Kemalangan haiwan liar di jalan raya dan keterancaman serta kepupusan hidupan liar merupakan dua isu yang berkait rapat disebabkan oleh aktiviti manusia yang mengubah landskap semula jadi dan menjejaskan keseimbangan ekosistem. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan lebih dari 1 juta haiwan liar mati setiap hari di jalan raya akibat pelanggaran kenderaan. Di Malaysia, kemalangan jalan raya yang melibatkan haiwan liar menjadi antara punca utama kematian hidupan liar terutama di kawasan berhampiran habitat semula jadi.
Trend Membimbangkan
Spesies seperti tapir Malaya (Tapirus indicus), harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dan gajah Asia (Elephas maximus) sering dilaporkan menjadi mangsa. Sebagai contoh, statistik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menunjukkan bahawa antara tahun 2015 hingga 2021, lebih 70 ekor tapir dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan terutamanya di negeri seperti Pahang, Johor dan Terengganu.
Selanjutnya, kejadian kemalangan yang melibatkan haiwan liar di lebuh raya Malaysia antara tahun 2022 hingga 2024 menunjukkan trend yang membimbangkan. Menurut laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) antara tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 2,562 kes kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya direkodkan dengan Pahang mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 755 kes. Harimau Malaya, yang merupakan spesies terancam dengan populasi kurang daripada 150 ekor setakat 2022, sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Antara 2023 dan 2024 terdapat enam kes kematian Harimau Malaya akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan yang memberi ancaman serius terhadap kelangsungan spesies ini iaitu menambah tekanan terhadap populasi kurang daripada 150 ekor yang tersisa. Kelajuan tinggi di lebuh raya meningkatkan risiko kemalangan terutamanya pada waktu malam apabila penglihatan pemandu terhad dan haiwan lebih aktif.
Pembangunan
Pembangunan jalan raya, lebuh raya dan kawasan perumahan telah memotong habitat semula jadi haiwan liar, memaksa mereka melintasi kawasan trafik tinggi. Selain itu, kekurangan lintasan hijau, terowong bawah jalan atau papan tanda amaran turut menyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi. Salah satu kawasan utama yang terjejas adalah jalan raya berhampiran Taman Negara dan Hutan Simpan Krau di Pahang. Di kawasan ini, banyak spesies terpaksa melintasi jalan untuk mencari makanan, air, atau pasangan kerana habitat mereka terpecah akibat pembangunan. Contohnya, di Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), gajah liar sering dilanggar oleh kenderaan berat pada waktu malam. Kemalangan ini bukan sahaja membunuh gajah tetapi juga menyebabkan kerosakan besar pada kenderaan.
Beberapa insiden yang dilaporkan menunjukkan bahawa masalah ini berterusan. Sebagai contoh, pada 16 Mei 2024, seekor Harimau Malaya jantan mati selepas dirempuh sebuah kereta di KM 50 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Selain itu, pada Mac 2024, seekor tapir dilanggar motosikal di Jalan Sungai Panjang dan harimau dahan dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pantai Barat (WCE). Rusa, monyet dan burung liar juga kerap menjadi mangsa kemalangan di kawasan jalan raya berhampiran hutan. Haiwan melintasi jalan untuk mencari makanan, pasangan atau tempat tinggal.
Kemalangan jalan raya mempercepatkan penurunan populasi spesies terancam terutama bagi haiwan yang membiak perlahan seperti tapir dan harimau. Kehilangan spesies ini boleh menyebabkan keruntuhan rantaian makanan yang mana spesies lain juga terjejas akibat ketiadaan pemangsa atau mangsa tertentu. Kematian haiwan muda atau betina yang mengandung turut menjejaskan pertumbuhan populasi. Kehilangan spesies seperti harimau dan gajah pula boleh mengganggu ekosistem kerana mereka memainkan peranan penting dalam mengawal populasi haiwan lain dan menyebarkan biji benih tumbuhan. Untuk mengurangkan insiden ini, beberapa langkah telah dicadangkan termasuk pemasangan papan tanda amaran, pembinaan lintasan hidupan liar seperti jejambat ekologi dan penguatkuasaan had laju di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas pergerakan haiwan liar. Namun, keberkesanan langkah-langkah ini memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran awam yang lebih tinggi mengenai kepentingan melindungi hidupan liar di negara ini.
Langkah Mitigasi
Sebagai langkah mitigasi, Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif. Antaranya pembinaan struktur lintasan hidupan liar, seperti jambatan hijau yang dibina di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di Terengganu. Jambatan ini direka khas untuk membolehkan hidupan liar melintasi jalan dengan selamat, sambil menghubungkan semula kawasan habitat yang terpisah. Di samping itu, papan tanda dan lampu amaran hidupan liar telah dipasang di kawasan berisiko tinggi untuk memberi peringatan kepada pemandu. Satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 mendapati bahawa penggunaan lintasan hijau berjaya mengurangkan kadar kemalangan melibatkan hidupan liar sebanyak 60% selain pemasangan papan tanda di kawasan "hotspot" pergerakan haiwan liar.
Walau bagaimanapun, keberkesanan kesemua langkah ini memerlukan sokongan jangka panjang melalui penyelenggaraan lintasan, pemantauan berkala dan pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan melindungi biodiversiti. Kempen pendidikan tentang kepentingan memelihara biodiversiti dan bagaimana masyarakat boleh membantu seperti memperlahankan kenderaan di kawasan berisiko tinggi mampu membantu mengurangkan kadar kemalangan kalangan haiwan liar ini. Dengan langkah-langkah ini, diharapkan kematian haiwan akibat dilanggar dapat dikurangkan secara signifikan, sambil memelihara ekosistem Malaysia yang unik.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Institut Pengajian Sains Sosial/Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.