TINTA MINDA

IMBANGI PELARASAN GAJI DENGAN PRINSIP TANGGUNGJAWAB, TAAT SETIA

02/09/2024 05:19 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Pelarasan gaji baharu perkhidmatan awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipikul setiap penjawat awam dengan tanggungjawab berpaksikan konsep taat setia kepada raja, negara dan kerajaan semasa sekali gus meningkatkan sumbangan dan mutu perkhidmatan masing-masing.

Hal ini penting kerana apabila kerajaan telah menunaikan janji menaikkan gaji sudah tiba masanya penjawat awam juga memperbaharui aku janji dan sumpah taat setia yang dibuat ketika mula dilantik memegang jawatan. Hakikatnya penjawat awam perlu sedar era baharu perkhidmatan awam memerlukan warga kerja yang mengutamakan kompetensi, menjulang tanggungjawab, menjunjung integriti dan memperteguh nilai taat setia kepada raja, negara dan kerajaan memerintah.

Reformasi Perkhidmatan Awam

Secara prinsipnya reformasi menyeluruh perkhidmatan awam memerlukan peranan aktif semua lapisan penjawat awam bertindak memperbaiki segala kepincangan yang ada, bersedia untuk mengubah sikap dan cara kerja serta berani melakukan perubahan yang drastik mengikut keperluan semasa.

Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember ini menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013. Kerajaan Perpaduan telah menunaikan janji untuk menjaga dan membela nasib dan kebajikan penjawat awam, justeru pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi perlu dilihat sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan tertinggi kepada seluruh warga penjawat awam.

Justeru sudah tiba masanya penjawat awam mengimbangi pelarasan gaji ini dengan membalas pengiktirafan kerajaan melalui peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien di semua peringkat berpaksikan prestasi tinggi dan nilai taat dan setia yang tidak berbelah bahagi.

Menghayati Prinsip Tanggungjawab dan Taat Setia

Dalam konteks ini penjawat awam perlu menghayati prinsip taat setia yang sedang dipelopori oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yakni taat dan setia kepada raja, negara dan kerajaan memerintah dengan jujur, ikhlas dan amanah.

Jujurnya penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan mempunyai peranan signifikan dalam proses pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Maka dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan, penjawat awam perlu faham tanggungjawab besar yang dipikul itu adalah amanah raja, negara dan kerajaan kepada mereka.

Maka penjawat awam perlu memahami dan memaknai keperluan untuk taat dan setia kepada raja, negara dan menyokong semua agenda reformasi yang dibawa oleh kerajaan demi memacu ekonomi dan membangunkan masyarakat Madani.

Pelarasan gaji ini sewajarnya menyuntik semangat dan motivasi penjawat awam untuk terus meningkatkan komitmen sekali gus meneroka kaedah dan pendekatan baharu supaya perkhidmatan yang disediakan oleh setiap jabatan dan agensi kerajaan memenuhi jangkaan rakyat.

Dalam era perkembangan teknologi yang semakin canggih kita tidak boleh lagi melaksanakan tugas seperti biasa atau dalam mod business as usual sebaliknya perlu menambah baik dari segi kualiti dan masa supaya pemegang taruh memperoleh manfaat yang sewajarnya.

Era Baharu

Secara umumnya kita melihat perkhidmatan awam di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar sedang memasuki era baharu melalui pelbagai inisiatif dan penambahbaikan demi meningkatkan martabat dan kebajikan penjawat awam sekali gus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kerajaan juga dilihat sangat serius dan komited dalam melaksanakan reformasi sektor awam terutamanya dalam aspek peningkatan tata kelola dan tadbir urus pentadbiran.

Maka penjawat awam perlu membuktikan layak menerima pelarasan gaji ini dengan menyokong agenda reformasi yang sedang dibawa oleh kerajaan dalam kerangka Malaysia Madani.

Dalam hal ini kita tidak mahu dengar lagi isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terus menghantui penjawat awam dan menjejaskan imej dan nama baik perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Penjawat awam yang bermasalah perlu segera ditangani dan diambil tindakan tegas supaya tidak terus mencemar nama baik perkhidmatan awam. Ketua jabatan yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap pegawai bawahan bermasalah wajar dikenakan tindakan tatatertib dan menahan laluan kenaikan pangkat.

Fokus kepada Peningkatan Kompetensi

Bergerak ke hadapan perkhidmatan awam perlu fokus kepada peningkatan kompetensi pegawai dan meletakkan individu yang betul di tempat yang sesuai mengikut kelayakan dan kemahiran diperlukan. Untuk itu, aspek melatih pegawai dengan kompetensi yang diperlukan serta penilaian prestasi berdasarkan kompetensi perlu terus diberi penekanan yang lebih serius secara spesifik. Pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan baharu menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan kepada sistem MyPERFORMANCE diharap dapat menilai prestasi dan kompetensi penjawat awam secara lebih objektif.

Tuntasnya kita mahu perkhidmatan awam menjadi lebih kompetitif, hanya melantik individu yang benar-benar memiliki kompetensi, kemahiran, integriti, sikap dan tingkah laku yang betul dan sesuai untuk berkhidmat dengan kerajaan dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Kita tidak mahu ada lagi penumpang dalam perkhidmatan awam yakni yang hanya mahu jawatan dan kedudukan untuk mengaut keuntungan melalui aktiviti tidak berintegriti seperti rasuah dan penyelewengan. Kelompok ini tidak memudahkan urusan rakyat dan tidak juga membantu membangunkan negara sebaliknya terus culas, membuat onar, memanipulasi kedudukan dan mencemar imej jabatan masing-masing. Oleh itu tiada keperluan untuk kita belas kasihan atau bertimbang rasa terhadap individu seperti ini yang jelas tidak amanah kepada rakyat serta tidak taat dan setia kepada raja dan negara.

Semoga seluruh warga penjawat awam menghayati semangat dan roh Reformasi Perkhidmatan Awam yang dibawa oleh SSPA dengan cara membalas kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri melalui pengamalan budaya dan etika kerja baharu dalam usaha melonjak kecemerlangan negara dan bangsa ke tahap yang terbaik.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)