TINTA MINDA

PENGURUSAN EKONOMI PMX DAPAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

11/07/2024 03:05 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Professor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman

Ada golongan tertentu yang mentafsirkan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai lalu sebagai petanda bahawa rakyat Malaysia menolak dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dasar ekonomi yang paling banyak diperkatakan ialah pengenalan subsidi bersasar diesel yang dibuat pada 10 Jun lepas yang dikatakan menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kekalahan Dr Joohari dalam PRK itu didakwa adalah bukti bahawa rakyat Malaysia menolak dasar subsidi bersasar diesel.

Sebenarnya tidak ada apa yang mengejutkan mengenai keputusan PRK Sungai Bakap itu. Ia adalah sekadar penerusan kecenderungan mengekalkan status quo dalam semua PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada 19 Nov 2022 dan PRN lima negeri pada 12 Ogos 2023, baik di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS menang dalam dua PRK di kerusi miliknya, iaitu PRK Kuala Terengganu pada 12 Ogos 2023 dan PRK Kemaman pada 2 Dis 2023 tetapi ini tidak menghalang PH-Barisan Nasional (BN) daripada menang dalam PRK di kerusi miliknya, iaitu PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 Sept 2023, PRK Pelangai pada 7 Okt 2023 dan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei.

Tidak wajar menyalahkan dasar ekonomi kerajaan

Selain kecenderungan mengekalkan status quo, keputusan sesuatu PRK itu juga berpunca daripada banyak sebab. Ada yang bersifat dalaman dan ada yang bersifat luaran.

Oleh itu, tidak tepat untuk menyatakan dasar-dasar ekonomi kerajaan sebagai punca kekalahan Dr Joohari apabila terdapat faktor-faktor lain seperti politik setempat yang mendorong kepada keputusan pilihan raya itu.

Gesaan supaya kerajaan menghentikan atau mengkaji semula dasar-dasar ekonomi terutamanya subsidi bersasar diesel dan cadangan subsidi bersasar petrol, susulan kekalahan Dr Joohari dalam PRK Sungai Bakap adalah tidak sesuai dengan keadaan dan tidak logik.

Pengiktirafan antarabangsa

Bukti kukuh bahawa kerajaan telah melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang tepat seperti subsidi bersasar bahan api adalah pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang baik oleh agensi penarafan kredit antarabangsa seperti S&P Global Ratings (S&P), Fitch Ratings (Fitch) dan Moody’s. Ini mencerminkan keyakinan pemegang taruh antarabangsa kepada Malaysia.

S&P menyatakan penarafannya terhadap Malaysia disokong oleh kedudukan luar negara yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari negara. Selain itu, trend kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas, berbanding negara berdaulat yang mempunyai tahap pendapatan serupa. Ia juga menjangkakan defisit fiskal Malaysia akan mengecil dengan adanya langkah rasionalisasi subsidi. Fitch pula mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2024 dan 4.5 peratus bagi tahun 2025.

Terkini, prestasi ekonomi kerajaan telah mendapat pujian Rajiv Batra, Ketua Strategi Ekuiti Asia-Pasifik di JP Morgan, dalam wawancara CNBC pada 10 Julai lepas yang menyatakan JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia dari ‘underweight’ ke ‘neutral’.

Rajiv Batra berkata pembaharuan dasar termasuk mengambil langkah berani dengan menyasarkan subsidi bahan api, pelaburan berpusatkan data dan pembangunan infrastruktur yang sedang berlaku di Malaysia membuat JP Morgan positif terhadap Malaysia. Beliau menjelaskan, apa yang lebih mengejutkan adalah tahap kelajuan kemajuan dengan pertumbuhan KDNK 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini menyebabkan JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia.

Kerajaan MADANI

Rajiv Batra berkata JP Morgan melihat kerajaan MADANI melaksanakan "Walk The Talk" dalam tempoh hampir satu setengah tahun pentadbiran mereka. Mereka telah meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar, paling penting ialah meneruskan penyatuan fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi. Ini dapat meningkatkan minat pelabur asing datang ke Malaysia, seterusnya mengembalikan semula pelaburan asing.

Profesor kepimpinan di Henley Business School, University of Reading, England, Dr Benjamin Laker dalam rencana pada 10 Julai bertajuk “Pemulihan Ekonomi Malaysia di Bawah Kepimpinan Anwar Ibrahim” yang disiarkan oleh Forbes Magazine juga memuji reformasi ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Antara reformasi ekonomi yang mendapat pujian ialah pengenalan cukai baharu, rasionalisasi subsidi, Polisi Gaji Progresif (PWP), penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), mempercepatkan kelulusan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi, yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah pemulihan ekonomi Malaysia.

Pada masa yang sama, Dr Benjamin berkata kepimpinan dan kecerdasan politik Perdana Menteri dalam menguruskan ketidakpuasan awam, termasuk kesan reformasi ekonomi ini terhadap rakyat terutamanya dari segi kos sara hidup akan menjadi penentu penting kejayaan jangka panjang dasar ekonomi beliau dan, seterusnya, masa depan ekonomi Malaysia sekali gus berpotensi membolehkan Malaysia menjadi contoh kepada negara lain yang melaksanakan pemulihan pascapandemik dan transformasi struktur yang serupa.

Pengiktirafan agensi penarafan kredit antarabangsa dan pakar kepimpinan antarabangsa adalah petunjuk paling jelas bahawa dasar-dasar ekonomi Perdana Menteri betul dan perlu diteruskan.

-- BERNAMA

Profesor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, Pahang

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)