Oleh Nik Amalena Najebah Nik Azman
Dalam era digital yang semakin maju ini, penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba, dan tablet menjadi penting dalam kehidupan seharian kita. Namun, di sebalik kemajuan teknologi ini, terdapat satu isu yang semakin meruncing yang perlu diberi perhatian penting – e-waste atau sisa elektronik. E-waste merujuk kepada peranti elektronik yang sudah tidak digunakan atau rosak dan dibuang begitu sahaja.
Isu ini menjadi semakin kritikal apabila pertambahan e-waste yang tidak diuruskan dengan betul membawa kepada pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Ini kerana kebanyakan bahan dalam e-waste mengandungi logam berat dan bahan kimia berbahaya seperti plumbum, merkuri, dan cadmium.
Peningkatan e-waste
Di Malaysia, jumlah e-waste dijangka meningkat dengan kadar yang membimbangkan seiring dengan perkembangan pesat dalam penggunaan teknologi. Pada masa sekarang, Malaysia menghasilkan lebih daripada 364,000 tan metrik e-waste setiap tahun. Ini termasuk peranti elektronik yang dibuang oleh pengguna domestik dan sektor industri. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan pengurusan e-waste perlu dipupuk seawal usia muda, bagi memastikan generasi akan datang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan seterusnya dapat mengurangkan kadar e-waste setiap tahun.
Mendidik generasi muda
Generasi muda adalah pewaris masa depan kita dan apa yang diajar kepada mereka hari ini akan menentukan keadaan dunia esok hari. Mendidik generasi muda mengenai pengurusan e-waste bukan sahaja membantu mereka memahami pentingnya menjaga alam sekitar, tetapi juga memupuk sikap bertanggungjawab dalam menguruskan sumber yang ada. Apabila mereka didedahkan kepada kesedaran e-waste sejak usia muda, mereka akan lebih cenderung mengamalkan gaya hidup yang mesra alam sepanjang hayat mereka.
Untuk memastikan kesedaran tentang pengurusan e-waste diterapkan dengan berkesan, pendekatan yang sistematik dan menyeluruh perlu diambil. Melalui pendidikan adalah salah satu medium yang paling berkesan. Sekolah atau institusi Pendidikan memainkan peranan penting dalam menangani masalah e-waste dengan meningkatkan kesedaran awam melalui pelbagai cara. Antara yang paling signifikan adalah menganjurkan program-program kesedaran, menggalakkan inovasi dan penyelidikan, serta bekerjasama dengan industri untuk program kitar semula.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka tentang e-waste. Di rumah, ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menguruskan e-waste dengan betul, serta menggalakkan anak-anak untuk turut serta dalam aktiviti kitar semula.
Disamping itu juga, aktiviti dan program komuniti juga boleh menjadi platform yang efektif dalam memupuk kesedaran tentang e-waste. Menggalakkan generasi untuk terlibat dalam kempen pengumpulan e-waste, permainan interaktif yang mendidik tentang kitar semula, atau pertandingan kreatif menggunakan bahan-bahan e-waste, boleh menjadikan proses pendedahan yang lebih menyeronokkan dan berkesan bagi mereka.
Dalam dunia yang semakin berkembang dengan penggunaan teknologi, isu e-waste tidak boleh diabaikan. Mendidik generasi muda tentang pengurusan e-waste adalah langkah awal yang kritikal ke arah kelestarian alam sekitar. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak – ibu bapa, pendidik, dan masyarakat – untuk mengambil peranan aktif dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya pengurusan e-waste, demi masa depan yang lebih hijau dan lestari. Dengan ini, kita juga turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG 12, yang memastikan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab demi kesejahteraan sejagat.
-- BERNAMA
Nik Amalena Najebah Nik Azman ialah Pensyarah, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional