Insiden ngeri yang menimpa sekumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun 2025 bukanlah sekadar episod duka yang terpahat dalam lipatan berita semata-mata.
Sebaliknya, tragedi yang meragut 15 nyawa dan mencederakan 33 yang lain, 27 daripadanya parah merupakan manifestasi nyata kegagalan struktur pengurusan operasi kenderaan berat di Malaysia yang sekian lama berakar dalam kelemahan pelaksanaan dasar, kepatuhan, dan budaya keselamatan.
Bas yang membawa 42 penuntut tersebut terbabas dan terbalik setelah bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.
Walaupun punca kejadian masih dalam siasatan, ia mengangkat persoalan lebih besar: apakah sistem pengangkutan awam kita telah benar-benar menjamin keselamatan warganya?
Dalam tempoh tiga bulan pertama 2024 sahaja, sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti bas ekspres, lori dan kontena direkodkan.
Insiden ini telah mengorbankan 287 nyawa, mencederakan 95 individu secara serius, dan mencatatkan 270 kecederaan ringan. Antara punca utama termasuk keletihan pemandu, pemanduan laju, dan penyelenggaraan kenderaan yang tidak mencukupi.
Statistik kemalangan jalan raya sejak lebih sedekad lalu jelas menunjukkan corak yang berulang, khususnya melibatkan bas ekspres dan bas ulang-alik yang beroperasi pada waktu awal pagi.
Berdasarkan data kemalangan dari tahun 2013 hingga 2025, sebahagian besar insiden tragik berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi, dengan faktor keletihan pemandu, kegagalan sistem brek, dan muatan berlebihan dikenal pasti sebagai punca utama.
Tragedi di Gerik pada Jun 2025 yang mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI hanyalah satu daripada rangkaian insiden ngeri, termasuk kemalangan berantai di Kluang dan Maran, serta insiden maut di Ayer Keroh dan Genting Highlands.
Kemalangan di Genting Highlands pada tahun 2013 mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam sejarah negara apabila sebuah bas ulang-alik terjunam ke gaung, mengorbankan 37 penumpang.
Tragedi melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada Mei 2025 turut membongkar pelanggaran keselamatan serius.
Trak FRU tidak dilengkapi tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang, manakala lori batu yang merempuhnya didapati melanggar peraturan pemantauan sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), meskipun ianya diwajibkan oleh undang-undang.
Kegagalan Pengurusan Operasi
Sebagai salah satu teras utama dalam keselamatan pengangkutan, pengurusan operasi meliputi aspek pemilihan dan latihan pemandu, penyelenggaraan kenderaan, serta pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah membangunkan Modul Pemanduan Selamat dan Defensif (Safe and Defensive Driving Person – SDDP) untuk pemandu kenderaan berat.
Modul ini merangkumi aspek penting seperti undang-undang jalan raya, penyelenggaraan kenderaan, dan pencegahan kemalangan. Walaupun sebilangan syarikat telah melaksanakannya, penerapan secara menyeluruh masih kurang memberangsangkan.
Ketiadaan atau ketidakfungsian sistem pemantauan seperti GPS, tali pinggang keledar, serta kenderaan yang tidak diselenggara secara berkala bukan sekadar pelanggaran undang-undang, ia adalah pengkhianatan terhadap keselamatan awam.
Pandangan Perbandingan Antarabangsa
Beberapa negara maju telah mengambil langkah proaktif melalui pendekatan sistemik dan teknologi canggih bagi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan berat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Di Turki, kerajaan mewajibkan pelaksanaan Sistem Pemantauan dan Penyeliaan Elektronik Pengangkutan (U-ETDS) sejak 2024.
Sistem ini merekodkan maklumat penting seperti nombor plat, kelajuan kenderaan, lokasi hentian, tempoh rehat pemandu, serta data penumpang bagi setiap perjalanan.
Selain itu, semua bas antara bandar dilengkapi kamera pemantauan (M-NVR) dan dipantau secara langsung oleh pusat operasi, menjadikan pengawasan lebih telus dan berkesan.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (European Union – EU) pula menetapkan penggunaan tachograph digital yang merekodkan secara automatik tempoh pemanduan, waktu rehat, dan jarak perjalanan bagi semua pemandu kenderaan berat. Peraturan EU juga mengenakan had ketat terhadap tempoh pemanduan maksimum dan rehat minimum bagi memastikan pemandu sentiasa berada dalam keadaan cergas dan selamat.
Di Amerika Syarikat, penggunaan Peranti Pembalakan Elektronik (Electronic Logging Devices – ELD) diwajibkan untuk semua pemandu lori yang beroperasi antara negeri.
ELD disambungkan terus ke enjin kenderaan dan menghantar data secara langsung kepada pengurus armada, membolehkan pemantauan waktu kerja, status penyelenggaraan, dan penggunaan bahan api secara optimum.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pemantauan masa nyata dan automasi rekod merupakan teras penting dalam mengurus risiko industri pengangkutan berat.
Beberapa negara maju telah menunjukkan bagaimana pendekatan sistemik, berasaskan data dan teknologi tinggi mampu meningkatkan keselamatan pengangkutan berat.
Jepun, misalnya, mengaplikasikan pendekatan PDCA (Plan–Do–Check–Act) dalam pelaksanaan dasar keselamatan yang berterusan, dengan penetapan sasaran berdasarkan analisis kemalangan sebenar serta integrasi aspek manusia, infrastruktur dan kenderaan.
Teknologi seperti sistem pemantauan pemandu berasaskan AI – contohnya “AIS” oleh syarikat Macnica membolehkan pengesanan awal tanda mengantuk tanpa melanggar privasi, sekali gus mencegah insiden lebih awal.
Jepun turut menggunakan Electronic Toll Collection 2.0 (ETC2.0), iaitu sistem kutipan tol elektronik generasi baharu yang bukan sahaja mempercepat aliran trafik, tetapi juga berperanan dalam pengurusan laluan dan pemantauan berat kenderaan secara automatik.
Tambahan pula, peraturan keselamatan aktif seperti Electronic Vehicle Stability Control diwajibkan bagi semua trak dan bas baharu di bawah piawaian United Nations Economic Commission for Europe (UNECE-Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah).
Sementara itu, Australia menerusi agensi National Heavy Vehicle Regulator (NHVR) menekankan keselamatan sebagai tanggungjawab bersama antara pemandu, pengendali dan pemilik muatan.
Strategi mereka merangkumi pendidikan keselamatan berterusan, audit berasaskan risiko, penggunaan teknologi pemantauan, serta kerjasama antara industri dan agensi penguatkuasa merupakan satu pendekatan holistik yang wajar dicontohi.
Saranan Polisi di Malaysia
Di Malaysia, Kod Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 telah diwujudkan sebagai panduan keselamatan, namun cabaran utama terletak pada aspek pelaksanaannya yang masih longgar.
Antara langkah penting yang perlu diperkukuh termasuklah pelaksanaan wajib Kerangka Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), serta latihan keselamatan berkala.
Langkah-langkah ini tidak seharusnya hanya disyorkan, tetapi dikuatkuasakan secara mandatori ke atas semua syarikat pengangkutan jalan.
Sebagai usaha memperkukuh sistem sedia ada, beberapa saranan dasar wajar dipertimbangkan pihak berkuasa.
Antaranya termasuk keperluan mandatori bagi semua kenderaan berat untuk dipasang sistem GPS dan kamera pemantauan dalaman, bagi memantau kelajuan, corak pemanduan dan waktu rehat pemandu secara masa nyata.
Di samping itu, latihan keselamatan berstandard nasional berasaskan modul Safe Driving and Defensive Programme (SDDP) dan audit keselamatan berkala menggunakan kerangka HIRARC perlu dikuatkuasakan di seluruh industri.
Peraturan keselamatan kenderaan juga harus diperketat, termasuk kewajipan memasang tali pinggang keledar di semua tempat duduk serta memastikan fungsi GPS kekal aktif sepanjang operasi.
Langkah lain yang tidak kurang penting ialah peningkatan aspek penguatkuasaan dan penalti terhadap pelanggaran peraturan. Pelaporan GPS secara berkala kepada agensi penguat kuasa boleh dijadikan asas pemantauan berpusat.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga wajar menggalakkan pemodenan armada melalui penggunaan teknologi hijau dan ciri keselamatan tinggi seperti yang diamalkan oleh syarikat seperti Handal Indah Sdn. Bhd., yang melabur dalam pengoperasian bas elektrik.
Pendekatan menyeluruh ini mampu meletakkan semula keselamatan sebagai keutamaan dalam sistem pengangkutan awam dan logistik negara.
Sudah tiba masanya Malaysia tidak hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Undang-undang wajib dikuatkuasa, dan teknologi keselamatan tidak boleh menjadi pilihan, ia mesti menjadi peraturan.
Pengusaha kenderaan berat harus dipertanggungjawabkan, dan budaya pengurusan operasi yang cekap perlu menjadi norma industri, bukan pengecualian.
Seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS): “Sebanyak 80% kemalangan melibatkan faktor manusia, dan sistem pemantauan pemandu ialah kunci pencegahan.”
Rakyat Malaysia tidak boleh lagi menunggu tragedi seterusnya untuk bertindak. Sudah tiba masanya reformasi keselamatan jalan raya benar-benar dilaksanakan, demi nyawa, demi masa depan.
-- BERNAMA
Dr. Noor Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan, Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.