Dalam dunia yang kian mencabar dengan pelbagai krisis geopolitik dan tekanan kuasa besar, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kekal menjadi satu blok penting yang strategik di peringkat serantau dan global.
Ketegangan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, konflik berpanjangan di Ukraine serta kebangkitan semula blok-blok geoekonomi seperti BRICS (Brazil, Russia, India, China and South Africa) telah mewujudkan ketidaktentuan dalam sistem antarabangsa.
ASEAN, yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan global seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi kawasan rebutan pengaruh dan perhatian strategik.
Dalam persekitaran yang semakin berpecah dan berpolarisasi ini, ASEAN menawarkan pendekatan yang berasaskan konsensus, kesederhanaan dan hubungan bebas tanpa menyebelahi mana-mana kuasa menjadikannya pemain tengah yang dipercayai dalam pelbagai rundingan antarabangsa.
Tambahan pula, ASEAN bukan sahaja mewakili lebih 680 juta penduduk dan ekonomi gabungan bernilai lebih AS$3.6 trilion, tetapi juga menjadi jambatan kerjasama antara negara-negara membangun dan maju.
Maka tidak hairanlah, di sebalik segala cabaran dunia - daripada konflik bersenjata, perubahan iklim, keselamatan siber hingga krisis kemanusiaan, ASEAN terus mendapat pengiktirafan dan sokongan kuasa-kuasa besar serta organisasi antarabangsa sebagai blok yang berperanan besar dalam menstabilkan rantau Indo-Pasifik.
ASEAN – Kepimpinan Malaysia
Tahun 2025 ini juga menyaksikan Malaysia mempengerusikan ASEAN buat kali kelima, satu tanggungjawab yang digalas dengan penuh komitmen dan kepimpinan proaktif oleh Kerajaan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh kesepaduan serantau dan membina masa depan ASEAN yang inklusif dan mampan.
Sehubungan itu, tanggal 8 hingga 11 Julai ini Malaysia bakal mencatat satu lagi sejarah diplomasi penting apabila menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM 58) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mesyuarat AMM ke-58 ini dijangka menarik lebih 35 Menteri Luar Negeri dari serata dunia, termasuk wakil dari Amerika Syarikat (AS), Republik Rakyat China, Persekutuan Rusia, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU), Australia, Jepun, Republik Korea (Korea Selatan) dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC).
Penyertaan ini bukan sahaja memperlihatkan ASEAN sebagai platform utama diplomasi pelbagai hala, bahkan mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap peranan ASEAN dalam menggalas isu-isu global seperti keselamatan maritim, perubahan iklim, hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan seperti yang berlaku di Myanmar dan Palestin.
Mesyuarat kali ini merupakan kesinambungan penting kepada AMM yang berlangsung pada 25 Mei 2025, juga di Kuala Lumpur.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa hasil penting telah dicapai, termasuk:
(1) Penerimaan garis panduan untuk keanggotaan penuh Demokratik Republik Timor-Leste ke dalam ASEAN
(2) Kajian semula Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar yang dipelopori oleh Malaysia
(3) Penerimaan Draf Adendum kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone – SEANWFZ)
(4) Pemantapan komitmen terhadap Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia – TAC)
(5) Perbincangan mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045, peneguhan autonomi strategik dan kebolehan bertindak ASEAN dalam krisis serantau.
Mesyuarat tersebut turut menjadi asas kepada Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung sehari kemudian, menjadikan Kuala Lumpur medan penting rundingan diplomatik Asia.
AMM ke-58 akan dimulakan dengan rundingan teknikal dan penyelarasan antara pegawai kanan ASEAN.
Sorotan utama termasuklah upacara pembukaan oleh Perdana Menteri Malaysia, diikuti oleh Mesyuarat AMM Pleno dan Retreat serta Majlis Menandatangani Perjanjian TAC pada 9 Julai.
Ini diikuti oleh Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN (ASEAN Post-Ministerial Conferences) bersama negara-negara rakan seperti China, Australia, Kanada, India, New Zealand, Jepun, Rusia, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah pada 10–11 Julai.
Seterusnya ialah Forum Serantau ASEAN ke-32 (32nd ASEAN Regional Forum – ARF) dan Mesyuarat Menteri CEAPAD IV (Conference on Cooperation Among East Asian Countries for Palestinian Development) mengenai pembangunan Palestin pada 11 Julai.
Malaysia: Hab Diplomasi Serantau
Kesemua sesi ini akan berlangsung di KLCC, sekali gus memperlihatkan Malaysia sebagai hab diplomatik serantau dengan pelbagai mesyuarat trilateral turut berlangsung melibatkan Malaysia bersama Brazil, Norway, Turkiye, Switzerland dan Sekretariat ASEAN.
Salah satu tumpuan besar AMM ke-58 adalah isu intra-ASEAN, terutamanya dari sudut keselamatan serantau, perdagangan dalaman yang masih rendah serta perpaduan politik dalam menghadapi cabaran global.
Keperluan ASEAN memperkukuh perdagangan intra-blok, yang masih jauh ketinggalan berbanding perdagangan dengan negara luar, juga dijangka akan menjadi keutamaan. Ini akan turut membuka ruang kerjasama lebih erat dengan negara-negara GCC.
Signifikasi AMM ke-58 juga terlihat dalam usaha memperkasakan peranan ASEAN dalam keamanan serantau di mana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah memainkan peranan aktif, termasuk inisiatif diplomatik Perdana Menteri dengan kedua-dua pihak yang bertelagah di Myanmar.
Di samping itu, AMM ke-58 juga akan menjadi platform bagi memperkukuh sokongan ke atas prinsip Pemusatan ASEAN (ASEAN Centrality), mempertahankan rantau sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zone of Peace, Freedom and Neutrality – ZOPFAN) serta memperkukuh komitmen terhadap SEANWFZ bagi mendepani ketegangan senjata nuklear global.
Ketika dunia berdepan cabaran konflik, polarisasi kuasa dan ketidaktentuan ekonomi, ASEAN perlu menjadi blok yang bersatu, bebas, inklusif dan bertindak proaktif.
Malaysia dilihat berada di barisan hadapan dalam memacu arah tersebut. Kejayaan penganjuran AMM ke-58 ini bukan sahaja akan memberi impak kepada kesatuan ASEAN malah akan mengangkat nama Malaysia sebagai nadi diplomasi Asia Tenggara.
-- BERNAMA
Dr Nor Azura A. Rahman ialah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).