PENA WANITA

Kita Jaga Pesakit, Tapi Siapa Jaga Penjaga Pesakit atau Caregiver?

29/12/2025 03:07 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hariyati Ariffin

Dalam perbincangan mengenai kesihatan, isu-isu seperti kesesakan hospital, beban tugas jururawat, kos rawatan yang meningkat dan kekurangan petugas dalam industri kesihatan sering menjadi tumpuan utama.

Tanpa kita sedari, dalam persoalan yang berkisar tentang kesihatan, ada satu kumpulan yang dalam diam memikul beban paling berat. Mereka adalah caregiver atau penjaga pesakit.

Ramai kurang cakna mengenai apa yang dilalui caregiver. Sebenarnya mereka inilah yang bangun sebelum matahari terbit, tidur selepas semua orang lena dibuai mimpi. Adakalanya mereka juga jarang tidur sebab menjaga yang sakit.

Mereka inilah yang memandikan pesakit, menyuap makanan, menukar lampin, cuba mengawal emosi pesakit, menjadi punch bag pesakit dan dalam masa sama masih mampu mengurus rumahtangga, bekerja mencari rezeki dan membiayai kehidupan mereka sendiri.

Frontliner Senyap

Terdapat juga caregiver yang terpaksa berhenti kerja. Ada yang hidup tanpa pendapatan. Ada juga di antara mereka yang mempunyai penyakit tetapi masih mengangkat tubuh pesakit setiap hari. Menguruskan pesakit dengan penuh keikhlasan.

Caregiver ialah ‘frontliner senyap’ negara. Tanpa mereka, hospital akan lebih sesak, pesakit akan lebih terabai, dan sistem kesihatan tidak akan mampu menanggung semua kes.

Tetapi malangnya, suara mereka paling jarang didengari. Mereka orang terakhir untuk diberi perhatian. Mereka dilabel sebagai ‘super’ atau orang kuat yang kurang diberi perhatian.

Realiti sebenarnya caregiver adalah golongan yang menderita dalam senyap. Masyarakat tidak tahu bahawa ramai caregiver daripada keluarga B40, hidup atas duit simpanan yang makin menipis. Tekanan demi tekanan menghimpit hidup mereka.

Ada yang menjaga pesakit 24 jam tanpa seorang pun mengganti dan memahami kepayahan mereka. Terdapat ibu tunggal menjaga ibu bapa yang tua dan uzur.

Ada ayah atau ibu menjaga anak sakit mental, menghidap barah dan pelbagai penyakit kronik lain. Terdapat juga anak-anak yang menjaga kedua ibu bapa yang sakit.

Ada isteri menjaga suami strok yang terlantar sambil diri sendiri semakin tua dimamah usia. Dia menahan penat, demam dan mengabaikan sakit dirinya sendiri demi menjaga insan tersayang.

Perkhidmatan Alternatif untuk Caregiver

Masalahnya, tidak ada tempat untuk mereka mengadu. Mereka tidak ada cuti, tidak ada elaun tetap dan sistem dalam masyarakat masih belum menyediakan ruang rehat untuk mereka.

Persoalan Penting di mana tempat transit atau Respite Care? Untuk caregivers berehat dan menghilangkan penat mereka.

Di negara maju, caregiver boleh menghantar pesakit ke respite care centre iaitu perkhidmatan alternatif kepada waris atau penjaga untuk menempatkan individu dalam jagaan mereka yang tidak sihat bagi membolehkan caregiver menyelesaikan tugas mereka atau berehat seketika.

Di Malaysia, perkhidmatan seperti ini masih terhad, walau pun terdapat beberapa pusat jagaan swasta tetapi kos yang dikenakan adalah mahal.

Selain itu, terdapat juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan pusat penjagaan harian namun kapasitinya kecil dan pusat jagaan harian yang disediakan pihak hospital juga masih belum meluas perkhidmatannya.

Cadangan bagi Meringankan Beban Caregiver

Pengiktirafan kepada caregiver untuk berehat perlu diberikan perhatian.

Pihak berkepentingan dan juga masyarakat boleh melakukan beberapa cadangan berikut bagi meringankan bebanan caregiver.

  1. Menubuhkan pusat transit atau rehat khusus untuk caregiver yang menyediakan perkhidmatan harian atau mengikut jam dengan bayaran yang rendah atau percuma. keutamaan diberikan kepada B40. Ditubuhkan di bawah hospital, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti setempat atau pusat zakat.
  2. Menyediakan elaun untuk penjaga, penting kepada mereka yang terpaksa berhenti kerja kerana kekurangan wang akan membebankan caregivers khususnya bagi menyediakan keperluan harian seperti lampin pakai buang, makanan berzat serta keperluan tidak terjangka.
  3. Latihan asas secara percuma untuk caregivers seperti cara mengangkat pesakit yang betul supaya tidak mendatangkan mudarat kepada pesakit, kaedah sesuai untuk memujuk pesakit. Selain itu mewujudkan pelan sandaran kepada caregivers khususnya dalam menjaga kesihatan mental mereka.
  4. Mewujudkan sistem sukarelawan bergerak (mobile volunteers). Dengan adanya sistem ini NGO atau komuniti setempat boleh membantu waris menjaga pesakit beberapa jam, supaya caregiver boleh mengurus diri sendiri termasuk mengambil ubat di klinik, atau berehat sekiranya kurang sihat.
  5. Sokongan kesihatan mental caregiver, iaitu menyediakan sesi kaunseling secara percuma di hospital, atau kumpulan kaunselor bergerak untuk memberi bimbingan dan kaunseling kepada caregivers yang sukar meninggalkan rumah disebabkan mengaja pesakit. Selain itu, menyediakan ‘Caregiver Support Group’ di setiap daerah.
  6. Melibatkan NGO seperti MaRMa (Persatuan Ketenangan Minda Malaysia) serta NGO lain dan caregivers sendiri dalam membuat dasar kerajaan berkaitan sistem kesihatan negara.

Sesungguhnya suara caregiver harus datang daripada mereka sendiri, bukan daripada ‘atas meja’ atau penyelidikan mahupun kajian orang-orang yang tiada pengalaman menjaga pesakit seperti kata pepatah ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’.

Oleh itu, caregiver yang berpengalaman ini yang sepatutnya membantu kerajaan membuat dasar untuk kepentingan bersama.

Kesimpulannya, tanpa caregiver, sistem kesihatan kita akan lumpuh. Justeru kalau kita menjaga caregiver, secara automatik, pesakit lebih terurus, hospital kurang sesak. Kos rawatan negara berkurang dan masyarakat lebih sejahtera

Perlu diingat caregiver bukan robot.

Mereka manusia. Mereka ibu, ayah, anak, isteri, suami.

Mereka perlu berehat. Mereka perlu diberi perhatian dan didengari suara kecil mereka.

Sudah tentu mereka juga perlu dibantu. Mereka sudah terlalu lama menderita dalam senyap.

Sudah sampai masanya negara dan masyarakat mendengar suara mereka.

-- BERNAMA

Hariyati Ariffin ialah Pengerusi NGO Kesihatan Mental MaRMA (Malaysia Relief Mind Association).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)