Oleh Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus dan Dr Ismaniza Ismail
Dalam era globalisasi yang semakin mencabar, dunia pekerjaan mengalami pelbagai perubahan dan perkembangan yang pesat. Bagi para mahasiswa, tidak cukup hanya memiliki pendidikan akademik yang kukuh, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengalaman praktikal yang relevan. Latihan industri menjadi satu aspek penting dalam pendidikan tinggi sebagai jambatan antara teori yang dipelajari di bilik kuliah dan realiti dunia pekerjaan yang dinamik.
Latihan industri adalah program pembelajaran yang membolehkan mahasiswa menjalani pengalaman kerja praktikal di organisasi atau syarikat tertentu. Program ini biasanya dilaksanakan dalam tempoh tertentu dan mengandungi pelbagai aktiviti, termasuk projek, penyelidikan, dan penglibatan dalam tugas harian syarikat. Latihan industri bukan hanya memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan, tetapi juga membantu mahasiswa membangunkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berfungsi secara efektif dalam sektor yang dipilih.
Manfaat Latihan Industri
Salah satu manfaat terbesar latihan industri adalah peluang yang diberikan kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran praktikal. Dalam bidang akademik sewaktu kuliah, mahasiswa mungkin mempelajari teori yang berkaitan dengan disiplin mereka, tetapi latihan industri membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar. Dengan pengalaman ini, mereka dapat memperoleh kemahiran teknikal, analitikal, dan interpersonal yang sangat berharga.
Aspek yang tidak diajar di bilik kuliah, seperti komunikasi antara jabatan, pengurusan masa, dan penyelesaian masalah juga dapat dipelajari sepanjang latihan industri, di samping memahami etika kerja dan tanggungjawab yang datang dengan jawatan yang mereka pilih. Ini adalah pengetahuan dan pengalaman berharga yang sangat sukar didapati melalui pembelajaran teoretikal sahaja.
Pendedahan kepada budaya organisasi, struktur syarikat, dan dinamik kerja secara berpasukan membolehkan mereka memahami bagaimana aplikasi ilmu mereka berfungsi dalam konteks sebenar di samping belajar mengenai proses kerja, tanggungjawab di tempat kerja, dan cara berinteraksi dengan rakan sekerja serta pelanggan. Dalam erti kata lain, latihan industri memberikan kelebihan kompetitif dalam pencarian pekerjaan dengan pembangunan kemahiran dan pengalaman yang menunjukkan mereka mampu berfungsi dalam persekitaran profesional.
Peluang untuk membina rangkaian hubungan professional juga boleh dibentuk melalui latihan industri, di mana mahasiswa dapat berinteraksi dengan pakar bidang, rakan sekerja, dan pengurus yang berpotensi untuk menjadi mentor. Jalinan ini turut membuka peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Bagi ramai mahasiswa, pengalaman latihan industri dapat meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menghadapi temuduga dan berinteraksi dalam persekitaran professional, lantaran sudah lebih jelas tentang keperluan dan kehendak pasaran. Mereka dapat melihat sepintas lalu mengenai tren industri, perubahan dalam harapan majikan dan evolusi kemahiran yang diperlukan.
Cabaran Dalam Latihan Industri
Meskipun terdapat banyak manfaat dalam latihan industri, terdapat juga cabaran yang mungkin dihadapi oleh mahasiswa. Beberapa cabaran ini termasuklah pemilihan tempat latihan yang sesuai, kecanggungan antara teori dan latihan praktikal yang sebenar, keterbatasan jangka waktu latihan industri serta kebimbangan para pelajar untuk memenuhi jangkaan pihak majikan semasa latihan.
Mahasiswa mungkin menghadapi kesukaran dalam memilih syarikat atau organisasi yang sesuai untuk latihan mereka. Syarikat-syarikat yang mempunyai reputasi baik atau menawarkan peluang pembelajaran yang luas biasanya lebih kompetitif. Kebiasaannya, mahasiswa perlu mengambil inisiatif dalam mencari peluang tersebut dan menyiapkan diri supaya lebih menonjol. Inisiatif ini selalunya boleh dilakukan sebelum tempoh latihan industri dengan pelajar menghubungi syarikat yang berpotensi atau mendapatkan bimbingan pensyarah penyelaras yang mengelolakan latihan industri.
Tidak dinafikan kadangkala akan berlaku kecanggungan antara teori dan praktikal berlaku dan mahasiswa mungkin merasakan bahawa apa yang mereka pelajari di universiti tidak seratus peratus sepadan dengan apa yang dipraktikkan di industri. Oleh itu, adalah penting bagi mahasiswa untuk bersikap terbuka dan sedia untuk mempelajari ilmu baharu.
Keterbukaan mahasiswa dan penilaian secara positif dalam mengadaptasikan teori dan praktikal di industri seharusnya diamalkan daripada terus tenggelam dengan negativiti yang akhirnya merugikan mahasiswa. Kuliah memberikan asas teori kepada subjek kursus tetapi latihan di industri akan memberikan pendedahan dunia realiti pekerjaan sebenar yang perlu ditempuhi oleh mahasiswa apabila keluar ke dunia pekerjaan. Tanpa kombinasi kedua-duanya, laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku.
Bagi sesetengah program akademik universiti, latihan industri dijalankan untuk tempoh yang singkat, yang mungkin mengehadkan pendedahan dan pengalaman yang diperoleh. Ditambah dengan tekanan daripada organisasi untuk menampilkan prestasi yang baik semasa latihan, kebimbangan ini boleh mempengaruhi pengalaman pembelajaran mereka dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan. Oleh itu, penting untuk mereka memahami bahawa latihan adalah kesempatan untuk belajar dan berkembang.
Kesimpulannya, sebagai elemen kritikal dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi dunia pekerjaan, pengisian latihan industri perlu diselaraskan dengan keperluan industri semasa. Kerjasama antara universiti, syarikat, dan masyarakat perlu dalam memastikan para mahasiswa tidak hanya dilengkapi dengan pengetahuan akademik, tetapi juga dengan pengalaman dan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk menjadi tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat global.
-- BERNAMA
Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus ialah Koordinator Institut Pengajian Berterusan dan Professional (iCEPS) Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.
Dr Ismaniza Ismail, ialah Pensyarah Kanan/Penyelaras Latihan Industri, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.