Oleh Prof Ir Ts Dr Mohd Irwan Juki dan Prof Madya Ts Dr Norhadilah Abdul Hamid
Cadangan untuk melaksanakan sistem tiga semester setahun atau sistem trimester di institusi pengajian tinggi tempatan kembali menjadi perbincangan hangat dalam kalangan warga akademik dan pembuat dasar pendidikan.
Dalam era pendidikan tinggi yang semakin dipengaruhi oleh tuntutan kecekapan, kebolehpasaran graduan dan persaingan global, sistem trimester sering dilihat sebagai satu pendekatan progresif.
Ia menjanjikan tempoh pengajian yang lebih singkat, penggunaan kemudahan universiti yang lebih optimum serta pengurusan akademik yang lebih dinamik.
Namun, di sebalik potensi tersebut, timbul persoalan sama ada sistem ini benar-benar sesuai dengan realiti budaya kerja, keupayaan sumber manusia dan kesejahteraan insan kampus secara keseluruhan.
Hujah penyokong system trimester
Antara hujah utama yang sering diketengahkan oleh penyokong sistem trimester ialah aspek kecekapan akademik.
Dengan tiga semester setahun, pelajar yang berdisiplin dan terancang berpeluang menamatkan pengajian lebih awal berbanding sistem dua semester tradisional.
Dalam landskap pasaran kerja yang semakin kompetitif dan tidak menentu, kelebihan ini boleh menjadi nilai tambah kepada graduan, khususnya dalam bidang profesional, teknikal dan berorientasikan industri. Selain itu, tempoh pengajian yang lebih singkat juga berpotensi mengurangkan kos sara hidup pelajar serta beban kewangan keluarga.
Dari sudut pengurusan institusi pula, sistem trimester dilihat mampu mengoptimumkan penggunaan kemudahan universiti sepanjang tahun. Bilik kuliah, makmal, perpustakaan dan kemudahan sokongan tidak lagi beroperasi secara bermusim, sebaliknya dimanfaatkan secara berterusan.
Keadaan ini berpotensi meningkatkan pulangan pelaburan infrastruktur serta menyokong kelestarian operasi universiti. Dalam konteks universiti awam yang berdepan kekangan peruntukan, kecekapan penggunaan aset menjadi satu keperluan strategik, bukan lagi pilihan.
Pandangan tenaga akadamik
Bagi tenaga akademik, sistem trimester turut dikatakan menawarkan fleksibiliti tertentu dari segi penjadualan tugas.
Dengan perancangan yang teliti, pensyarah boleh menyusun beban pengajaran, penyelidikan dan penerbitan secara lebih strategik mengikut semester.
Ada yang boleh menumpukan pengajaran pada semester tertentu, manakala semester lain dimanfaatkan untuk penyelidikan, penulisan atau kerjasama industri. Dalam keadaan ideal, pendekatan ini mampu membentuk budaya kerja akademik yang lebih terancang, fokus dan berorientasikan pencapaian.
Cabaran realiti pelaksanaan
Namun begitu, kelebihan yang sering dipaparkan ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada cabaran realiti pelaksanaan. Sistem trimester menuntut ritma kerja dan pembelajaran yang lebih pantas serta berterusan.
Pelajar berdepan dengan jadual akademik yang hampir sepanjang tahun, dengan tempoh rehat yang lebih singkat.
Tanpa pengurusan masa, emosi dan sokongan psikososial yang kukuh, tekanan akademik boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal pelajar, seterusnya memberi kesan kepada motivasi dan kualiti pembelajaran mereka.
Cabaran yang sama turut dirasai oleh pensyarah dan staf sokongan. Kitaran pengajaran, penilaian, penyeliaan serta tugasan pentadbiran yang lebih kerap berpotensi meningkatkan beban kerja secara signifikan.
Jika sistem pengagihan tugas, ganjaran dan sokongan institusi tidak disusun semula secara adil, risiko keletihan melampau atau burnout dalam kalangan warga kerja akademik menjadi semakin ketara. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan produktiviti, komitmen dan kelestarian tenaga pakar universiti.
Implikasi kewangan
Selain isu sumber manusia, implikasi kewangan turut perlu diberi perhatian serius. Operasi fasiliti universiti sepanjang tahun menuntut kos penyelenggaraan, utiliti dan sokongan teknikal yang lebih tinggi.
Sistem trimester juga memerlukan pelaburan dalam teknologi pengurusan jadual, sistem maklumat akademik serta perancangan sumber manusia yang lebih kompleks. Tanpa perancangan kewangan yang rapi dan model pembiayaan yang mampan, sistem ini berisiko menambah tekanan kepada kedudukan kewangan institusi.
Dalam konteks pendidikan tinggi, persoalan kualiti tidak boleh diketepikan demi mengejar kuantiti dan kelajuan.
Masa rehat bukanlah satu pembaziran, sebaliknya ruang penting untuk refleksi, pemulihan dan pembinaan kefahaman yang mendalam. Pelajar memerlukan masa untuk mencerna ilmu dan pengalaman pembelajaran, manakala pensyarah memerlukan ruang untuk menilai pendekatan pedagogi serta menghasilkan penyelidikan bermutu.
Sistem trimester yang terlalu padat dikhuatiri mengorbankan kedalaman pembelajaran demi kecepatan penyampaian kurikulum.
Bukan mustahil tetapi perlu strategi bijaksana
Hakikatnya, pelaksanaan sistem trimester bukan sesuatu yang mustahil, tetapi ia memerlukan strategi yang bijaksana.
Pendekatan berperingkat, pelaksanaan terpilih mengikut kesediaan fakulti atau program, serta sokongan teknologi digital boleh menjadi langkah awal yang lebih selamat.
Pada masa yang sama, aspek kesejahteraan insan kampus perlu dijadikan teras utama perancangan, melalui sokongan kaunseling, fleksibiliti kerja dan keseimbangan cuti akademik.
Akhirnya, keberkesanan sesuatu sistem pendidikan tidak diukur semata-mata melalui kepantasan pengajian atau kecekapan operasi. Ia dinilai melalui keupayaan melahirkan graduan yang matang, berdaya fikir dan seimbang dari segi intelek serta kesejahteraan diri.
Sistem trimester mungkin mampu mempercepatkan proses akademik, tetapi kebijaksanaan sebenar terletak pada keupayaan kita menyeimbangkan kecekapan sistem dengan kemanusiaan pendidikan.
-- BERNAMA
Prof Ir Ts Dr Mohd Irwan bin Juki ialah Profesor / Penolong Naib Canselor (Digital dan Infrastruktur) / Ketua Pegawai Digital Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Prof Madya Ts Dr Norhadilah binti Abdul Hamid ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan universiti sama.