Oleh Razinda Tasnim Abdul Rahim
Sejak kebelakangan ini, kempen boikot barangan luar semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kempen ini, yang sering digerakkan oleh isu-isu politik, ekonomi, atau solidariti, nampaknya membuka ruang kepada barangan tempatan untuk lebih menonjol.
Justeru, beberapa pendorong utama masyarakat memilih barangan tempatan telah dilihat dan memberi impak.
Boikot peranan besar peingkatan pembelian barang tempatan
Ada yang berpendapat bahawa boikot memainkan peranan besar dalam peningkatan pembelian barangan tempatan.
Ramai pengguna kini lebih berhati-hati terhadap asal-usul barangan yang mereka beli, sama ada dari segi pengeluar mahupun nilai moral yang disampaikan.
Pempengaruh dan selebriti turut memainkan peranan dengan mempromosikan produk tempatan melalui ulasan produk atau video pendek yang menarik.
Mereka juga juga menguatkan kesedaran ini, di mana pengguna diberi maklumat secara langsung tentang kesan positif menyokong produk tempatan.
Kempen kesedaran di media sosial
Sebagai contoh, platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok kini dibanjiri dengan kempen-kempen kesedaran yang menggunakan tanda pagar seperti #BuyLocal atau #SupportLocalBusiness.
Tambahan pula, pengguna-pengguna TikTok mungkin memuat naik video menunjukkan perbandingan antara produk tempatan dan produk luar, lengkap dengan ulasan jujur tentang kualiti, harga, dan impak kepada ekonomi tempatan.
Video seperti ini sering mendapat ribuan tontonan, komen, dan perkongsian, sekaligus memperluaskan lagi mesej sokongan kepada produk tempatan.
Lebih-lebih lagi, kisah kejayaan usahawan tempatan yang dikongsi melalui media sosial sering memberi inspirasi kepada masyarakat. Contohnya, kisah seorang peniaga kecil yang berjaya meningkatkan jualan kuih tradisional mereka setelah menerima sokongan dari pelanggan tempatan telah menjadi viral di Facebook, mencetuskan gelombang sokongan dari komuniti maya.
Trend semasa atau kesedaran?
Namun begitu, adakah tindakan ini semata-mata kerana "kesedaran"? Atau hanya sekadar trend semasa?
Walaupun sebahagian masyarakat memulakan langkah membeli barangan tempatan kerana kempen boikot, ramai yang akhirnya menyedari manfaat lain produk tempatan, seperti kualiti, harga, dan keunikan produk yang sesuai dengan budaya dan keperluan tempatan.
Dari perspektif ekonomi, barangan tempatan sering dianggap lebih mesra bajet berbanding barangan luar.
Ini menjadi faktor penting, terutamanya dalam kalangan pengguna dari golongan B40 atau mereka yang ingin berjimat cermat di tengah-tengah kos sara hidup yang semakin meningkat.
Harga beras tempatan seperti jenama Beras Nasional atau Beras Faiza sering kali lebih rendah berbanding beras import, menjadikannya pilihan utama bagi pengguna yang ingin berjimat tanpa mengorbankan kualiti.
Begitu juga dengan pakaian seperti baju kurung atau jubah buatan tempatan yang dijual di pasar tani atau butik kecil; harganya lebih berpatutan berbanding jenama antarabangsa, tetapi tetap menarik dari segi reka bentuk dan keselesaan.
Bagi barangan rumah pula, produk seperti perabot rotan atau tikar mengkuang buatan tempatan bukan sahaja lebih murah tetapi juga unik dan tahan lama, menjadikannya alternatif yang lebih ekonomik berbanding produk serupa yang diimport.
Pilihan seperti ini bukan sahaja membantu pengguna berjimat tetapi juga menyokong ekonomi tempatan secara langsung.
Kos pengeluaran tinggi dan nilai eksklusif
Walaubagaimanapun, tanggapan ini tidak sepenuhnya tepat. Sesetengah barangan tempatan, terutama yang berasaskan kraf tangan atau produk organik, mungkin lebih mahal kerana kos pengeluaran yang tinggi dan nilai eksklusifnya. Tetapi majoriti pengguna masih melihat barangan tempatan sebagai pilihan yang lebih mesra dompet, terutamanya bagi produk asas seperti makanan, pakaian, dan barangan rumah.
Bagi sesetengah pengguna, stigma bahawa barangan tempatan kurang berkualiti berbanding produk luar masih wujud. Tetapi pandangan ini semakin berubah. Banyak pengusaha tempatan kini menumpukan perhatian pada aspek kualiti, dengan inovasi dan teknologi terkini yang diterapkan dalam proses penghasilan produk.
Jenama tempatan mampu hasilkan produk ikut piawai tempatan dan antarabangsa
Contohnya, industri makanan dan minuman tempatan kini mampu menghasilkan produk yang tidak hanya memenuhi piawaian tempatan, tetapi juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Begitu juga dengan produk kecantikan dan fesyen tempatan yang semakin diterima sebagai alternatif kepada jenama antarabangsa.
Jenama makanan dan minuman tempatan seperti Mamee Double-Decker dan Brahim’s bukan sahaja menjadi pilihan utama pengguna tempatan, tetapi juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Produk-produk mereka seperti Mamee Monster dan makanan segera Brahim’s kini boleh didapati di banyak negara, termasuk di Eropah, Timur Tengah, dan Asia.
Dalam pada itu, industri kecantikan seperti SimplySiti oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Nita Cosmetics telah menunjukkan bahawa produk tempatan boleh bersaing dengan jenama antarabangsa. Mereka menawarkan produk berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan kulit dan keperluan pengguna tempatan, malah mula mendapat pengiktirafan di luar negara.
Bagi fesyen pula, jenama seperti Bonia, yang bermula di Malaysia, kini dikenali sebagai jenama premium di rantau Asia Tenggara. Jenama-jenama ini membuktikan bahawa produk tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan produk antarabangsa dari segi kualiti dan daya tarikan.
Mampukah kejayaan kekal berpanjangan?
Keberhasilan barangan tempatan sebagai "raja pasaran" sememangnya membanggakan, tetapi persoalannya, mampukah kejayaan ini kekal berpanjangan, atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Pengusaha tempatan juga perlu bersedia untuk melonjakkan jenama mereka ke peringkat global, namun adakah mereka sudah cukup bersedia untuk melangkah jauh, atau masih seperti katak di bawah tempurung, berpuas hati di tempat sendiri?
Selain itu, pengguna memainkan peranan besar dalam memastikan kesinambungan sokongan ini. Adakah masyarakat akan terus memberi kepercayaan kepada produk tempatan walaupun tiada dorongan boikot, atau akankah kita kembali kepada yang lama, ibarat melepaskan batuk di tangga?
Seperti peribahasa "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," revolusi ini menuntut usaha berterusan yang kolektif untuk memastikan barangan tempatan benar-benar menguasai pasaran, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar.
-- BERNAMA
Razinda Tasnim Abdul Rahim ialah Timbalan Dekan Akademik dan Ehwal Pelajar, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Universiti Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).