TINTA MINDA

Kepintaran Buatan (AI): Ancaman Kerjaya Bagi Graduan Komputer?

25/07/2025 05:25 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Suhailan Safei

Perkembangan kepintaran buatan (AI) dilihat semakin relevan dalam persekitaran pekerjaan rasmi dengan kemampuan AI menggantikan tugas manusia terutama dalam penyelesaian masalah yang memerlukan tahap kognitif atau pemikiran yang kritis dan kreatif.

Revolusi ini mencetuskan kebimbangan banyak pihak terutama graduan baharu yang belum mempunyai pengalaman dan terdedah dengan teknologi baharu.

Tambahan dengan isu ekonomi yang semakin mencabar, kerisauan ini turut dirasai oleh pekerja yang sudah lama bekerja tapi masih ketinggalan dalam persaingan kemahiran teknologi semasa yang mengambilalih persekitaran kerja semasa.

Teknologi AI ini secara tidak langsung mempengaruhi juga bidang sains komputer dan teknologi maklumat (ICT).

Bidang AI merupakan bidang yang sudah lama diperkembangkan dalam disiplin ilmu ICT ke arah menggantikan tugas-tugas rutin manusia.

Konsep AI ini sudah lama digunapakai oleh pembangun sistem terutama dalam mengautomasi kerja pembangunan sistem itu sendiri seperti pembangunan fungsi guna semula kod aturcara.

Permasalahan berkaitan pengaturcaraan turut dikongsi secara meluas, bebas dan percuma di Internet yang akhirnya membolehkan pengetahuan ini direkabentuk dalam format bot sembang yang boleh digunapakai oleh orang awam.

Sistem berasaskan AI sekarang sudah mampu mencadangkan kod aturcara sistem berdasarkan keperluan pengguna hanya melalui arahan ringkas.

Malah arahan ini juga sudah ada banyak dikongsi di Internet untuk digunapakai. Kita sudah boleh menghasilkan satu laman web lengkap dengan rekabentuk profesional dalam masa tidak sampai 10 minit tanpa perlu mengupah pembangun laman web.

Jika kos membina laman web boleh mencecah 10 ribu sebagai upah pembangunan, kini, majikan hanya perlu bercakap dengan AI seperti ChatGPT untuk mendapatkan hasil yang sama secara percuma.

AI-Cabaran Graduan ICT

Namun, dalam sudut pandang berbeza, teknologi ini dilihat seakan menjadi ancaman kepada graduan ICT dalam prospek peluang pekerjaan.

Peluang kerjaya bukan hanya terancam akibat AI, namun banyak faktor yang boleh menyumbang kepada isu ini.

Sebagai contoh, banyak kerja sekarang sudah boleh dibuat sendiri melalui lambakan perkongsian video “DIY” atau kursus dalam talian di Internet. Era pengetahuan di hujung jari ini telah membolehkan penyelenggaraan rumah, pembaikan alatan elektrik, penyediaan makanan mahupun pengetahuan profesional seperti kursus pengaturcaraan dapat dipelajari dan dipraktikan sendiri oleh orang awam.

Malah ada juga kes yang telah membuka klinik pergigian sendiri hanya berdasarkan pengetahuan di Internet sahaja.

Persoalannya adakah ini telah menjejaskan graduan dalam bidang terbabit. Tidak dinafikan, memang ada kerja yang orang awam boleh selesaikan sendiri melalui pembelajaran tidak formal sama ada melalui Internet ataupun perisian AI.

Namun begitu, ada beza antara graduan universiti dengan graduan Internet yang melalui pembelajaran formal yang menjurus menjadi tenaga mahir dalam bidang tertentu.

Graduan universiti menjalani latihan sepenuh masa yang komprehensif meliputi pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tertentu yang telah digubal secara sistematik oleh banyak pihak berkepentingan dalam sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam sesuatu kerja, kita bukan sahaja mementingkan ia cepat siap. Tetapi ia mesti selamat apabila digunakan oleh orang awam dan banyak aspek lain yang perlu diperhalusi terutama dalam sistem yang melibatkan data.

Tidak dinafikan sistem yang dibuat oleh pembangun sistem berpengalaman turut terdedah kepada keselamatan dan kebocoran data, tapi ia tidak perlu dibimbangi kerana mereka telah dilatih dalam bidang mereka untuk mengatasi masalah tersebut dengan segera.

Walaubagaimanpun, sekiranya berlaku masalah daripada sistem yang dijana menggunakan perisian AI oleh orang yang bukan bidang, ia akan menjadi satu masalah kritikal berkaitan siapa yang akan bertanggungjawab dan bagaimana hendak diselesaikan.

Sistem AI seumpamanya tidak dibina dengan tahap keselamatan khusus untuk semua konteks penggunaan.

Sebarang kod atau sistem yang dijana oleh AI masih memerlukan semakan dan pemahaman manusia, terutama dalam aspek seperti pengendalian data peribadi, pematuhan perundangan, log masuk pengguna, enkripsi, pemprosesan algoritma, dan pelan risiko ancaman sistem.

Kod yang dijana AI kadangkala mengandungi kesilapan logik pemprosesan dan keselamatan, terutama apabila AI digunakan oleh individu tanpa latar belakang teknikal yang mencukupi.

Graduan ICT yang belajar selama 3 hingga 4 tahun dalam bidang ini pasti didedahkan dengan pelbagai kursus berkaitan dalam memastikan sistem bukan sahaja dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan memenuhi keperluan pengguna.

Mereka turut didedahkan serta dilatih berkaitan aspek tenikal lain seperti serangan siber, isu capaian serentak pengguna yang ramai, konfigurasi pelayan dan rangkaian, kawalan pengesahan pengguna, rekabentuk sistem atau pangkalan data, penyelenggaraan sistem serta etika berkaitan pengendalian sistem digital.

Selain itu, pelajar ini juga turut diberikan latihan meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, komunikasi secara berkesan, pengurusan kerja dalam kumpulan, profesionalisma dan etika serta penambahbaikan kemahiran interpersonal.

Namun begitu, tidak dinafikan peluang kerjaya sangat berkait rapat dengan keperluan industri.

Cabaran Kerjaya

Institusi pengajian tinggi perlu memastikan program akademik adalah berdaya saing dan memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi.

Kepentingan penggunaan teknologi AI perlu dilihat sebagai alat pelengkap dan sokongan dalam memperkasa graduan ICT yang lebih praktikal dan mudah beradaptasi dalam industri.

Graduan hari ini tidak boleh bergantung kepada pengetahuan teori dan kemahiran teknikal asas semata-mata.

Mereka perlu dilatih cara untuk bekerjasama dengan AI, memahami konteks, dan menambah nilai hasil projek dengan bantuan AI.

Cabaran kerjaya bukan sekadar berkait dengan sikap pelajar, tapi sebenarnya turut menuntut tenaga pengajar akademik yang lebih berpengalaman untuk turut berubah seiring dengan keperluan semasa dan industri.

Silibus pengajian perlu dikontemporarikan dengan pengetahun baharu dan teknologi semasa.

Pengajaran dan pembelajaran (PdP) pula tidak lagi berkisar kepada teori asas semata-mata, ia perlu kepada kajian kes sebenar, latihan dalam bentuk praktikal penyelesaian masalah dunia nyata dan hasil projek beroerientasikan industri ataupun berimpak komuniti.

Cabaran ini agak sukar dilaksanakan jika dilihat kepada beban kerja pensyarah ditambah dengan jumlah unjuran pelajar yang semakin bertambah saban tahun.

Namun, ia sebenarnya akan lebih mudah apabila pensyarah juga turut menggunakan AI dalam membantu proses PdP.

Sebagai contoh, selain pensyarah sebagai fasilitator, pelajar boleh menggunakan AI sebagai fasiliator sokongan dalam memahami dan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, walaupun perisian AI menawarkan peluang baharu dalam automasi dan kecekapan sesuatu kerja, majikan masih memerlukan orang yang terlatih dalam bidang dalam memastikan sesuatu penyelesaian itu mampan, berdaya saing dan mempunyai kawalan kebertanggungjawaban.

Namun, dengan wujudnya teknologi ini, pihak majikan dapat mengoptimunkan kos kerana bebanan kerja bagi seorang pekerja mahir dapat dikurangkan dengan bantuan AI.

Justeru, penggunaan teknologi AI dan pembangunan bakat tempatan perlu diasimilasikan dalam memastikan kelangsungan ekonomi digital yang lebih berimpak tinggi dengan sumber yang lebih berdaya saing.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Suhailan Safei ialah pensyarah di Fakulti Informatik dan Komputeran, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Besut, Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)