KETAMADUNAN

Keunikan Dialek Melayu, Warisan Bahasa Yang Kian Terpinggir

01/08/2025 09:57 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nor Athira Md Amin

Kekayaan bangsa dan budaya di Malaysia merupakan satu daripada keistimewaan negara kita. Keunikan Malaysia juga tidak dapat dipisahkan dengan kepelbagaian dialek yang terdapat di Malaysia. Dialek terbahagi kepada dua jenis iaitu, dialek geografi dan dialek sosial. Dialek geografi merupakan variasi bahasa yang ditentukan berdasarkan ruang geografi bagi tempat penutur yang menetap di sesuatu kawasan itu.

Dialek sosial pula variasi bahasa yang disebabkan oleh jurang sosial yang terdapat dalam lapisan masyarakat seperti golongan istana dan rakyat biasa. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dialek didefinisikan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial. Dialek juga mempunyai perbezaan dengan bahasa standard, loghat atau pelat daerah.

Kepelbagaian Dialek Melayu

Terdapat perbezaan antara dialek Melayu dari segi fonetik, fonologi, morfem, sintaksis, kosa kata mahupun makna. Terdapat lebih daripada 14 dialek Melayu hanya di Semenanjung Malaysia seperti Dialek Melayu Kelantan, Dialek Melayu Terengganu dan Dialek Melayu Johor. Dialek-dialek Melayu ini dapat kita bezakan dengan sistem fonetik dan fonologi yang berbeza.

Sebagai contoh, makan (Dialek Melayu Johor) dan makang (Dialek Melayu Terengganu). Dari segi perbezaan kosa kata, contohnya, deme (Dialek Melayu Kelantan) dan awak (Dialek Melayu Johor). Dengan adanya perbezaan ini, maka dialek dapat dibahagikan terutamanya mengikut kawasan geografi, bersama dengan subdialek lain. Pembahagian ini dapat dilihat daripada isoglos, iaitu garis pemisah antara dialek pada sesuatu kawasan.

Dialek Sebagai Cerminan Budaya

Setiap dialek mencerminkan identiti dan nilai budaya, serta cara hidup masyarakat setempat. Penutur bagi setiap dialek menggambarkan latar belakang penuturnya sendiri. Melalui pertuturan seperti dialek Terengganu, Sabah dan Sarawak, pastinya mudah mengenali tempat asal bagi penutur tersebut. Pertuturan dialek juga dapat mengaitkan penutur dengan sejarah sesuatu tempat. Misalnya, jika penutur dialek Melayu Johor pastinya akan dikaitkan dengan Dialek Johor Riau.

Sehubungan itu, rasa ingin tahu pasti timbul, serta pembacaan dan pengkajian terhadap sejarah akan dilakukan. Selain itu, apabila penggunaan dialek meluas dalam kalangan penutur, maka ia dapat memelihara warisan budaya bagi setiap masyarakat setempat. Oleh itu, identiti bagi setiap budaya dan masyarakat dapat dikekalkan melalui dialek kerana dialek merupakan tradisi lisan yang patut dipelihara pada semua peringkat umur dan generasi.

Penggunaan Dialek Yang Semakin Terpinggir

Faktor seperti media, pendidikan, penghijrahan dan globalisasi menyebabkan penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat Melayu semakin menipis. Pemupukan ibu bapa tentang penggunaan bahasa asing kepada anak-anak pula semakin meningkat. Sebagai contoh, penggunaan bahasa asing yang dominan seperti bahasa Inggeris menyebabkan penggunaan dialek Melayu semakin pudar.

Perkara ini juga tidak dapat lari dari persepsi negatif tentang penggunaan dialek yang kononnya tidak maju dan tidak sesuai digunakan dalam kalangan masyarakat masa kini. Rentetan itu, penutur malu dan tidak mahu menggunakan dialek dalam pertuturan harian. Kandungan sosial media yang kurang mengetengahkan dialek-dialek Melayu dalam kalangan penuturnya juga menyebabkan penggunaan dialek tidak meluas.

Kepentingan Melestarikan Dialek

Kepelbagaian dialek di Malaysia perlu dipelihara dan diwarisi dalam kalangan generasi muda. Hal ini kerana, dialek memainkan peranan dalam perwarisan identiti budaya dan sejarah bagi setiap penutur dialek. Dialek juga dapat memperluas penggunaan bahasa Melayu yang pelbagai dalam komunikasi. Kewujudan dialek Melayu sebenarnya dapat membentuk masyarakat yang bertoleransi dan menghargai antara satu sama lain, serta meraikan perbezaan yang ada.

Pelestarian dialek juga dapat menyumbang kepada kelangsungan kajian dialek-dialek Melayu kepada pengkaji bahasa, sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum. Kepupusan dialek dapat dielakkan sekiranya pelestarian dialek dapat dilaksanakan dengan segenap usaha daripada semua pihak.

Sinar Harapan Dialek Melayu

Dialek Melayu perlu mekar dan terus hidup dalam kalangan penuturnya. Maka, langkah yang jitu dan usaha yang padu perlu dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Galakan masyarakat untuk bertutur dalam dialek Melayu perlu disokong tanpa stigma negatif. Peranan ibu bapa yang semestinya perlu membiasakan diri untuk mendidik anak dengan pertuturan dialek Melayu. Pendokumentasian dalam apa jua bentuk media tentang dialek Melayu perlu giat dilakukan. Penganjuran aktiviti kesenian berasaskan dialek merupakan salah satu inisiatif yang perlu disambut baik pada semua peringkat institusi pendidikan.

Penggunaan media dan teknologi juga tidak perlu diragui lagi untuk meluaskan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang dialek Melayu. Penggunaan media sosial seperti YouTube, TikTok atau audio siar merupakan alat yang pastinya membantu rakyat Malaysia sendiri tahu tentang adanya dialek-dialek Melayu bukan sahaja dialek Melayu di Semenanjung, malah dialek Melayu yang terdapat di Sabah dan juga Sarawak. Bertitik tolak daripada langkah-langkah ini, dialek Melayu pastinya akan terus hidup tanpa diancam oleh kepupusan dialek pada masa hadapan.

--BERNAMA

Nor Athira Md Amin ialah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)