Budaya ramah adalah nadi kepada perpaduan yang tulen. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, sikap ramah bukan hanya mencerminkan budi bahasa, tetapi menjadi jambatan kepada empati, persefahaman dan kesejahteraan sosial.
Sejak merdeka, keharmonian negara ini tidak semata-mata dibentuk melalui dasar kerajaan, tetapi turut berakar daripada nilai kemasyarakatan yang tulus seperti menyapa dengan hormat, saling membantu dan hidup bersama dalam semangat kejiranan.
Namun, dalam arus kehidupan moden yang serba kompleks dan pantas, budaya ramah semakin terhakis menyebabkan hubungan sosial kian longgar dan kepekaan terhadap sesame sendiri semakin menipis.
Tidak mengenali jiran sebelah rumah bukan lagi perkara asing. Malah, tinggal bertahun-tahun dalam kejiranan tanpa pernah berbual mesra sudah menjadi kebiasaan.
Anehnya, keramahan yang hilang di dunia nyata kadangkala hanya muncul dalam ruang digital seperti kumpulan pesanan ringkas, media sosial dan komunikasi dalam talian yang tidak mampu menggantikan hubungan bersemuka yang membina empati dan kebersamaan sebenar.
Jurang Perpaduan Kaum
Laporan Indeks Perpaduan Malaysia 2021 menunjukkan bahawa tahap interaksi antara kaum masih berada pada tahap sederhana, dengan 37% rakyat mengakui jarang bergaul dengan jiran berlatar belakang budaya berbeza.
Sementara itu, data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2022 menunjukkan lebih 90% rakyat menggunakan media sosial sebagai saluran komunikasi utama, namun kurang daripada 25% melibatkan diri secara konsisten dalam aktiviti komuniti.
Ini mencerminkan jurang yang ketara antara komunikasi digital dan keintiman sosial di peringkat kejiranan.
Apabila hubungan bersemuka semakin longgar, kesan langsungnya ialah berkurangnya kepekaan sosial.
Kebersamaan yang terhakis membuka ruang kepada pelbagai kesan sampingan seperti daripada jenayah senyap dan tekanan emosi, kepada konflik sosial yang gagal ditangani secara kolektif.
Dalam dunia yang semakin individualistik, sikap prihatin sering disalah tafsir sebagai pencerobohan.
Hakikatnya, dalam komuniti yang sihat, sikap ambil berat terhadap jiran dan persekitaran adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial khususnya dalam menangani isu seperti penderaan, kesihatan mental, keganasan rumah tangga, buli dan jenayah kejiranan.
Lebih meresahkan, pelbagai bentuk jenayah sosial kini berlaku secara tersembunyi dalam ruang digital seperti penipuan dalam talian (scam), ketagihan pornografi, eksploitasi remaja, dan penyebaran kandungan berunsur kebencian.
Dalam konteks ini, keprihatinan komuniti perlu mengambil bentuk baharu yang menggabungkan nilai, teknologi dan keberanian untuk bertindak secara bersama.
Sikap ramah mesra mencerminkan nilai empati, hormat dan tanggungjawab sosial adalah asas penting dalam membina komuniti yang selamat dan stabil.
Ia bukan sekadar pertuturan sopan, tetapi melibatkan kepekaan sosial dan kesediaan membantu apabila diperlukan.
Namun, keramahan mesti disertai adab agar tidak disalah erti sebagai gangguan atau pelanggaran ruang peribadi.
Budaya Ramah Asas Perpaduan
Komuniti yang mempraktikkan budaya ramah secara hikmah akan melahirkan masyarakat yang menyapa, mendengar, menyokong dan tidak bersikap lepas tangan terhadap isu-isu sekeliling.
Dalam Islam, ramah adalah sebahagian daripada kelembutan (rifq) iaitu akhlak mulia yang menjadikan seseorang disenangi dan mendekatkan hati manusia.
Dalam konteks Malaysia, budaya ramah yang disulam dengan adab dan hikmah menjadi jambatan antara budaya dengan menyatukan tanpa mengasimilasi, menghormati tanpa menghakimi.
Inilah semangat Malaysia MADANI iaitu menjulang nilai kemanusiaan, ihsan, hormat dan kesejahteraan dalam pembinaan negara bangsa.
Namun cabaran utama masa kini ialah apabila generasi muda semakin jauh daripada nilai asas kenegaraan yang menjadi teras perpaduan.
Teknologi mungkin mendekatkan dari segi jarak, tetapi tidak semestinya melahirkan kefahaman mendalam tentang tanggungjawab sosial sebagai warganegara.
Kajian Institut Integriti Malaysia (2021) menunjukkan 41% golongan muda tidak memahami prinsip Rukun Negara, apatah lagi menghayatinya.
Ini merupakan suatu amaran yang membuktikan bahawa tanpa asas kenegaraan yang kukuh, masyarakat mudah terdedah kepada retorik perkauman, ketaksuban identiti dan ujaran kebencian yang berlegar halus dalam media sosial.
Kajian Merdeka Center (2022) juga menunjukkan peningkatan sikap ‘kaum sendiri dahulu’ (ethnocentrism) dalam kalangan belia.
Nilai-nilai inklusif seperti hormat, timbang rasa dan tanggungjawab bersama semakin terhakis.
Strategi Baharu Memperkasa Perpaduan
Maka usaha membina semula komuniti yang mesra dan bersatu perlu disusun semula melalui pendekatan yang lebih serasi dengan realiti belia, termasuk ruang sosial yang positif, pendidikan nilai yang santai serta pengukuhan naratif kenegaraan dalam kehidupan harian.
Dasar Perpaduan Negara 2021–2030 yang diperkenalkan kerajaan menetapkan hala tuju ke arah masyarakat yang bersatu padu, inklusif dan berteraskan nilai kasih sayang serta tanggungjawab bersama.
Namun, dasar hanya akan bermakna apabila diterjemah kepada tindakan konkrit di peringkat akar umbi dengan membina semula budaya kejiranan, mengukuh kefahaman rentas budaya dan memanfaatkan teknologi untuk menghubungkan masyarakat secara bermakna.
Keramahan yang dulunya menjadi nadi masyarakat kini semakin lesu, hubungan sosial longgar, jiran tidak dikenali dan kepekaan terhadap persekitaran kian terhakis.
Budaya ramah bukan hanya soal budi bahasa, tetapi mencerminkan empati, hormat dan tanggungjawab sosial yang menjadi pelindung harmoni komuniti.
Justeru, kita perlu pendekatan baharu yang lebih mesra rakyat dan mudah dihayati dalam kehidupan seharian. Ianya bukan sekadar slogan perpaduan, tetapi amalan yang menghidupkan semula semangat kejiranan dan kesalingan.
Pendidikan nilai tidak seharusnya terbatas di sekolah semata-mata, tetapi mesti dilaksanakan secara kreatif melalui aktiviti komuniti, aplikasi kejiranan digital dan jaringan sosial setempat.
Ruang komunikasi seperti ini boleh menyuburkan semula budaya ramah yang membina ikatan sosial dan berasaskan semangat “aku jaga engkau, engkau jaga aku.”
Dalam era digital yang mencabar, membina ekosistem sosial yang menggabungkan nilai dan teknologi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan nasional.
Budaya ramah mesti diangkat semula sebagai teras perpaduan dan jalan ke arah masa depan Malaysia yang bersatu, harmoni dan berperikemanusiaan.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan (Profesor Madya), Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).