Setiap kali tibanya bulan Ogos, semangat dan kenangan perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air kembali dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Bulan ini amat bermakna buat setiap warga Malaysia kerana pada tanggal 31 Ogos, kita menyambut Hari Kebangsaan sebagai simbol kebebasan, kedaulatan dan jati diri negara.
Dalam memperingati detik bersejarah ini, kita bukan sahaja perlu mengenang perjuangan terdahulu, namun kita juga harus mensyukuri segala nikmat dan kelebihan yang dimiliki oleh negara kita pada hari ini.
Hujan emas di negara sendiri
Kita sering mendengar peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”
Peribahasa ini menggambarkan walau betapa hebatnya negara lain, tetaplah lebih selesa hidup di negara sendiri. Pada masa kini, kita sudah boleh berbangga dengan pencapaian negara kita.
“Hujan emas” yang dahulunya dilihat di negara luar, kini sudah berada di tanah air sendiri. Malaysia yang aman dan harmoni pada hari ini merupakan lambang kejayaan dan kebanggaan kita bersama.
Antara kebanggaan terbesar Malaysia ialah pembangunan fizikal dan landskap moden yang menjadi simbol kemajuan negara. Bangunan Merdeka 118 yang siap dibina pada Disember 2022, merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia, berdiri megah di tengah ibu kota Kuala Lumpur dan melambangkan kemampuan dan cita-cita tinggi negara.
Tidak dilupakan juga Menara Kuala Lumpur dan juga Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang pernah menjadi mercu tanda dan ikon kebanggan negara, yang masing-masing siap dibina pada Mac 1995 dan juga Mac 1996.
Menara Berkembar KLCC pernah diiktiraf sebagai menara tertinggi di dunia, iaitu dari tahun 1998 hingga 2004 dan masih kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia pada hari ini.
Kewujudan pencakar langit bertaraf dunia ini bukan sekadar mercu tanda, namun menjadi bukti bahawa Malaysia setanding dengan kuasa besar dunia dalam aspek kejuruteraan dan teknologi pembinaan.
Selain itu, pembinaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran utama Kerajaan Persekutuan merupakan simbol kemajuan dan kemakmuran negara. Putrajaya dibangunkan secara terancang bagi menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran.
Putrajaya menampilkan ciri bandar moden yang indah, lestari dan berteknologi tinggi. Seni bina bangunan yang unik, landskap hijau serta elemen reka bentuk bercirikan identiti tempatan menjadikan Putrajaya sebuah bandar pintar yang strategik dan sistematik.
Selain berfungsi sebagai pusat pentadbiran yang efisien, Putrajaya turut dilengkapi dengan kemudahan moden, sistem pengangkutan dan kemudahan infrastruktur yang lancar dan bertaraf dunia.
Kebanggaan negara, dikagumi antarabangsa
Keunikan ini bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Pelbagai acara berprestij turut diadakan di sini, menjadikan Putrajaya destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan acara bertaraf antarabangsa, malah berpeluang menikmati keindahan dan keistimewaan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran moden yang menjadi kebanggaan negara.
Dalam bidang pentadbiran, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan selain daripada pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan
Sistem beraja ini merupakan warisan yang menjadi tonggak kestabilan dan identiti negara. Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting sebagai simbol perpaduan, kedaulatan, pelindung adat dan budaya, serta penjaga kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.
Sistem ini juga melindungi hak keistimewaan orang Melayu serta kepentingan semua kaum. Sistem Raja Berperlembagaan turut memastikan Raja-Raja bertindak selaras dengan Perlembagaan, termasuk dalam pelantikan Perdana Menteri dan pengisytiharan darurat.
Keunikan sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dalam kalangan sembilan Raja Melayu mencerminkan semangat muafakat dan keharmonian antara negeri-negeri di Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara adalah lambang kedaulatan negara yang mesti dihormati oleh setiap warga Malaysia. Sistem Raja-Raja Melayu ini bukan sahaja mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan, malah menjadi simbol identiti Malaysia yang sangat istimewa.
Pendidikan menunjukkan kematangan
Dalam bidang pendidikan, Malaysia menunjukkan kematangan yang semakin menyerlah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Universiti awam dan swasta negara ini turut tersenarai dalam pelbagai penarafan dunia mengikut bidang pengajian tertentu.
Berdasarkan QS World University Rankings 2026, lima universiti awam di negara ini, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia.
Malah, Universiti Malaya mencapai kedudukan ke-58 dunia, iaitu satu pencapaian yang membanggakan dalam dunia pendidikan negara. Penarafan serta peningkatan kualiti pendidikan di negara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tempatan, malah turut menarik kehadiran pelajar antarabangsa.
Dalam masa yang sama, pelbagai bantuan pendidikan, biasiswa dan kemudahan pembelajaran turut disediakan oleh kerajaan bagi memastikan lebih ramai anak tempatan berpeluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berkualiti tanpa perlu ke luar negara.
Hal ini memberi ruang kepada generasi muda meneroka bidang berpotensi tinggi di negara sendiri.
Sistem perubatan antara terbaik rantau Asia
Selain itu, Malaysia antara negara yang memiliki sistem perubatan yang terbaik di rantau Asia dengan kos rawatan yang jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain.
Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan asas dan pakar melalui hospital awam dengan kos yang berpatutan, terutamanya melalui hospital kerajaan. Pelbagai subsidi dan insentif turut disalurkan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
Hal ini membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan kos rawatan dan ubat-ubatan yang mampu milik. Selain itu, tenaga kerja perubatan seperti doktor, jururawat dan petugas kesihatan juga terdiri daripada individu terlatih dan profesional.
Kemudahan kesihatan di negara ini turut dilengkapi dengan teknologi moden serta sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang perubatan.
Di samping itu, sektor perubatan swasta turut berkembang pesat dengan menawarkan perkhidmatan pantas, berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa. Keistimewaan ini menjadikan Malaysia antara destinasi utama pelancongan perubatan (medical tourism), dengan hospital swasta menawarkan rawatan berkualiti pada kos kompetitif untuk rakyat tempatan dan pelancong asing.
Malaysia negara tarikan pelancong
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan tarikan pelancongan bertaraf dunia, merangkumi warisan sejarah, kepelbagaian budaya, serta khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang selamat dan kurang mengalami bencana alam. Keadaan ini menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pelancong asing.
Tambahan lagi, Malaysia turut memiliki beberapa lokasi yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, disebabkan oleh nilai sejarah dan keunikan yang ada padanya.
Kepelbagaian makanan tempatan yang enak, sikap mesra rakyat Malaysia serta kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia turut memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik.
Kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam yang efisien turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Sistem pengangkutan awam moden seperti MRT, LRT dan perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) semakin memudahkan pergerakan penduduk tempatan dan juga pelancong luar negara untuk ke mana-mana destinasi dalam Malaysia.
Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memudahkan akses keluar masuk ke Malaysia. Malah, KLIA adalah antara lapangan terbang terbaik di Asia dan pernah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk sijil Airport Service Quality (ASQ) Assured daripada Airports Council International (ACI).
Malaysia negara bertuah
Secara keseluruhannya, rakyat Malaysia sangat bertuah kerana hidup di sebuah negara yang aman, makmur dan penuh keharmonian. Apa yang dihuraikan hanya sebahagian sahaja daripada kenikmatan yang nikmati hari ini. Banyak lagi kelebihan yang negara kita miliki.
Pencapaian rakyat Malaysia juga antara yang menaikkan nama negara di persada antarabangsa. Kemakmuran yang kita kecapi hari ini bolehlah diibaratkan sebagai "hujan emas di negeri sendiri" dan wajar disyukuri dan dipertahankan.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada tahun ini, marilah kita bersatu hati, menghargai segala nikmat yang ada dan bertekad untuk terus menyumbang kepada tanah air tercinta tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahu pun budaya. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!
-- BERNAMA
Siti Hajar Bidin ialah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)