TINTA MINDA

Propaganda Era AI: ONSA Perkukuh Keselamatan Siber Negara

13/01/2026 12:37 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Sejarah terukir apabila pada 8 Januari 2026, saya diberi peluang sebagai Penganalisis Perang Saraf Media dijemput oleh Bernama TV dalam program 1 jam Ruang Bicara yang terajui oleh pengacara Ally Iskandar untuk membincangkan topik Propaganda Era AI dalam konteks penguatkuasaan ONSA sebagai elemen untuk perkukuh keselamatan siber negara.

Artikel ini adalah rumusan dari bual bicara tersebut. Sebelum itu saya ucapkam ribuan terima kasih kepada penerbit Bernama TV, Shahrul Aini Saharan atas peluang yang diberi.

Era digital hari ini menyaksikan kemajuan teknologi komunikasi berkembang amat pantas daripada keupayaan masyarakat untuk menilai risikonya.

AI dimanipulasi menjadi alat propaganda dan ancaman siber

Kecerdasan buatan (AI) yang pada asalnya dibangunkan untuk memudahkan kehidupan manusia, kini turut dimanipulasi oleh segelintir sebagai alat baharu propaganda dan ancaman siber.

Fenomena ini bukan lagi bersifat persepsi sebaliknya telah memberi impak nyata kepada keselamatan negara, kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks inilah, peranan Pejabat Keselamatan Siber Negara (ONSA) menjadi semakin kritikal dalam memperkukuh pertahanan siber digital negara.

Ancaman siber negara serius

Antara petunjuk jelas betapa seriusnya ancaman siber di Malaysia adalah kerugian kewangan akibat penipuan dalam talian.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan sehingga 2025 kerugian mencecah RM2.7 bilion, hasil daripada pelbagai bentuk scam yang menyasarkan rakyat Malaysia.

Jumlah ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan impak ekonomi dan psikologi yang besar terhadap mangsa. Penipuan digital bukan sahaja merugikan individu, malah melemahkan keyakinan awam terhadap ekosistem digital.

Dalam masa yang sama, kandungan berbahaya dalam talian turut berada pada tahap membimbangkan.

Contohnya 880,000 kandungan CSAM atau pornografi kanak-kanak telah berjaya dirampas dalam OPS Pedo 2.0.

Fakta ini menunjukkan betapa luas dan pantasnya penyebaran kandungan negatif di ruang siber, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan dan pemantauan dan akauntabiliti yang lebih keras, serius dan sistematik.

Walaubagaimanapun, Propaganda dalam era AI berbeza daripada propaganda tradisional.

Ia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada mesej satu hala atau dua hala, atau slogan politikal semata-mata, sebaliknya spektrum sebarannya luas dan tersebar secara personalisasi melalui teknologi pintar dan algoritma.

AI kini berfungsi sebagai “senjata baharu” yang mampu memanipulasi persepsi, emosi dan kepercayaan masyarakat secara besar-besaran melalui Realiti Sintetik.

Jika dadah sintetik bahaya memudaratkan, realiti sintetik merbahaya dari sudut yang tidak kita sangka kerana ia tidak menunjukkan simptom sebaliknya menyerap dalam memori, membina persepsi dan seterusnya menjadi pemangkin keinginan dan tindakan luar batasan.

Inilah yang menjadikan propaganda era AI lebih sukar dibendung dan lebih berbahaya kerana kita tidak tahu siapa yang terkesan.

AI ialah pedang dua mata

AI sering digambarkan sebagai pedang dua mata.

Di satu sisi, ia membantu mempercepatkan analisis data dan meningkatkan kecekapan.

Namun di sisi lain, teknologi yang sama digunakan untuk tujuan negatif seperti dalam penyebaran propaganda.

AI membolehkan kandungan palsu dihasilkan dengan pantas, disesuaikan mengikut sasaran secara hiper personalisasi, dan disebarkan oleh algoritma merentasi pelbagai platform digital.

Salah satu bentuk ancaman utama ialah fenomena “fake narrative laundering”.

Naratif palsu diulang dan disebarkan secara konsisten sehingga segelintir masyarakat mula menerimanya sebagai kebenaran.

Teknik ini berkesan kerana ia mengeksploitasi kecenderungan manusia untuk mempercayai maklumat yang kerap didengar.

Apabila disokong oleh algoritma dan automasi AI, naratif palsu ini menjadi semakin sukar dipatahkan.

Ancaman deepfake

Ancaman lain yang semakin menonjol ialah “deepfake as a service”. Identiti tokoh terkenal, pemimpin atau selebriti disalahgunakan untuk tujuan penipuan, menjatuhkan imej, atau dijadikan bahan jenaka yang bersifat manipulatif.

Kandungan sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi mencetuskan ketegangan sosial dan merosakkan kepercayaan terhadap institusi serta individu awam.

Automation bias

Selain itu, wujud juga fenomena “automation bias”, iaitu kecenderungan manusia untuk menerima maklumat yang dihasilkan oleh AI sebagai benar tanpa semakan kritikal.

Sikap ini menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada manipulasi, kerana keputusan dan kepercayaan dibina atas maklumat yang mungkin telah direka untuk memenuhi kepercayaan pengguna.

Apabila digabungkan dengan “synthetic reality”, iaitu penciptaan realiti sintetik yang sangat realistik, sempadan antara yang benar dan palsu menjadi semakin kabur.

Dalam landskap ancaman propaganda era AI yang kompleks ini, ONSA memainkan peranan penting sebagai penyelarasan keselamatan siber negara.

Akta ONSA kemuka perundangan platform digital bertanggungjawab

Melalui penguatkuasaan Akta ONSA menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan platform digital bertanggungjawab memantau serta memadam kandungan yang dilihat berbahaya.

Pendekatan ini menegaskan bahawa keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak seperti “community flagging” oleh pengguna dan respon pantas oleh platform media sosial.

ONSA dan penglibatan masyarakat dalam melaporkan kandungan pornografi kanak-kanak, scam, buli siber dan berita palsu membantu mempercepatkan tindakan dan mengurangkan penyebaran kandungan berbahaya sebelum ia memberi impak sistemik lebih besar.

Pada masa yang sama, strategi melawan propaganda tidak boleh bersifat defensif semata-mata.

Pendekatan perang saraf volume

Pendekatan “perang saraf volume” diketengahkan, iaitu usaha membanjiri ruang digital dengan kandungan positif, berfakta dan berpendidikan. Agak cliche tapi cliche inilah salah satu kunci membina ruang siber digital yang lebih selamat selaras dengan objektif ONSA.

Dengan meningkatkan jumlah kandungan berkualiti, naratif negatif dapat ditenggelamkan secara beransur-ansur.

Aspek pendidikan juga menjadi tunjang utama.

Literasi media dan AI perlu dipupuk sejak usia muda hingga ke peringkat dewasa agar masyarakat mampu mengenal pasti propaganda dan tidak terlalu bergantung kepada teknologi tanpa pertimbangan kritikal.

Kesedaran ini penting bagi membina daya tahan sosial dalam menghadapi manipulasi digital yang semakin canggih.

Akhir sekali, pemerkasaan kempen komunikasi sosial bersemuka secara luar talian boleh diberi penekanan juga.

Hubungan manusia yang dibina melalui interaksi bersemuka seperti kempen komunikasi untuk membantu dalam menyampaikan mesej kesedaran dengan lebih berkesan, sekali gus melengkapkan usaha dalam talian.

Kesimpulannya, propaganda era AI merupakan ancaman nyata yang semakin meruncing.

Namun, melalui pengukuhan peranan ONSA, kerangka perundangan yang jelas, tanggungjawab bersama, pendidikan berterusan, akauntabiliti platform media sosial dan strategi kempen komunikasi sosial yang menyeluruh, keselamatan dan keamanan siber negara dapat diperkukuh demi membentuk generasi baru yang sihat mentalnya.

Dalam dunia yang semakin dipacu algoritma, kandungan AI, membina keupayaan masyarakat untuk berfikir kritikal kekal sebagai benteng pertahanan paling utama era madani ini.

Boleh difikirkan juga pendidikan media bukan lagi untuk pelajar komunikasi di universiti sahaja akan tetapi untuk semua bermula pelajar sekolah tadika dan sekolah rendah.

Contohnya di China, program pendidikan AI telah bermula sejak untuk kanak-kanak seawal 6 tahun tahun.

Keputusan peringkat polisi-dasar yang pantas, tindakan segera dan sinergi komunikasi antara agensi menjadi antidot krisis dan ancaman ini.

-- BERNAMA

Dr Ahmad Saufiyyan Abu Hasan ialah daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)