Dalam memenuhi tuntutan tugas dan ‘Key Performance Indicator’ (KPI) yang serba pantas, ramai tidak sedar bahawa keletihan yang kita alami bukanlah akibat daripada tidur yang tidak cukup semata-mata. Hakikatnya, rehat datang dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi penentu kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi kita. Berikut dikongsikan tujuh jenis rehat yang boleh membantu untuk mengelakkan ‘burnout’ atau keadaan kelelahan ekstrem, baik secara fizikal, emosi mahupun mental sekaligus dapat meningkatkan prestasi kita pada tahap terbaik.
Rehat fizikal
Tanda-tanda kita perlukan rehat fizikal - apabila tubuh kita mengalami keletihan berpanjangan, badan terasa lesu, kerap sakit atau sakit otot. Rehat fizikal boleh dikategorikan kepada dua iaitu rehat fizikal aktif dan rehat fizikal pasif. Tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam atau tidur sebentar (nap) adalah rehat fizikal pasif. Sementara itu, rehat fizikal aktif pula adalah dengan melakukan aktiviti regangan, urutan atau yoga. Dengan melakukan rehat fizikal ini, badan berupaya pulih dari keletihan dan meningkatkan tenaga individu.
Rehat mental
Kesukaran untuk memberi fokus, fikiran kabur, cepat marah atau mudah terganggu menunjukkan tanda yang kita memerlukan rehat emosi. Rehat emosi ini kita boleh lakukan melalui latihan pernafasan, cari tempat yang tenang untuk bermeditasi, berjalan di taman atau mendengar alunan zikir. Sebagai seorang muslim, saat duduk sebentar di sejadah setelah selesai solat juga merupakan satu daripada cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan rehat mental.
Rehat emosi
Terlalu banyak berfikir, perasaan cemas, kurang keyakinan diri atau terlalu terkesan dengan masalah amat melelahkan emosi individu. Di saat itu, individu sebaiknya mencari ruang untuk melepaskan tekanan dengan mendapatkan nasihat daripada pakar, berkongsi rasa dengan ahli keluarga atau rakan yang selesa dan dipercayai atau dengan menulis jurnal. Selain itu, elakkan perbandingan sosial atau mendekati individu yang boleh memberikan ‘tenaga negatif’ kepada kita. Rehat emosi ini sangat penting bagi memastikan keunggulan dan kesejahteraan psikologi individu.
Rehat rohani
Apabila rasa tidak bermotivasi, terperangkap, tidak bermakna atau hilang arah hidup maka saat ini diri kita amat memerlukan rehat rohani. Ianya melibatkan kita mencari makna dan tujuan dalam hidup. Saat ini berdoa dan beribadalah mengikut kepercayaan agama masing-masing. Selain itu, kita boleh menyertai program-program keagamaan atau kerja-kerja sukarela yang membantu kita memahami tujuan hidup yang sementara di dunia ini selain mendekatkan diri dengan pencipta. Ambillah masa untuk menyusun kembali perancangan hidup namun sentiasalah ingat bahawa manusia hanya mampu merancang tetapi rencana daripada Tuhan adalah sebaik-baik rancangan.
Rehat sosial
Pernah rasa sunyi walaupun dikelilingi ramai orang? Saat anda merasa perasaan itu, rehat sosial boleh membantu kita pulih. Individu yang bersifat introvert akan lebih cenderung untuk merasa lelah atau rimas setelah berjumpa dengan ramai orang akibat daripada interaksi sosial ini. Rehat sosial itu bukanlah bermaksud kita mengasingkan diri sepenuhnya tetapi ia menggalakkan kita memilih dengan bijak individu yang dipilih untuk berkongsi atau meluangkan masa bersama. Tidak menjadi masalah jika kita memilih untuk bersendiri menikmati masa dan memulihkan tenaga. Memilih diri sendiri berbanding orang lain bukan bermakna mementingkan diri. Ia adalah tanda kita mempunyai hak untuk menjaga kesejahteraan mental kita.
Rehat deria
Rehat deria diperlukan apabila mata terasa berat, sensitif terhadap bunyi bising atau terganggu dengan rasa dan bau. Cara mendapatkan rehat deria boleh dilakukan dengan menjauhkan diri seketika daripada skrin, media sosial atau alat elektronik. Habiskan masa ditempat yang tenang, matikan alat-alat elektronik yang mengganggu atau mengeluarkan bunyi yang kuat. Luangkan masa dengan melakukan aktiviti yang mempunyai interaksi dengan alam semula jadi juga membantu kita untuk mendapatkan rehat deria yang diperlukan.
Rehat kreatif
Kadangkala kita sukar menghasilkan idea atau tiada kreativiti dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Saat ini rehatlah seketika daripada tugasan harian yang kita lakukan. Pilih untuk keluar seketika menikmati alam semula jadi, mendengar muzik, melukis atau pergilah bercuti bagi merehatkan minda. Melakukan aktiviti seperti zumba atau menonton persembahan juga antara aktiviti yang boleh membantu anda untuk mendapatkan rehat kreatif.
Kesihatan dan produktiviti tidak bergantung kepada kerja keras semata-mata, tetapi bergantung juga kepada kemampuan diri untuk berehat dengan bijak. Dengan mengenali jenis rehat yang diperlukan, kita bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti hidup, malah dapat mengelakkan tekanan melampau yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Jadikan rehat sebagai satu keutamaan kerana diri kita berhak untuk pulih dan berkembang dengan seimbang.
-- BERNAMA
Farhawahidah Ahmad Puad ialah Pegawai Belia dan Sukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).