NOTA KAMPUS

Siaran Berkembar UMSfm Cetus Dimensi Baharu “Living Lab” Penyiaran Universiti

04/08/2025 10:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Intan Soliha Ibrahim

Kebanyakan radio kampus global berhadapan dengan isu kekurangan sokongan institusi secara berstruktur. Seolah-olah kewujudannya tidak diiktiraf sebagai entiti strategik oleh pentadbiran universiti dan sering dianggap sebagai platform ko-kurikulum dan bukan sebahagian daripada pelan pembangunan akademik.

Bukan itu sahaja, stesen radio kampus berhadapan dengan kemelut kewangan.

Ketiadaan peruntukan tetap, bergantung kepada dana fakulti, kelulusan projek pelajar, penajaan luar yang terhad menyebabkan radio kampus berhadapan dengan masalah menaik taraf peralatan atau melaksanakan penyelenggaraan teknikal.

Sehubungan itu, satu kumpulan penyelidikan merentas disiplin dikenali sebagai Digital Radio Planning & Progress (DRAPP) telah ditubuhkan, melibatkan penyertaan pensyarah daripada pelbagai bidang termasuk penyiaran dan telekomunikasi, teknik dan teori gelombang mikro, kecerdasan buatan (AI), matematik dan ekonomi, dasar antarabangsa serta komunikasi politik.

DRAPP menggunakan pendekatan “Living Lab” yang mengintegrasikan kajian akademik dengan aplikasi dunia sebenar, khususnya dalam perancangan strategik, pembangunan dasar dan inovasi teknologi penyiaran radio.

Matlamat utama penubuhan kumpulan ini adalah untuk memperkasa potensi penyiaran radio sebagai medan ilmu yang relevan dalam ekosistem media baharu serta menyokong transformasi pendidikan tinggi melalui penyelidikan berasaskan pengalaman (experiential research).


Pendidikan Penyiaran Universiti

Dalam usaha merevolusikan pendidikan penyiaran universiti, DRAPP bekerjasama dengan UMSfm, radio kampus milik Universiti Malaysia Sabah.

Ia telah mencetuskan dimensi baharu dalam pelaksanaan konsep “Living Lab” penyiaran universiti, sekali gus menampilkan inovasi pendidikan berasaskan pengalaman yang membina daya saing pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

UMSfm, yang dahulunya dikenali sebagai KKFM dan Kampus Kita FM, ditubuhkan pada tahun 2010 dan secara rasmi diberikan status Living Lab oleh pihak universiti pada tahun 2023.

Sepanjang penubuhannya, stesen radio kampus ini telah melalui pelbagai fasa transformasi selari dengan keperluan semasa dan perubahan landskap penyiaran.

Transformasi signifikan berlaku pada tahun 2020 apabila Pensyarah Kanan merangkap Pengurus UMSfm, Dr Intan Soliha Ibrahim, memperkenalkan pendekatan baharu dengan menjadikan UMSfm sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman bagi pelajar yang mengikuti kursus Penerbitan Radio 1 dan Penerbitan Radio 2.

Melalui pendekatan ini, proses pembelajaran dijalankan sepenuhnya di studio UMSfm, dengan pelajar terlibat secara langsung dalam operasi harian termasuk penghasilan kandungan, penyiaran langsung serta tugasan produksi sebenar.

Kakitangan UMSfm turut memainkan peranan sebagai jurulatih industri. Selain itu, pelajar daripada pelbagai fakulti dan program turut diberi peluang menjalani latihan praktikal di UMSfm.

Menariknya, penilaian kursus dilaksanakan secara langsung melalui kaedah Live-Broadcast yang mana prestasi pelajar dinilai oleh pihak industri dan pendengar.

`Pendekatan ini bukan sahaja memperkasa kemahiran pelajar secara holistik, tetapi juga memberikan nilai tambah dalam bentuk pendedahan dunia sebenar yang jarang diperoleh dalam kursus yang mengamalkan pendekatan tradisional.

Ini menjadikan UMSfm sebagai platform “Living Lab” yang dinamik.

Penerbitan siaran berkembar sempena ulang tahun ke-15 UMSfm melakar sejarah baharu apabila buat pertama kalinya ia merentas Laut China Selatan, menghubungkan studio utama UMSfm di Kota Kinabalu dengan Studio Satelit UMSfm di Subang Jaya.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh jaringan komunikasi antara radio kampus dan pihak industri, malah memperlihatkan kebolehlaksanaan radio kampus sebagai platform penyiaran berskala nasional.

Siaran berkembar tersebut turut membuka ruang kerjasama strategik dengan pihak industri, terutamanya dalam aspek latihan industri, bimbingan profesional serta pemindahan teknologi penyiaran radio.

Ia sekali gus memperkukuh peranan radio kampus sebagai “Living Lab” yang dinamik dan relevan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.


Siaran khas bertajuk 15 tahun UMSfm: Menyatu Suara, Menjulang Ilmu menampilkan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Dr Kasim Mansur dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Asmady Idris di Studio UMSfm di Kota Kinabalu.

Manakala di Studio Satelit UMSfm, Subang Jaya telah menerima kehadiran pihak industri iaitu wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Fairuz Mohd Radzi dan Pengarah MediaLab Alliance, Ts Azhar Abdul Latif.

Pengurus UMSfm, Dr Intan Soliha Ibrahim telah bertindak sebagai juruhebah di Studio Satelit UMSfm di Subang Jaya dan Penerbit Rancangan UMSfm, Feria Lee di Studio UMSfm di Kota Kinabalu.

Siaran tersebut turut dibantu oleh Penerbit Rancangan Norhazimah Radik, Pembantu Jurutera, Abdul Rahman Yusman, Pembantu Penyelidik, Mohd Jannatul Firdaus serta kakitangan Media Lab Alliance selaku rakan strategik UMSfm.

Kejayaan inisiatif ini membuktikan bahawa sokongan penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama strategik bersama pihak industri, berupaya membantu radio kampus.

Radio kampus bukan sahaja mampu berkembang sebagai platform pembelajaran inovatif, malah memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan modal insan dan ekosistem penyiaran negara.

-- BERNAMA

Dr Intan Soliha Ibrahim ialah Ketua Penyelidik Living Lab UMSfm

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)