Assalamualaikum kome,
Penulis tidak pernah terfikir, sebagai anak kampung dari Bidor, Perak, akan diberi peluang yang begitu istimewa untuk menimba pengalaman baharu iaitu mengembara sejauh 3,696.03 kilometer ke Beijing, China. Bukan sekadar untuk empat hari atau empat minggu, tetapi selama empat bulan lamanya. Ini merupakan sesuatu yang membuatkan hati penulis begitu teruja dan tidak sabar untuk mengharungi pengalaman ini.
Membesar dalam sebuah keluarga yang serba sederhana di pekan kecil ini, penulis sering bermimpi untuk menjelajah negara luar dalam tempoh yang panjang. Kini, impian itu menjadi kenyataan.
Tawaran menyertai program
Pada mulanya, apabila ditawarkan oleh Editor untuk menyertai Program Pusat Media Antarabangsa China 2024 siri kedua, penulis berasa sedikit berbelah bahagi. Mengenangkan keadaan ibu dan bapa yang semakin uzur menjadi kebimbangan penulis, terutama untuk berjauhan dalam tempoh yang agak panjang. Namun, setelah berbincang bersama keluarga, mereka dengan rela hati memberikan restu dan ini juga merupakan peluang yang amat berharga serta jarang sekali hadir dalam hidup penulis.
Selepas menerima tawaran rasmi, penulis hanya mempunyai kira-kira tiga minggu untuk membuat persediaan. Syukur kerana penulis mendapat panduan daripada pengalaman lima wartawan BERNAMA yang pernah menghadiri program in. Ia memudahkan penulis membuat persiapan mengikuti program dari menghadapi cuaca empat musim hingga pemilihan topik berita dan stok makanan halal, semuanya menjadi panduan berharga
Penulis juga amat bersyukur atas bantuan pihak Kedutaan China di Malaysia yang mempermudah urusan, terutamanya dalam permohonan visa dan pembelian tiket penerbangan.
Ni Hao, Beijing
Akhirnya, saat yang dinantikan pun tiba. Pada 15 Ogos 2024, tepat jam 6.25 pagi, penulis bersama seorang lagi rakan wartawan Malaysia dengan penuh keterujaan menjejakkan kaki di Beijing Capital International Airport setelah perjalanan panjang menaiki pesawat CA872 Air China. Kami disambut mesra oleh seorang gadis tempatan sambil memegang kertas putih dengan nama penuh kami tertera di atasnya, seolah-olah mengukuhkan perasaan bahawa ini adalah permulaan kepada sebuah pengalaman yang luar biasa.
"Hi, are you Marfika Adnan from Malaysia? Come, follow me," ujar gadis tersebut yang dikenali sebagai Lili.
Kami kemudian dibawa ke Jianguomenwai Diplomatic Residence Compound (DRC), tempat kami bermastautin selama empat bulan di bumi Tembok Besar ini. Sepanjang perjalanan, penulis memerhati kota Beijing dari tingkap bas mini, dan mendapati ia penuh dengan pohon-pohon hijau, tidak jauh bezanya dengan Putrajaya atau Kuala Lumpur. Rasa seperti masih di Malaysia! Terubat sedikit rasa kerinduan kepada tanah tumpah air yang ditinggalkan.
Langkahan lebih 8,000 sehari
Memandangkan penulis tiba empat hari lebih awal sebelum program bermula, penulis bersama beberapa teman dari Indonesia dan Timor-Leste mengambil kesempatan untuk meneroka kawasan sekitar penempatan bagi mendapatkan barangan keperluan.
Walaupun penulis bukan seorang yang gemar berjalan kaki, semuanya berubah sejak hari pertama di Beijing. Ketiadaan aplikasi pengangkutan awam menyebabkan kami terpaksa berjalan kaki ke mana-mana. Menariknya, warga Beijing, baik yang tua mahupun muda, lebih suka berjalan kaki atau berbasikal untuk aktiviti harian mereka, termasuk ke tempat kerja.
Tidak kira pagi, tengah hari, atau petang, aktiviti ini menjadi pilihan meskipun musim panas. Secara tidak langsung, jumlah langkahan penulis juga meningkat daripada 8,000 kepada 11,000 sehari. Penulis percaya jumlah ini akan terus bertambah seiring masa.
Setakat ini sahaja coretan penulis. Nantikan lebih banyak lagi pengalaman menarik yang bakal dikongsikan dari Beijing. Jumpa lagi di lain waktu, dan terima kasih, Xie Xie!
"Salam Dari Beijing"
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.