TINTA MINDA

Hijrah Nafs: Keutamaan Ketika Menyambut Bulan Muharram

02/07/2025 02:44 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Jamilah Mohd Sukri

Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar hijrah. Allah SWT telah mengiktiraf bulan Muharram sebagai salah satu bulan haram dalam Islam seperti tiga bulan yang lain iaitu, Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab.

Jika disoroti dari sudut pensejarahan, bulan Muharram menjadi titik tolak kepada penyebaran agama Islam secara pesat di seluruh pelusuk dunia melalui peristiwa hijrah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW telah berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah untuk menubuhkan kerajaan Islam selepas ditentang secara habis-habisan oleh masyarakat kafir Quraisy.

Antara amalan-amalan sunat yang digalakkan dan diamalkan pada bulan Muharram ialah berpuasa sunat pada 10 Muharram iaitu pada hari Asyura sepertimana sabda Rasulullah SAW:

Dari Abu Qatadah Radiallahu ‘Anhu mengatakan:

“Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura, kemudian baginda menjawab, ‘Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu”

(Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk melipat-gandakan amalan-amalan soleh kerana Allah SWT akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda.

Bahkan, pada bulan ini umat Islam dilarang sama sekali melakukan perbuatan yang diharamkan kerana hukumannya lebih berat berbanding bulan-bulan yang lain.

Ini tidak bermaksud umat Islam boleh berbuat sesuka hati selain bulan Muharram, namun dari segi dosanya adalah lebih besar dan berganda.

Di samping itu, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, memahami kandungan Al-Quran melalui tafsir dan mentadabburinya.

Secara optimisnya, bulan Muharram seharusnya dijadikan titik permulaan bagi umat Islam untuk berubah daripada kehidupan lama kepada kehidupan baru yang lebih baik terutamanya lebih bermotivasi melaksanakan amalan soleh.

Hijrah Nasf

Perubahan diri ke arah yang lebih baik dikenali sebagai Hijrah nafs di dalam bahasa Arab. Dari segi syariat, perubahan diri yang dimaksudkan ialah perubahan diri selaras dengan syariat Islam yang diredhai oleh Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Kahfi (110) yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “…. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

Allah SWT turut berfirman di dalam surah Al-Baqarah (218):

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Di dalam ayat ini, Allah SWT menjanjikan berita gembira buat hambaNya yang berhijrah di jalanNya melalui payungan rahmat dan pengampunan.

Ayat-ayat Al-Quran di atas harus menjadi suntikan semangat buat umat Islam untuk mengubah cara kehidupan yang kurang baik kepada kehidupan yang lebih baik.

Sebagai contoh, jika dahulu kita bekerja kerana untuk mendapatkan penghormatan, gaji dan pujian daripada manusia semata, tukarkan matlamat setiap perbuatan yang kita lakukan semata-mata ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Maka, dari segi pelaksanaan juga akan berubah dan lebih serius menggalas tanggungjawab kerana merasakan Allah SWT sentiasa mengawasi setiap perbuatan yang dikerjakan.

Ini juga berkait rapat dengan sifat ihsan iaitu, merasakan Allah SWT melihat dan mengawasi setiap perbuatan walaupun kita tidak nampak secara zahirnya.

Oleh itu, setiap individu yang sanggup melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik akan memperoleh kebaikan dan rahmat selagimana pelaksanaannya sejajar dengan tuntutan syariat.

Mengingati kematian

Antara kaedah yang boleh diamalkan supaya umat Islam bermotivasi melakukan perubahan diri seperti acuan Islam ialah mengingati mati setiap hari.

Mengingati kematian merupakan sunnah Rasulullah SAW. Seseorang individu yang menjadikan kematian husnul khatimah sebagai salah satu matlamat kehidupan akan merasa takut untuk melakukan sebarang perkara yang tercela.

Hal ini demikian kerana menyedari hakikat bahawa kematian boleh menjemput pada bila-bila masa sahaja.

Akibat bimbang kematian boleh menjemput ketika melaksanakan kemungkaran, maka sikap berjaga-jaga akan sentiasa hadir dalam diri.

Bahkan, akan sedaya upaya mempersiapkan diri dengan menggandakan amalan soleh dengan harapan akan pulang ke‘negeri’ akhirat dalam keadaan kaya dengan amal soleh.

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW tentang sunnah mengingati kematian yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi:

“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan-iaitu kematian-kerana apabila ia diingati dalam keadaan banyak maksiat, ia boleh mengurangkan kemaksiatan tersebut dan apabila diingati dalam keadaan kurang ibadah, ia akan memperbanyakkan ibadah tersebut.”

Jika kita soroti sejarah umat Islam terdahulu, kekuatan empayar Islam ketika zaman kegemilangan Islam kerana adanya pemimpin-pemimpin yang soleh dan takutkan azab Allah SWT.

Ini terbukti melalui kemunculan pejuang-pejuang Islam yang sanggup menggadaikan nyawa, harta dan mengorbankan kesenangan diri demi memastikan syiar Islam tersebar di seluruh pelusuk dunia.

Sebagai contoh, Saidina Abdul Rahman Ibn A’uf yang sanggup mengorbankan hartanya pada jalan Allah SWT untuk memastikan pejuang Islam mendapat keperluan secukupnya.

Padahal, ketika riwayat beliau, beliau telah diiktiraf sebagai salah seorang sahabat memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah.

Namun, disebabkan oleh kecintaan beliau kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, beliau sanggup mengorbankan harta kekayaan semata-mata ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Kecekapan dalam Pengurusan Harta Negara

Tidak dilupakan juga sifat keadilan dan integriti dalam menguruskan harta negara seperti yang ditonjolkan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang telah membawa empayar Bani Umayyah ke zaman kegemilangan.

Beliau cukup terkenal dengan ketokohannya yang mampu mengemudi empayar dengan penuh bijaksana dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Beliau terkenal kerana memiliki sifat yang zuhud serta sentiasa mengingatkan para pemimpin dan rakyat sentiasa bertakwa dengan Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.

Disebabkan sifat inilah, beliau telah berjaya memastikan kebajikan rakyat terpelihara dengan penuh berintegriti.

Ini terbukti beliau mampu meletakkan empayar Bani Umayyah dalam kedudukan yang berprestij melebihi empayar-empayar bukan Islam yang lain.

Jelaslah disini bahawa memiliki keperibadian yang baik dan bertakwa amat penting dalam diri seseorang individu kerana keberkatannya akan mengalir kepada orang-orang sekeliling.

Tidak mustahil juga kemakmuran di suatu tempat boleh terjadi disebabkan oleh adanya pemimpin-pemimpin dan individu yang soleh yang bersama-sama mengimarahkan tempat tersebut.

Membentuk keperibadian Muslim yang lebih proaktif

Secara ringkasnya, menghayati sunnah mengingati kematian merupakan satu kaedah yang proaktif untuk melaksanakan hijrah nafs.

Ianya berupaya membentuk keperibadian Muslim yang lebih proaktif dan itqan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Lebih-lebih lagi dengan menganggap diri sendiri sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tidak benar sama sekali tanggapan sesetengah individu yang liberal berpendapat, mengingati kematian menjadikan seseorang individu lebih malas akibat terlalu fokus dengan perkara-perkara ritual semata.

Bahkan, jika sunnah ini dihayati dan dizahirkan secara praktikal nescaya semua perbuatan yang dilakukan akan dilaksanakan dengan terbaik kerana meyakini sentiasa berada di dalam pengawasan Allah SWT.

Akhirnya, kebahagiaan di dunia dan di akhirat juga boleh diperoleh kerana memperoleh rahmat daripada Allah SWT atas usaha memperelokkan kualiti sesuatu perbuatan yang dikerjakan.

Selain itu, antara kaedah lain adalah fokus kepada kelebihan dan potensi diri yang ada dalam diri sendiri.

Allah SWT telah menciptakan seseorang individu dengan memiliki bakat dan kelebihan yang tersendiri untuk digunakan bagi memakmurkan bumi Allah SWT.

Allah SWT tidak menciptakan manusia memiliki sifat yang sama dengan tujuan untuk saling melengkapi dan saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Namun, tujuan asal penciptaan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan menegakkan syiar Islam.

Maka, Allah SWT telah memberikan kemuliaan kepada manusia melebihi makhluk-makhluk yang lain. Ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ (70):

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Daripada ayat ini, jelas bahawa Allah SWT telah memberikan banyak kelebihan kepada umat manusia sama ada dari segi kecerdasan aqal fikiran, tubuh badan yang sihat dan bermacam lagi nikmat untuk dimanfaatkan kepada manusia.

Begitu juga, Allah SWT telah mengurniakan seseorang individu dengan potensi diri yang tertentu untuk dimanfaatkan kepada jalan-jalan kebaikan.

Sebagai contoh, bagi individu yang mempunyai bakat dalam penulisan, boleh disebarkan manfaat melalui penulisan berilmiah untuk disebarkan kepada masyarakat.

Manakala, bagi individu yang mahir pertukangan, boleh gunakan kemahiran yang dimiliki untuk menghasilkan barangan bagi kegunaan masyarakat dan begitu juga sebaliknya.

Individu yang fokus untuk membangunkan potensi diri tidak akan menghabiskan waktu dengan perkara-perkara yang sia-sia kerana merasakan waktu adalah anugerah Allah yang amat berharga. Lebih-lebih lagi meyakini waktu yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Justeru, waktu yang ada sekarang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Selain itu, melihat kejayaan yang diperoleh oleh orang lain dengan mata hati iaitu, sebagai suntikan semangat untuk meraih kejayaan mengikut acuan tersendiri.

Maksudnya, mereka menilai sesuatu kejayaan yang dimiliki oleh orang lain sebagai suatu rezeki, tanpa mempunyai rasa iri hati atau prejudis.

Secara tidak langsung, melahirkan seseorang individu yang sentiasa berlapang dada akibat melihat sesuatu dengan mata hati.

Mutakhir, kedatangan bulan Muharram merupakan satu khabar gembira buat umat Islam untuk berazam memulakan kehidupan baru yang lebih memilih ketaatan kepada Allah SWT.

Walaupun secara lahiriah tidak berpindah secara fizikal, namun tidak bermaksud kita membiarkan semangat hijrah terpadam begitu sahaja.

Malah, semangat hijrah boleh disahut melalui hijrah nafs iaitu, berazam meninggalkan segala sifat-sifat mazmumah lalu digantikan dengan sifat-sifat mahmudah.

Secara tuntasnya, ianya merupakan suatu pengorbanan yang besar untuk melawan bisikan syaitan dan hawa nafsu yang jahat.

Sesungguhnya, hijrah nafs memerlukan suatu proses mujahadah yang jitu kerana tidak mudah bagi seseorang individu beristiqamah dalam menundukkan kehendak hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada perkara-perkara mungkar.

Tetapi, berkat dengan keazaman yang tinggi disamping memohon bimbingan daripada Allah SWT, tidak mustahil kita mampu memperoleh kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

Wallahu a’lam bissowab

-- BERNAMA

Siti Jamilah Mohd Sukri ialah Pensyarah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Institusi Islam dengan Perniagaan Halal, Fakulti Sains Al-Quran, UCYP University

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)