PENA WANITA

Bina ‘Bilik Sejuk’ Di Rumah, Cara Jimat Hadapi Cuaca Terik

06/08/2025 01:12 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Madya Ts. Dr. Azian Hariri

Malaysia kini semakin panas. Data dari Jabatan Meteorologi membuktikan bahawa suhu purata tahunan meningkat, dan amaran gelombang haba kini menjadi perkara biasa. Rekod dari MetMalaysia menunjukkan suhu purata di Semenanjung telah meningkat sebanyak 0.24 °C setiap dekad sejak tahun 1969 hingga 2019, yang mana purata suhu bulanan Mei 2024 dicatatkan sekitar 28.8 °C, berbanding hanya 26.6 °C dalam tempoh yang sama 50 tahun lalu pada Mei 1974.

Pada masa yang sama, struktur tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 turut memberi cabaran dan peluang baharu kepada pengguna. Dengan kadar asas baharu sebanyak 27.03 sen/kWh bagi penggunaan sehingga 1,500 kWh sebulan, ramai pengguna domestik kini perlu lebih bijak mengurus penggunaan tenaga. Namun begitu, kerajaan turut menyediakan insentif penjimatan seperti rebat sehingga 25 sen/kWh dan pengecualian caj tetap bagi isi rumah berpendapatan sederhana yang menggunakan tenaga secara berhemat.

Idea "Bilik Sejuk", Praktikal dan Mampu Milik

Tahukah kita ada pendekatan mudah dan kos rendah yang boleh menjadi penyelamat kepada cuaca yang panas ini, iaitu konsep ‘bilik sejuk’, yang lebih tahan terhadap haba. Bilik sejuk merujuk kepada satu bilik dalam rumah yang dipilih dan diubah suai untuk menahan haba ekstrem. Konsep ini diperkenalkan oleh Profesor Susan Roaf, pakar seni bina dan perubahan iklim dari United Kingdom. Beliau mencadangkan agar setiap rumah mempunyai satu bilik kecil yang boleh disejukkan bagi menangani iklim ekstrem.

Cukup satu bilik untuk menyejukkan tubuh dan menenangkan minda ketika cuaca panas melampau. Ini lebih murah, lebih cekap tenaga dan lebih mesra alam berbanding menyejukkan seluruh rumah. Dalam jangka masa panjang, bilik sejuk ini dapat mengurangkan kesan pulau haba bandar (urban heat island). Kesan pulau haba bandar berlaku apabila kawasan bandar menjadi lebih panas berbanding kawasan luar bandar sekeliling. Ini terjadi kerana permukaan seperti jalan tar, konkrit dan bangunan tinggi menyerap dan menyimpan haba matahari pada waktu siang, lalu melepaskannya perlahan-lahan pada waktu malam. Terdapat beberapa strategi yang boleh diaplikasikan untuk kekal selesa dan mengurangkan kesan pulau haba bandar ini.

Sejukkan Bilik Secara Semula Jadi

Di Malaysia, kita boleh memilih bilik yang menghadap ke arah yang paling kurang menerima cahaya matahari, iaitu sinaran matahari adalah paling minimum. Langkah seterusnya ialah mengekalkan suhu dinding luar bilik agar sentiasa sejuk. Ini boleh dicapai dengan membina sengkuap (awning) atau balkoni yang cukup lebar untuk melindungi dinding daripada pancaran matahari secara langsung. Alternatif lain yang mesra alam termasuk penggunaan bumbung hijau dan dinding berpokok (vertical garden), yang bukan sahaja menyerap haba, tetapi turut menambah estetika rumah.

Gunakan pelindung luaran seperti bidai boleh laras atau kanopi mudah alih bagi menghadang cahaya terus masuk ke dalam ruang bilik. Komponen ini bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung matahari, malah membolehkan anda melaraskan pencahayaan dan pengudaraan mengikut keperluan. Pertimbangkan juga penggunaan semburan air dari paip atau sistem kabus luar bagi menurunkan suhu udara secara semula jadi. Ini membantu menyejukkan ruang luar yang sekali gus mengurangkan beban haba yang masuk ke bilik.

Bagi ruangan dalaman pula, penggunaan kipas, penyaman udara, langsir penebat haba, tingkap yang lebih gelap dan pemasangan penebat pada bumbung dapat membantu menyejukkan bilik. Pemilihan lantai seperti jubin seramik, simen, granit atau marmar yang berwarna cerah atau neutral membantu pantulan haba dan cahaya yang juga dapat memberi efek yang lebih sejuk untuk bilik.

Bagi suhu melebihi 35°C, bilik boleh ditutup sepenuhnya dan pengunaan penyaman udara dapat membantu. Bagi suhu di bawah 35 °C, aliran udara dari luar atau dari kipas angin dapat membantu penyejatan peluh dengan lebih berkesan untuk memberi kesan sejuk pada tubuh. Oleh kerana keselesaan terma berkait rapat dengan jenis pakaian dan aktiviti yang dijalankan, memakai pakaian yang nipis dan menghadkan aktiviti dengan duduk atau baring dan berehat mampu menyumbang kepada keadaan tubuh yang lebih sejuk dan selesa.

Pemasangan Penyaman Udara

Dari segi pengunaan tenaga, sebuah penyaman udara berkuasa 2.0HP menggunakan kira-kira 1.5 kilowatt (kW) tenaga elektrik. Jika digunakan selama empat jam sehari, jumlah penggunaan tenaga harian adalah sekitar 6.0 kilowatt-jam (kWh), atau 180 kWh sebulan. Berdasarkan struktur tarif elektrik semasa (berkuat kuasa Julai 2025), yang menetapkan kadar asas sekitar 27.03 sen/kWh bagi penggunaan di bawah 1,500 kWh, anggaran kos elektrik bulanan bagi penggunaan ini adalah sekitar RM48.65.

Ini menunjukkan bahawa dengan penggunaan yang terancang, sistem penyaman udara tetap boleh dimanfaatkan secara berhemah tanpa membebankan bil elektrik. Dengan penggunaan pintar dan ruang yang lebih kecil, jumlah ini boleh dikurangkan lagi. Kajian terkini turut menyarankan agar tetapan suhu penyaman udara dilaras kepada tahap yang lebih tinggi, contohnya sekitar 26°C hingga 28°C sambil menggunakan kipas secara serentak. Pendekatan ini membantu meningkatkan keselesaan terma tanpa terlalu bergantung kepada kompresor penyaman udara, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan menjimatkan bil.

Lebih Daripada Penjimatan, Ruang Untuk Keluarga

Lebih menarik, bilik sejuk ini boleh menjadi pusat perhimpunan keluarga, iaitu satu tempat di mana semua ahli berkumpul, berehat dan berbual dalam suasana selesa. Dalam era digital yang semua dalam dunia sendiri dengan telefon pintar masing-masing, pendekatan ini memberi peluang untuk mendekatkan semula hubungan kekeluargaan. Keselesaan bukan lagi satu bentuk kemewahan, sebaliknya satu keperluan asas, terutamanya dalam menghadapi cuaca yang semakin ekstrem dan tidak menentu. Pendekatan ‘bilik sejuk’ menawarkan penyelesaian yang praktikal, berpatutan dan mudah dilaksanakan untuk memastikan keselesaan terma dalam kediaman. Dalam dunia yang semakin panas, mungkin inilah waktunya untuk kita serius mempertimbangkan pembinaan ruang sejuk bajet di rumah, langkah kecil yang mampu membawa perubahan besar terhadap kesejahteraan dan keselesaan seluruh keluarga.

-- BERNAMA

Profesor Madya Ts Dr.Azian Hariri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)