Kita berada pada era yang sarat dengan maklumat tetapi semakin kekurangan makna. Negara sedang bergerak pantas dalam arus digital dan modenisasi, namun pada masa yang sama, banyak nilai kemanusiaan kian membeku.
Dalam kelimpahan data, emosi menjadi tumpul dan kasih sayang tiada makna. Disebabkan itu, buli telah berevolusi menjadi satu bentuk keganasan sosial yang tidak lagi menjerit, tetapi tetap menghancurkan.
Ia tidak lagi terbatas kepada tamparan di bilik darjah atau jeritan di asrama, sebaliknya menyusup ke skrin telefon, ruang kerja dan platform digital menjelma dalam bentuk komen sinis, jenaka menghina dan budaya diam yang membenarkan penderitaan terus berlaku tanpa noktah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan buli sebagai “tingkah laku agresif yang berulang, yang dilakukan oleh individu atau kumpulan terhadap seseorang yang lebih lemah, dengan niat menyakiti, merendahkan, atau menguasai.”
Dalam erti kata lain, buli adalah bentuk dominasi yang berakar dalam ketidakseimbangan kuasa dan kerap kali berakhir dengan kecederaan emosi, fizikal, dan dalam kes tertentu ia menyebabkan kehilangan nyawa.
Puas bila menang: Budaya era baharu
Di sinilah letaknya ironi yang menyakitkan. Dalam banyak kes, pelaku buli tidak semestinya membenci atau berdendam dengan mangsa. Kadang kala mereka hanya mahukan rasa menang, dominasi atau “kelulusan sosial” kelompok tertentu.
Budaya ini bermula awal di rumah, sekolah dan kini dalam ruang digital. Lihat sahaja program hiburan realiti yang memalukan peserta di hadapan umum, pertandingan yang menghina tubuh fizikal, atau komen media sosial yang bersifat menjatuhkan atau mengaibkan.
Tidak kurang program hiburan bersifat lawak untuk menghiburkan masyarakat, namun kadang kala terselit kandungan yang merendahkan maruah dan pemikiran.
Semua ini walaupun diangkat sebagai hiburan, tetapi ia juga mendidik masyarakat bahawa merendahkan orang lain itu sesuatu yang dibenarkan malah dirai.
Dalam kes Esha Appahu, seorang pendidik dan pempengaruh yang diserang dengan komen bersifat seksual, ugutan dan fitnah.
Kepuasan pelaku bukan datang dari kemarahan, tetapi daripada “kemenangan sosial” apabila tindakannya disukai, diikuti dan ditertawakan sebahagian netizen. Tragisnya, kepuasan ini memusnahkan hidup seorang insan yang memperjuangkan keadilan.
Akhirnya, Esha memilih untuk mengakhiri nyawanya. Sedangkan pelaku hanya didenda RM100. Apakah mesej yang boleh kita hantar kepada masyarakat tentang makna sebuah nyawa?
Begitu juga kes Allahyarham Zulfarhan Osman dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang diseksa oleh rakan-rakan kononnya atas dasar "disiplin dalaman".
Adakah itu benar? Atau sekadar kepuasan mendominasi untuk membuktikan kuasa lebih besar daripada nilai kemanusiaan? Kes ini membuka sisi pandang institusi yang kadang-kala memelihara budaya toksik atas nama “kesetiaan” atau “tradisi.”
Persoalannya, apakah nilai sebenar yang patut dijadikan tradisi sehingga boleh mengorbankan satu jiwa.
Dalam kes terbaharu, seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun dari Sabah dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama, dipercayai akibat tekanan emosi berpanjangan yang berpunca daripada buli relasional.
Tragedi ini membuka persoalan yang sangat mendalam, sejauh mana institusi pendidikan hari ini benar-benar berfungsi sebagai ruang yang mendidik dan melindungi?
Dan lebih penting lagi, bagaimanakah sebuah asrama yang seharusnya menjadi tempat selamat dan membina komuniti boleh bertukar menjadi medan kesunyian, pengasingan dan tekanan yang tidak berpenghujung?
Data melangkaui nombor, mendedahkan luka
Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2017), sedekad lalu mendedahkan 16.2% pelajar menengah di Malaysia melaporkan menjadi mangsa buli dalam tempoh 30 hari.
Kajian universiti tempatan pada tahun 2023 turut menunjukkan peningkatan kes buli relasional dan buli siber dalam kalangan remaja, dengan 1 daripada 4 pelajar mengalami bentuk tekanan emosi akibat buli digital.
Lebih membimbangkan, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 447 kes buli dilaporkan pada tahun 2024, menurun berbanding 734 pada 2023.
Namun pengkaji sosial bersepakat bahawa angka ini tidak mencerminkan realiti kerana buli emosi dan digital jarang dilaporkan secara rasmi.
Ramai mangsa memilih diam, bukan kerana tiada luka, tetapi kerana tidak yakin akan dipercayai atau dilindungi.
Malaysia juga kini berada dalam kedudukan negara kelima tertinggi dunia dalam kes buli siber, menurut Laporan Digital We Are Social 2024.
Dalam ruang tanpa sempadan ini, kecederaan tidak kelihatan tetapi ia membunuh secara perlahan dan senyap.
Dari hukuman ke pemulihan: Membina sistem yang manusiawi
Penyelesaian tidak cukup sekadar hukuman. Kita memerlukan sistem yang menyembuhkan, bukan membalas dendam.
Dasar anti-buli perlu dikemas kini, bukan sahaja untuk menampung bentuk buli fizikal, tetapi juga bentuk relasional, siber, seksual dan psikososial yang jauh lebih kompleks dan sukar dikesan.
Sistem pelaporan harus mesra mangsa iaitu mudah, boleh dipercayai, dan tidak memalukan. Lebih penting, mesti ada jaminan perlindungan dan tindakan susulan yang telus.
Pendidikan nilai dan empati perlu dimulakan seawal mungkin. Kajian pada tahun 2022 menunjukkan keberkesanan modul Social and Emotional Learning (SEL) dalam mengurangkan insiden buli sehingga 40% di sekolah rendah. Ini bukti bahawa empati bukan hanya boleh diajar, tetapi wajib diajar.
Perkhidmatan kaunseling pula perlu diperkukuh. Pelaku buli bukan sekadar pelaku, kadang kala mereka juga sering mangsa kepada sistem yang gagal menyembuhkan. Maka pendekatan pemulihan harus merangkumi kedua-dua pihak.
Perkasakan integriti ruang digital
Syarikat teknologi tidak boleh terus lepas tangan. Jika algoritma boleh mengesan lagu cetak rompak, sudah pasti ia juga boleh mengesan ucapan kebencian dan buli.
Platform digital mesti menyediakan sistem aduan yang pantas, responsif dan telus.
Kerajaan, melalui SKMM dan agensi berkaitan, harus memperkukuh kerangka undang-undang dan mendidik masyarakat. Ianya bukan sekadar menghukum, tetapi membina masyarakat yang berani bersuara dan berani melindungi.
Membentuk ekosistem empati
Ibu bapa bukan sekadar pemantau prestasi akademik, tetapi arkitek utama dalam membentuk empati dan ketahanan emosi anak-anak.
Anak yang dibesarkan dalam suasana cercaan, perbandingan toksik atau kawalan yang terlalu ketat cenderung membina identiti melalui penghinaan terhadap orang lain.
Justeru, model peranan yang positif perlu diterap dan diamalkan secara konsisten dan harmoni di rumah kerana keluarga adalah cermin pertama kepada cara anak melihat, memahami dan memperlakukan dunia.
Komuniti juga perlu berperanan secara aktif, bukan hanya muncul selepas tragedi untuk menghukum, tetapi wujud sebagai sistem sokongan harian.
Komuniti yang menyediakan ruang selamat untuk mendengar, memahami dan meraikan perbezaan sedang menanam benih masyarakat yang lebih sihat dan berperikemanusiaan.
Akhirnya, isu buli bukan sekadar kegagalan individu, tetapi cerminan kecacatan budaya dan sistem yang telah kita wariskan dari rumah ke sekolah, dan dari skrin ke ruang sosial.
Selagi penderitaan terus dinormalisasi sebagai ‘harga untuk diterima’, dan dibungkus atas nama ‘disiplin’ atau ‘hiburan’, maka nilai sebuah nyawa akan kekal murah.
Maka, keberanian kolektif amat diperlukan bukan hanya untuk menghukum pelaku, tetapi untuk membina ekosistem empati yang hidup, adil dan menyeluruh.
Jika benar kita ingin mewariskan generasi yang bermaruah dan berperikemanusiaan, maka perjuangan menamatkan budaya buli bukan lagi satu pilihan, tetapi satu Amanah... dan amanah itu harus dimulakan sekarang.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)