PENA WANITA

Menangani Krisis Senyap Universiti Melalui Psikologi Pendidikan

26/01/2026 09:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad

Perbincangan tentang ‘krisis senyap’ di universiti tempatan yang dibangkitkan oleh akhbar Malay Mail baru-baru ini (27 Disember 2025) wajar diraikan sebagai satu bentuk keprihatinan, bukan ancaman.

Kritikan terhadap universiti harus dilihat sebagai peluang untuk memperhalusi peranan institusi keilmuan dalam memenuhi aspirasi negara dan pada masa sama bersaing di peringkat global.

Namun, apabila isu ini mula menyedarkan kita tentang realiti sebenar, persoalan yang lebih penting adalah apakah langkah seterusnya yang perlu diambil dan disiplin ilmu apakah yang seharusnya menjadi kerangka panduan kepada tindakan seterusnya?

Jawapannya tidak terletak pada perubahan dasar semata-mata, tetapi pada pemahaman tentang manusia yang belajar, bekerja dan memimpin dalam sistem pendidikan tinggi.

Di sinilah psikologi pendidikan memainkan peranan yang lebih bermakna dengan membantu universiti di negara ini memahami dinamika pembelajaran, motivasi dan kesejahteraan warganya secara lebih menyeluruh. Di samping itu, berperanan secara signifikan dalam sistem yang semakin mencabar dan kompleks.

Krisis yang Menghakis Dari Dalam

‘Krisis senyap’ jarang muncul dalam bentuk konflik yang terbuka. Krisis lebih kerap dizahirkan melalui elemen psikologi seperti keletihan emosi, budaya diam, kecenderungan mematuhi tanpa berfikir, serta kehilangan rasa makna dalam kerja akademik.

Dalam suasana sebegini, potensi intelektual warganya tidak lenyap secara mendadak, tetapi terhakis secara perlahan-lahan dan mungkin terhenti apabila mereka bersara wajib atau pilihan.

Apabila staf akademik mula berasakan bahawa bersuara membawa risiko sama ada terhadap perkembangan kerjaya, hubungan kerja atau penilaian prestasi, maka kecenderungan mereka untuk berfikir secara terbuka akan beransur-ansur menurun.

Dalam keadaan ini, persoalan yang kritikal tidak lagi dibangkitkan, idea baharu tidak dapat dikembangkan, dan perbincangan akademik menjadi semakin suram serta lebih berhati-hati.

Sebagai contoh, cadangan untuk menambah baik pendekatan pengajaran, menyemak semula beban kerja, atau menilai semula mekanisme penilaian penyelidikan mungkin disimpan sebagai renungan peribadi, bukan dikongsi secara terbuka.

Dalam jangka panjang, universiti mungkin terus berfungsi dengan teratur dari sudut pentadbiran, namun kehilangan daya hidup atau dinamika sebagai komuniti pembelajaran.

Universiti tidak lagi berkembang melalui perdebatan idea yang positif dan refleksi bersama, sebaliknya bergerak secara mekanikal yang semata-mata berasaskan pematuhan dan kelangsungan, bukannya pembelajaran dan pembaharuan.

Psikologi Pendidikan Sebagai Teras Pembaharuan

Membina budaya ilmu dalam universiti bukan sekadar soal struktur, dasar atau pencapaian berangka. Ia merupakan satu seni yang menuntut kefahaman mendalam tentang bagaimana manusia belajar, berinteraksi dan berkembang dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Dalam hal ini, psikologi pendidikan memberikan kerangka penting kerana ianya tidak hanya membincangkan cara pelajar memperoleh ilmu, tetapi turut merangkumi bagaimana individu dewasa belajar, menyesuaikan diri, bermotivasi dan membina makna dalam organisasi pendidikan.

Universiti merupakan ruang dan pusat pembelajaran sepanjang hayat yang bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga untuk warga akademiknya. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi sebagai ‘pelajar matang’ yang terus belajar melalui pengalaman, refleksi dan dialog profesional.

Apabila dimensi pembelajaran ini diabaikan, universiti berisiko menjadi ruang kerja yang mekanikal, bukan komuniti ilmu yang positif dan hidup.

Dalam konteks inilah konsep keselamatan psikologi menjadi teras kepada pembinaan budaya ilmu yang sihat. Keselamatan psikologi merujuk kepada keadaan di mana individu berasa selamat untuk bertanya soalan, mencadangkan idea, mengakui kekangan, serta belajar daripada kesilapan tanpa rasa bimbang atau terancam.

Budaya ilmu tidak dapat berkembang dalam suasana yang mengekang keberanian intelektual kerana ia memerlukan ruang emosi yang membolehkan kejujuran, keterbukaan dan keinginan untuk terus belajar.

Apabila keselamatan psikologi dipelihara, universiti bukan sahaja mampu melahirkan idea, pemikiran reflektif dan inovasi, malah berjaya memupuk warganya sebagai pembelajar sepanjang hayat yang beretika, reflektif serta berdaya tahan.

Tindakan Berteraskan Psikologi Pendidikan

Dari sudut psikologi pendidikan, pembelajaran bermakna hanya berlaku apabila individu berasa dihargai, mempunyai autonomi intelektual, dan percaya bahawa kesilapan ialah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Psikologi pendidikan menegaskan bahawa orang dewasa belajar dengan berkesan apabila mereka terlibat secara aktif, diberi ruang refleksi, dan melihat kaitan antara kerja mereka dengan makna yang lebih besar.

Tanpa budaya ini, warga akademik akan cenderung untuk bertahan, bukan berkembang. Hal ini menjelaskan mengapa pembaharuan yang hanya bersifat struktur sering gagal mencapai kesan yang diharapkan.

Sehubungan itu, penulis berpandangan bahawa universiti boleh memulakan gerak langkah yang realistik secara berperingkat demi kelangsungan pada masa hadapan seperti cadangan berikut.

Pertama, membina ruang mendengar yang selamat. Sesi dialog kecil yang tidak berasaskan penilaian prestasi boleh membantu memahami pengalaman sebenar warga universiti sebagai pelajar dewasa dalam sebuah organisasi pembelajaran.

Kedua, mendidik pemimpin tentang proses pembelajaran dewasa. Pemimpin universiti perlu memahami bahawa menyoal bukan bermaksud mencabar autoriti, tetapi tanda keterlibatan kognitif dan motivasi intrinsik.

Ketiga, menjadikan refleksi sebagai budaya, bukan ritual. Refleksi pasca-projek dan perkongsian pengalaman, termasuk kegagalan, perlu dinormalisasikan sebagai strategi pembelajaran organisasi.

Keempat, memperkukuh literasi psikologi dalam kepimpinan akademik. Keupayaan mengurus emosi, konflik dan hubungan interpersonal adalah kompetensi teras dalam memimpin komuniti pembelajaran dewasa.

Kelima, menilai iklim pembelajaran, bukan sekadar output. Indikator seperti rasa selamat, kesejahteraan, kepercayaan, keharmonian dan makna kerja perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kualiti institusi.

Melangkah ke Hadapan

Universiti-universiti di Malaysia mempunyai modal insan yang berkualiti dengan komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan.

Namun, kecemerlangan yang lestari tidak dapat dibina tanpa memahami psikologi pembelajaran dan pembangunan manusia.

Psikologi pendidikan mengingatkan kita bahawa perubahan sebenar bermula dari dalam iaitu daripada cara kita berkomunikasi, berinteraksi, memimpin dan membina kepercayaan.

Apabila keselamatan psikologi dijadikan asas, universiti bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa, malah berupaya melahirkan generasi pemikir yang berani, beretika dan berdaya tahan.

Psikologi secara umum mampu membantu memahami tekanan dan emosi warga universiti. Namun, psikologi pendidikanlah yang membimbing bagaimana universiti boleh membina semula budaya pembelajaran, dialog dan pemikiran kritikal secara lestari.

Dalam konteks universiti, persoalannya bukan sekadar bagaimana manusia bertahan dalam sistem, tetapi bagaimana mereka terus belajar dan berkembang. Maka, dalam isu ini psikologi pendidikan dilihat menjadi lebih penting daripada psikologi secara umum.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)