Ogos kembali menjelma. Di sepanjang jalan, Jalur Gemilang mula berkibar. Lagu-lagu patriotik berkumandang di radio, anak-anak sekolah bersiap sedia dengan perarakan kecil dan pertandingan mewarna bertemakan kemerdekaan.
Semua ini sudah menjadi tradisi setiap kali negara menyambut ulang tahun kelahirannya sebagai sebuah negara merdeka.
Tahun ini, Malaysia menyambut usia kemerdekaan yang ke-68. Bukan satu usia yang muda. Sudah banyak yang kita tempuhi bersama.
Dari ranjau ekonomi, ujian politik, bencana alam, wabak pandemik, hingga ke gelombang kemajuan teknologi.
Namun, persoalannya, adakah semangat patriotisme dalam diri kita turut matang seiring bertambahnya usia negara? Atau adakah kita hanya menjadi penonton pasif kepada sambutan tahunan tanpa benar-benar merasai roh cinta tanah air itu? “Sudahkah kita bersyukur hari ini menjadi rakyat negara yang aman?”
Cinta kepada negara tidak perlu menunggu acara rasmi. Ia tidak perlu megah, tidak perlu mahal, dan tidak semestinya dalam bentuk laungan lantang. Ia boleh bermula dengan langkah kecil. Sangat kecil, tetapi cukup bermakna.
Contohnya, mengibarkan bendera di hadapan rumah. Ya, mungkin kelihatan biasa, tetapi dalam kebiasaan itu tersembunyi nilai besar. Itu tanda bahawa kita menghargai kemerdekaan dan bersyukur kepada tanah yang kita pijak setiap hari.
Kita juga boleh memulakan langkah kecil yang lain. Bawa anak-anak berjalan-jalan ke tempat bersejarah.
Biar mereka berdiri di Dataran Merdeka, melihat tiang bendera yang tinggi menjulang, tempat keramat di mana laungan 'Merdeka!' pertama kali bergema.
Bawa mereka ke Tugu Negara, muzium, atau galeri seni yang menceritakan kisah perjuangan bangsa.
Ceritakan kisah nenek moyang kita yang berjuang tanpa senjata canggih, hanya dengan semangat kental demi memastikan generasi hari ini hidup dalam keamanan.
Semangat cintakan negara juga boleh lahir dari amalan harian yang jujur. Tidak membuang sampah merata-rata.
Memberi laluan di jalan raya. Menghormati jiran berlainan kaum. Menyokong produk tempatan. Membantu warga emas menyeberang jalan. Menegur dengan sopan.
Semua ini mungkin tampak remeh, tetapi sebenarnya adalah cerminan cinta yang paling ikhlas kepada tanah air. Cinta yang tidak perlukan kamera, tidak perlukan hashtag.
Kita sering menunggu pihak tertentu untuk memulakan perubahan. Kita harap kerajaan buat itu dan ini. Kita harap sekolah didik anak-anak. Kita harap media sampaikan mesej yang betul.
Tapi bagaimana pula dengan kita sendiri? Bukankah kita juga rakyat Malaysia yang mempunyai suara, ruang dan peranan?
Jangan kita biarkan bulan kemerdekaan ini menjadi sekadar acara tahunan yang berakhir begitu sahaja.
Biarlah Ogos menjadi pencetus yang menyemarakkan roh patriotisme yang berpanjangan. Jangan hanya kibarkan bendera sebulan, kemudian dilipat dan dilupakan.
Jangan hanya nyanyi lagu Negaraku di perhimpunan, tetapi tidak pernah menghayati maksudnya. Jangan hanya bangga dengan pencapaian negara di atas kertas, tetapi tidak pernah berusaha menambah nilainya.
Kita tidak perlu menjadi tokoh besar atau pemimpin negara untuk menunjukkan rasa cinta kepada tanah air.
Kita hanya perlu menjadi rakyat yang sedar, bertanggungjawab, dan ikhlas dalam setiap perbuatan. Kerana setiap langkah kecil yang kita ambil, jika dilakukan oleh jutaan rakyat lain, akan menjadi gelombang besar yang mampu mengubah wajah negara.
Bayangkan jika semua rakyat mula bertindak dengan langkah satu demi satu.
Seorang ayah ajak anak pasang bendera di balkoni. Seorang guru bercerita tentang kisah kemerdekaan yang menyentuh hati muridnya.
Seorang peniaga hias kedai dengan tema kebangsaan. Seorang remaja hasilkan video kreatif tentang Malaysia yang dikongsi ribuan orang.
Seorang penjawat awam bekerja dengan penuh integriti kerana dia tahu, itu juga bentuk patriotisme. Seorang warga emas tersenyum kerana dia tahu generasi hari ini tidak lupa asal usul perjuangan bangsanya.
Inilah negara yang kita mahu. Negara yang rakyatnya tidak tunggu arahan, tetapi sentiasa mahu menyumbang.
Negara yang bukan hanya dikenang pada 31 Ogos, tetapi dihargai dan dicintai setiap hari. Negara yang bukan hanya merdeka dari penjajah, tetapi merdeka dari sikap pentingkan diri, kebencian, dan kelalaian.
Maka, sempena kemerdekaan kali ke-68 ini, marilah kita mulakan semula. Tidak perlu tunggu orang lain.
Cukuplah dengan kita. Cukuplah dengan satu langkah kecil hari ini. Satu bendera dikibarkan, satu anak diajar erti perjuangan, satu hati yang mula rasa bersyukur menjadi rakyat Malaysia.
Kerana cinta kepada negara, bila benar-benar tumbuh dari hati, akan terus hidup. Bukan hanya dalam sebulan, tetapi sepanjang hayat.
-- BERNAMA
Noor Afzan Zakaria ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM).