TINTA MINDA

PERANG MELAWAN ‘SCAM’: MENYINGKAP TREND 2024 DAN HARAPAN KESELAMATAN DALAM TALIAN PADA 2025

07/01/2025 04:23 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Penipuan dalam talian atau ‘scam’ telah menjadi wabak yang semakin meruncing di Malaysia sepanjang tahun 2024. Laporan terkini menunjukkan kerugian yang dialami rakyat Malaysia akibat penipuan ini mencecah angka yang membimbangkan, iaitu kira-kira RM54 bilion setahun, bersamaan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Angka ini bukan sahaja mengejutkan, malah menggambarkan betapa seriusnya ancaman ini terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial negara.

Perkembangan teknologi, terutamanya kecerdasan buatan (AI), telah mendorong evolusi teknik penipuan, menjadikannya lebih canggih dan sukar dikesan. Menurut laporan State of Scam 2024 dari Global Anti-Scam Alliance (GASA), 25 peratus rakyat Malaysia tidak pasti sama ada teknologi AI terlibat dalam penipuan dalam talian yang mereka hadapi.

Keadaan ini menunjukkan jurang kesedaran yang membimbangkan, menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada penipuan yang mengeksploitasi teknologi AI seperti deepfake bagi memperdaya mangsa.

Lebih membimbangkan, 70 peratus mangsa penipuan tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa. Ini menunjukkan kurangnya kesedaran dan keyakinan terhadap keberkesanan proses pelaporan, satu trend yang perlu ditangani dengan segera bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dalam membanteras aktiviti penipuan.

Namun begitu, terdapat beberapa inisiatif positif yang telah diambil oleh pihak berkuasa dan industri untuk menangani isu ini. Dalam ucapan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan khusus terhadap isu keselamatan siber, terutamanya berkaitan dengan penipuan dalam talian. Beliau mengakui bahawa ancaman siber semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan.

Antara inisiatif yang diumumkan kerajaan ialah tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk memperhebat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) bagi memudahkan pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik. Portal ini dijangka akan mengintegrasi data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan, sekali gus mempercepat tindak balas terhadap aktiviti penipuan.

Selain itu, Kementerian Digital juga telah mengumumkan rancangan untuk merangka dasar teknologi kuantum bagi mengukuhkan perlindungan data peribadi. Inisiatif ini, bersama-sama dengan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi, menunjukkan komitmen kerajaan dalam membendung penipuan dalam talian dan melindungi platform digital di Malaysia.

Walau bagaimanapun, penyelesaian teknologi sahaja tidak mencukupi namun pendidikan dan kesedaran awam memainkan peranan yang sama pentingnya. Sepanjang tahun 2024, CyberSecurity Malaysia telah giat menjalankan program-program kesedaran keselamatan dalam talian melalui program CyberSAFE dan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan. Kempen dan program sebegini adalah selari dengan kempen-kempen dan program pendidikan yang dijalankan di negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Jepun.

UK sebagai contoh telah melancarkan kempen "Stop! Think Fraud" yang bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang cara melindungi diri daripada penipuan. Kempen ini melibatkan pelancaran hab dalam talian yang menyediakan nasihat mudah tentang cara melindungi diri daripada penipuan dalam talian, serta iklan yang dipaparkan secara meluas di papan iklan, media massa dan media sosial.

Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan undang-undang, program ini berusaha menyelaraskan mesej anti-scam dan menjadi sebahagian daripada Strategi Fraud UK yang lebih meluas dengan matlamat mengurangkan jenayah penipuan dalam talian sebanyak 10 peratus menjelang Disember 2024.

Mengambil contoh negara Jepun, pendekatan yang diambil dalam pendidikan keselamatan ICT adalah komprehensif, terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) telah memasukkan pendidikan keselamatan maklumat ke dalam kurikulum sekolah yang ditetapkan.

Kurikulum ini merangkumi pelbagai aspek keselamatan ICT, termasuk etika maklumat, undang-undang, keselamatan dan pembinaan masyarakat bertanggungjawab di dalam talian. Pendidikan keselamatan maklumat bermula dari sekolah rendah di mana pelajar diajar asas-asas seperti kepentingan kata laluan dan perlindungan maklumat peribadi. Di peringkat sekolah menengah rendah dan atas, pelajar diberikan pengetahuan yang lebih mendalam berkenaan aspek keselamatan maklumat dan keselamatan siber.

Prinsip 4S bagi membendung penipuan dalam talian

Walaupun pelbagai inisiatif bagi membendung penipuan dalam talian telah diambil oleh pihak berwajib, benteng pertahanan pertama daripada wabak penipuan dalam talian adalah kesedaran di peringkat individu itu sendiri. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap individu perlu memainkan peranan aktif dalam membendung wabak ini. Beberapa langkah harus diambil yang boleh diringkaskan dengan prinsip 4S (Sentiasa Waspada, Sah, Segera Lapor dan Sedar).

Prinsip pertama, sentiasa waspada dan berhati-hati dengan sebarang tawaran atau permintaan yang mencurigakan. Jangan mudah terperdaya dengan janji-janji yang terlalu menggiurkan.

Kedua, sahkan dan pastikan kesahihan setiap maklumat atau permintaan yang diterima. Gunakan teknologi keselamatan seperti pengesahan dua faktor pada aplikasi telefon pintar dan akaun media sosial untuk melindungi akaun dalam talian.

Ketiga, segera lapor jika mengesyaki atau mengalami cubaan penipuan. Laporkan dengan segera kepada pihak berkuasa seperti membuat panggilan kepada NSRC di talian 997. Tindakan pantas boleh membantu mencegah lebih ramai mangsa.

Keempat, sedar dan sebar tentang bahaya ancaman penipuan dalam talian dan tingkatkan kesedaran orang sekeliling. Berkongsi maklumat, pengalaman dan peringatan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan agar mampu meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap penipuan dalam talian.

Natijahnya, usaha pembinaan kapasiti berkenaan kesedaran dan pengetahuan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkat. Satu kerangka menyeluruh bagi pembinaan kapasiti perlu dibangunkan oleh pihak berwajib dengan memfokuskan setiap lapisan umur, merangkumi kanak-kanak sekolah rendah, pelajar menengah, mahasiswa, golongan dewasa, hinggalah kepada warga emas.

Kerangka ini perlu berdasarkan objektif khusus bagi setiap kumpulan sasaran, seterusnya mampu memastikan setiap lapisan masyarakat dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran menghadapi ancaman siber. Melalui pendekatan holistik ini, Malaysia akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi ancaman penipuan dalam talian seterusnya mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

Dengan mengamalkan prinsip 4S dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah digariskan oleh kerajaan seperti dalam Belanjawan 2025 diharap agar penularan wabak penipuan dalam talian dalam kalangan masyarakat dapat dikekang dan masa depan ruang digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia akan terus terjamin.

-- BERNAMA

Penulis Wan Nurhidayat Wan Muhamad ialah penerima biasiswa Chevening United Kingdom 2024 dan calon Ijazah Sarjana Pertahanan Siber dan Jaminan Maklumat, Cranfield University.

Prof. Madya Ts. Dr Noor Afiza Mat Razali ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)