TINTA MINDA

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT RANCAKKAN PEMBUDAYAAN ILMU, LUASKAN PELUANG BELAJAR

10/07/2024 11:27 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

Oleh: Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Pengiktirafan atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu yang dikenali “Accreditation of Prior Learning Experience (APEL)” adalah konsep penting dalam konteks pembangunan pendidikan di Malaysia.

Ini bukan sahaja membawa manfaat kepada individu tetapi juga memperkayakan budaya ilmu, mempersiapkan tenaga kerja mahir, meningkatkan peluang kerjaya dan memastikan akses terbuka kepada pendidikan berkualiti, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 UNESCO atau UNESCO Sustainable Development Goal 4 (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. SDG 4 bermatlamat untuk "Memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua".

Kerajaan Malaysia mempunyai hasrat yang jelas dalam mempromosikan PSH dan APEL sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif dengan menekankan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Kerajaan telah menyusun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk Pengajian Tinggi 2013-2025 dan Pembangunan Pelan Induk PSH Malaysia 2021 yang antara lain memberi focus kepada anjakan ke arah menghayati pembelajaran sepanjang hayat. Ini termasuk peningkatan akses kepada pelbagai program pembelajaran, pengiktirafan pengalaman praktikal melalui APEL dan penekanan kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan industri.

Pembelajaran sepanjang hayat

PSH merujuk kepada proses pembelajaran yang berlaku sepanjang hayat seseorang, tanpa mengira usia atau peringkat pendidikan. Ini termasuk pembelajaran formal di institusi pengajian tinggi, pembelajaran tidak formal melalui kursus-kursus dan latihan, serta pembelajaran informal seperti pembelajaran sendiri melalui pengalaman hidup. PSH memberi penekanan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi membolehkan individu terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baharu dalam kehidupan.

APEL adalah satu mekanisme yang membolehkan individu mempunyai pengalaman kerja atau pembelajaran luar institusi formal untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi. Melalui APEL, seseorang dewasa yang telah mempunyai pengalaman luas dalam bidang tertentu boleh mengiktirafkan pencapaian mereka dan memperoleh kelayakan akademik yang setaraf dengan pendidikan formal.

Malaysian Qualifications Agency (MQA) telah diamanahkan untuk mengurus dan mengawal selia APEL di Malaysia. Sebagai badan yang bertanggungjawab dalam mengawal kualiti pendidikan tinggi di negara ini, MQA memainkan peranan penting dalam menetapkan standard, garis panduan dan proses penilaian bagi APEL. Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi juga digalakkan untuk menjadi Pusat Penilaian APEL. Beliau berkata inisiatif ini bertujuan memberikan peluang kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk mengejar pengajian yang diimpikan dalam bidang masing-masing. Sehingga kini, terdapat tiga jenis APEL yang diperkenalkan oleh MQA, iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi, APEL.C untuk pemindahan kredit, dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon.

Budaya ilmu proaktif

Pembelajaran sepanjang hayat membentuk budaya ilmu yang proaktif dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ini bermakna individu tidak hanya belajar semasa di sekolah atau universiti, tetapi juga sepanjang hayat mereka. Budaya ini menggalakkan rasa ingin tahu yang berterusan, menghasilkan masyarakat yang lebih terbuka terhadap idea baharu, pengetahuan dan inovasi. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya dengan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan cabaran semasa.

APEL memainkan peranan yang penting dalam persediaan tenaga kerja mahir dan membolehkan individu yang telah mempunyai pengalaman kerja tetapi mungkin tidak mempunyai kelayakan formal yang diperlukan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik atau meningkatkan kerjaya mereka. Dengan APEL, pengalaman praktikal mereka diiktiraf dan dikreditkan sebagai sebahagian daripada kelayakan yang diperlukan, membantu mereka memasuki bidang yang lebih tinggi atau mendapat pengiktirafan yang diperlukan.

Pendekatan pembelajaran sepanjang hayat ini akan memastikan bahawa peluang belajar adalah terbuka dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat. Dengan adanya pelbagai program pembelajaran seperti kursus dalam talian, seminar, program latihan industri dan program pembelajaran berterusan, individu dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur dapat mengakses pendidikan berkualiti yang relevan dengan keperluan mereka.

Ini memberi kesempatan kepada golongan yang sebelum ini mungkin terpinggir untuk mengambil bahagian dalam pembangunan masyarakat melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh.

Pengalaman praktikal bernilai

Individu yang telah bekerja memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan APEL. Mereka membawa pengalaman praktikal yang bernilai ke dalam proses pembelajaran, membantu menghubungkan teori dengan aplikasi dalam konteks sebenar.

Di samping itu, institusi pengajian tinggi seperti universiti dan kolej, bekerjasama dengan MQA untuk menyediakan program-program yang sesuai dengan keperluan industri dan memastikan kualiti pendidikan yang terjamin. Badan-badan profesional juga memberikan pengiktirafan dan sokongan kepada individu yang ingin mengikuti program APEL, menjadikan proses pengiktirafan dan pemindahan kredit lebih lancar.

Pembelajaran Sepanjang Hayat dan APEL adalah aspek penting dalam pembangunan pendidikan Malaysia yang berkekalan. Budaya ilmu yang dipupuk membawa kesan positif kepada masyarakat, sementara persediaan tenaga kerja mahir dan peluang kerjaya yang lebih baik memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi negara.

Dengan sokongan dari individu, institusi pendidikan tinggi, badan-badan profesional dan kerajaan, pembelajaran sepanjang hayat dan APEL akan terus menjadi landasan penting dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar ialah Pengarah, Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)