PENA WANITA

Didik Literasi Sisa: Bandar Selamat, Alam Terpelihara

30/07/2025 10:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Adibah Amir

Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, masalah banjir kilat semakin meresahkan. Bukan sahaja menggugat kelancaran hidup warga kota, tetapi turut menjejaskan ekonomi dan alam sekitar. Kajian menunjukkan antara punca banjir kilat di bandar adalah curahan hujan yang sangat tinggi, pernah direkodkan melebihi 114mm dalam satu jam menyebabkan limpahan air melebihi kapasiti sistem saliran.

Selain itu, pembangunan pesat tanpa perancangan sistem tadahan air semulajadi juga telah meningkatkan kelajuan aliran permukaan, menjadikan kawasan tadahan bandar terdedah kepada risiko bajir kilat. Faktor lain termasuk penyelenggaraan infrastruktur saliran dan longkang yang tidak konsisten, serta kesan perubahan iklim global yang menjadikan corak hujan semakin tidak menentu.

Namun begitu, satu faktor yang sering diabaikan dan mempunyai implikasi besar ialah amalan membuang sisa yang tidak sesuai seperti minyak masak terpakai dan lemak makanan terus ke dalam sinki dapur. Ramai masih tidak menyedari bahawa sisa berminyak daripada dapur, seperti kuah sup, kari dan minyak goreng terpakai, tidak boleh dibuang terus kedalam sinki. Minyak yang dibuang akan terkumpul dalam sistem perpaipan, menyejuk dan mengeras, lalu membentuk lapisan tebal yang menyumbat saluran. Campuran sisa pepejal dan sisa minyak ini menyebabkan pengaliran air menjadi perlahan, seterusnya menyumbang kepada sistem perparitan tersumbat. Masalah ini menjadi lebih parah apabila ia berlaku secara meluas di rumah, restoran, pantri pejabat dan premis makanan di seluruh bandar.

Menurut laporan, pihak berkuasa tempatan di Malaysia membelanjakan lebih RM40 juta setahun untuk membersihkan sistem longkang dan saliran monsun yang tersumbat akibat sampah, termasuk minyak goreng dan lemak makanan di kawasan bandar. Dalam kes tertentu yang berlaku di Ipoh, saliran yang tersumbat dengan sisa makanan dan minyak menyebabkan air melimpah masuk ke rumah dan membawa bau busuk yang menyelubungi kawasan kejiranan. Jelas bahawa literasi masyarakat mengenai impak amalan ini masih belum mencukupi dan memerlukan intervensi menyeluruh.

Langkah-langkah yang digerakkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti program pengumpulan minyak masak terpakai patut dipuji dan disokong secara menyeluruh. Melalui program ini, minyak masak yang sudah digunakan boleh dijual semula untuk diproses menjadi biodiesel, sekaligus menjana pendapatan sampingan. Dalam masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting apabila mereka menganjurkan bengkel pemindahan ilmu kepada masyarakat tentang cara menghasilkan sabun pencuci daripada minyak masak terpakai. Inisiatif sebegini bukan sahaja bersifat lestari, malah mendidik masyarakat supaya tidak bergantung kepada sistem pelupusan konvensional semata-mata.

Tingkat Kesedaran Pengurusan Sisa Berbahaya

Masalah pembuangan sisa yang tidak sesuai ke dalam sinki tidak terhad di dapur sahaja. Di makmal sekolah dan universiti, masih wujud kecenderungan dalam kalangan pelajar untuk membuang lebihan bahan kimia terus ke dalam sinki selepas eksperimen. Tindakan berbahaya ini bertentangan dengan etika serta prosedur keselamatan makmal. Jika pelajar mendapati ada lebihan cecair kimia di dalam bikar, mereka sepatutnya merujuk kepada pensyarah atau penyelia makmal terlebih dahulu. Setiap bahan kimia mempunyai cara pelupusan berbeza bergantung kepada tahap bahaya dan sifatnya. Kebanyakan makmal menyediakan bekas khas berlabel seperti ‘Sisa Asid’, ‘Sisa Organik’, atau ‘Sisa Berbahaya’ untuk menampung sisa kimia secara selamat.

Perbuatan membuang lebihan cecair kimia terus ke dalam sinki tanpa merujuk arahan keselamatan, sebenarnya menyumbang kepada pencemaran air dan kerosakan sistem pembetungan. Contohnya, lebihan larutan asid kuat atau sebatian logam berat boleh menyebabkan kakisan pada paip dan mencemarkan aliran air jika tidak dikendalikan dengan betul. Dalam satu kes yang pernah dilaporkan di sebuah makmal universiti tempatan, larutan yang dibuang terus ke dalam sinki menyebabkan tindak balas kimia tidak dijangka yang menghasilkan gas beracun dan memaksa pengosongan makmal selama dua hari. Jelaslah, literasi pengurusan sisa di makmal adalah sebahagian daripada tanggungjawab sivik dan profesional yang mesti dipupuk seawal peringkat pendidikan.

Perbandingan antara bandar di Asia menunjukkan bahawa tahap literasi berkait rapat dengan pengurusan sisa dan impaknya terhadap kualiti hidup. Di Tokyo, Jepun, tahap literasi ekologi masyarakat sangat tinggi sehingga mereka mengamalkan sistem pengasingan sisa yang ketat sejak di rumah lagi. Hasilnya, insiden seperti banjir kilat amat jarang berlaku walaupun Tokyo juga menghadapi hujan lebat. Sebaliknya, di beberapa bandar besar di Asia Tenggara termasuk Kuala Lumpur dan Jakarta, banjir kilat berlaku lebih kerap kerana literasi pengurusan sisa di peringkat akar umbi masih rendah.

Terkini, dapatan kajian menunjukkan tahap kesedaran penduduk Kuala Lumpur terhadap kepentingan kitar semula dan pengasingan sisa melebihi 80 peratus, namun kadar literasi amalan sebenar masih rendah. Kurang daripada 20 peratus penduduk dilaporkan mengambil bahagian secara konsisten dalam program kitar semula dan pengasingan sisa di rumah membayangkan wujudnya jurang besar antara kesedaran dan tindakan.

Thailand pula tampil sebagai model menarik melalui inisiatif ‘Mor Sa Ard’ atau ‘Doktor Kebersihan’. Inisiatif komuniti ini melibatkan pelajar, pendidik dan penduduk setempat dalam mengasing dan mengurus sisa semasa acara keagamaan dan harian di kuil serta sekolah. Konsepnya mudah tetapi mendalam: mendidik masyarakat agar mengurus sisa secara sopan, tidak meletakkannya di tanah, dan memberi penghormatan kepada persekitaran. Inisiatif ini berkembang ke lebih 200 institusi, dianggap sebagai pendekatan budaya yang berjaya meningkatkan literasi sisa.

Di Taiwan pula, pendekatan lebih berteknologi digunakan. Kadar kitar semula isi rumah mencapai 55 peratus, manakala sisa industri diurus sehingga 77 peratus. Kerajaan memperkenalkan sistem pengumpulan melalui beg berwarna khas dan mesin ‘iTrash’ yang memberi ganjaran kepada pengguna yang membuang sisa dengan betul. Ia dijalankan secara konsisten sejak tahun 1997 dan berjaya mengurangkan kadar sisa harian per kapita daripada 1.14 kg kepada 0.43 kg. Kejayaan ini mencerminkan tahap literasi sivik dan tanggungjawab alam sekitar yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Apabila masyarakat tidak memahami kesan perbuatan kecil seperti membuang minyak atau bahan kimia ke dalam sinki, maka tabiat buruk ini akan diteruskan tanpa rasa bersalah. Tindakan-tindakan kecil ini sebenarnya mampu membawa kepada akibat besar — dari kerosakan paip dan pencemaran, hinggalah banjir kilat yang meragut harta dan nyawa. Maka, usaha memperkukuh literasi pengurusan sisa perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina sebuah bandar yang bersih, selamat dan tahan bencana. Pendidikan dan latihan berkala, penyediaan kemudahan pelupusan yang sesuai, dan penguatkuasaan undang-undang perlu berjalan seiring. Pelajar, pengguna makmal, pengusaha restoran, dan penghuni bandar semuanya mempunyai peranan untuk mengurus sisa dengan bertanggungjawab. Bandar yang maju bukan sekadar pada bangunan dan jalan rayanya, tetapi pada rakyat yang peka, berilmu dan beretika dalam tindakan seharian mereka.

Sudah tiba masanya kita menghentikan budaya membuang sesuka hati. Sinki bukan tempat segala-galanya boleh dilenyapkan. Setiap titis minyak atau larutan kimia yang dibuang tanpa berfikir boleh membawa kesan besar – daripada kerosakan infrastruktur, pencemaran alam, hingga kepada bencana seperti banjir kilat yang semakin kerap berlaku. Maka, literasi pengurusan sisa bukan sekadar soal teknikal, ia adalah simbol kematangan masyarakat dalam membina persekitaran yang bersih, selamat dan lestari untuk semua.

-- BERNAMA

Adibah Amir ialah Pensyarah Kanan Kejuruteraan Pembuatan & Bahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)