport serta dasar dan geopolitik yang tidak stabil menggangu pengeluaran dan perdagangan pertanian.

Peringkat isi rumah dan keterjaminan makanan komuniti

Manakala diperingkat isi rumah pula, beberapa faktor seperti pendapatan isi rumah yang rendah dan kemiskinan menyebabkan ketidakmampuan untuk membeli makanan, ketidakupayaan untuk mengakses makanan disebabkan oleh faktor logistik dan kedudukan kawasan serta ketiadaan produk pertanian untuk dicapai dan dimiliki turut mempengaruhi kelangsungan keterjaminan makanan komuniti.

Jadi, agensi komoditi pertanian perlu memainkan peranan yang mantap untuk memastikan sektor komoditi pertanian boleh membantu kelangsungan rakyat.

Empat kategori agensi dalam komoditi pertanian

Apa yang kita perlu tahu ialah, agensi-agensi yang terkait dengan komoditi pertanian boleh dikategorikan kepada empat iaitu agensi penyelidikan pertanian yang berperanan melaksanakan kajian untuk meningkat mutu keluaran pertanian, agensi pengembangan pertanian yang berperanan didalam meyebarkan pengetahuan dan teknologi, menawarkan khidmat nasihat teknikal dan motivasi serta galakan kepada petani dan pengusaha pertanian.

Ini termasuklah ketegori agensi pembangunan tanah dan kawasan yang berperanan didalam membangunkan kawasan pertanian dan memastikan kesejahteraan hidup komuniti serta institusi pengajian dan pendidikan pertanian yang berperanan didalam mengeluarkan modal insan yang diperlukan oleh pertanian dan melaksanakan kajian untuk menghasilkan input dan output pertanian yang berkuantiti dan berkualiti.

Dalam hal ini, agensi pertanian komoditi perlu memainkan peranan penting seperti:

1. membangunkan kawasan luar bandar dengan meningkatkan akses logistik dan perhubungan melalui pembangunan kawasan pertanian;

2. meningkatkan mutu pengurusan dan pemasaran pertanian;

3. memastikan perubahan amalan dan sikap petani, pengusaha dan pemegang taruh melalui penggunaan teknologi tinggi untuk kemajuan pertanian;

4. melonjakkan mtu pendidikan dan penyelidikan berasaskan pertanian;

5. menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang berasaskan pertanian secara langsung dan tidak lansung dengan menyediakan kemudahan modal sumber manusia dan modal perusahan untuk kelangsungan komuniti;

6. melaksanakan pertanian secara komersial dengan menghubungkan komuniti kepada komoditi untuk kepentingan bersama untuk melonjakkan ekonomi atas sumbangan sektor komoditi pertanian;

7. meningkatkan tahap sara diri pengeluaran bahan makanan; dan

8. memastikan bekalan makanan mencukupi selain menawarkan bahan mentah pertanian kepada industri tambah nilai yang lain.

Agensi komoditi pertanian amat penting

Justeru, agensi komoditi pertanian amat diperlukan oleh negara dan komuniti kerana peranannya yang penting dalam mengurus bahan mentah daripada pertanian yang merupakan blok binaan teras ekonomi global. Tanpa akses kepada bahan mentah, pengeluar tidak boleh membuat produk;

Agensi turut mewujudkan rantaian bekalan yang teguh, import dan eksport produk pertanian perlu diurus yang baik dan cekap. Ketidakcekapan ini boleh menimbulkan masalah hubungan perdagangan serta menjejaskan pasaran komoditi pertanian negara.

Dalam hal ini, agensi komoditi pertanian adalah penggalak kepada pembangunan ekonomi negara, pertanian memberi kesan kepada perdagangan global kerana ia terikat dengan sektor ekonomi lain, menyokong penciptaan pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Negara yang mempunyai sektor pertanian yang kukuh mengalami pertumbuhan guna tenaga dalam sektor lain.

Ia juga menunjukkan pertumbuhan produktiviti pertanian dan infrastruktur pertanian yang teguh juga mempunyai pendapatan per kapita yang lebih tinggi kerana petani dan pengusaha di negara ini menggunakan teknologi dan amalan pengurusan ladang yang bagus untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan pertanian mereka.

Usaha berterusan daripada komuniti pertanian dan agensi komoditi akan dapat membantu kelangsungan komuniti atau rakyat sesebuah negara seperti Malaysia dari segi keterjaminan bekalan makanan.

--BERNAMA

Prof. Dr. Norsida Man ialah daripada Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)