TINTA MINDA

Media Sosial Medium Belia Promosi Pelancongan Negara

12/02/2026 08:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Maimunah Abdul Aziz

Negara kini sudah memasuki ambang permulaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ini adalah antara satu usaha penggiat agensi pelancongan bagi memperkenalkan pelancongan negara ke mata dunia.

Usaha yang sedang giat dijalankan adalah bagi memperkenalkan kepada dunia akan keunikan, keunggulan seni budaya serta destinasi pelancongan yang perlu diteroka.

Sejajar dengan usaha ini, kerjasama dan sokongan rakyat dalam promosi destinasi serta produk pelancongan adalah penting.

Di era globalisasi dan ledakan maklumat pantas, belia terutama Gen Z adalah golongan yang cakna serta mahir dalam teknologi dan penggunaan media sosial.

Keterlibatan mereka dalam media sosial adalah dominan dan berkesan terhadap pengaruh rakan sebaya, bukan saja dalam malah juga luar negara.

Belia bukanlah lagi golongan pasif, tetapi mereka juga mampu berkarya, berinovasi dan mereka cipta.

Mereka kini lebih ke depan dan berketrampilan di media sosial. Kajian juga mendapati bahawa belia adalah golongan yang paling banyak menggunakan masa untuk media sosial.

Perkembangan Produk Pelancongan yang Pelbagai

Sebagai kelompok aktif yang menggunakan media sosial, belia disaran mendapatkan dilatih untuk menerbitkan kandungan yang lebih bermanfaat dan memberi impak.

Selain berkongsi cerita, gambar dan perkongsian aktiviti semasa di media sosial, belia seharusnya memupuk minat secara tidak langsung menjadi duta pelancongan negara secara beramai-ramai.

Selari dengan promosi dan perlaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, promosi produk pelancongan secara bersama boleh membantu mencapai sasaran jumlah pelancong.

Selain itu, perkongsian media sosial yang bermanfaat adalah berkesan untuk membentuk sahsiah dan gaya hidup belia yang lebih sihat.

Lingkungan produk pelancongan kini tidak terhad kepada pergerakan atau percutian jarak jauh seperti ke pantai, pulau peranginan ataupun tanah tinggi sahaja.

Produk pelancongan, khususnya di Malaysia telah berkembang pesat kepada segmen pelancongan yang pelbagai.

Sebagai contoh, produk pelancongan budaya dan warisan adalah antara produk yang paling mudah untuk diakses di kebanyakan daerah. Belia boleh mempromosi rumah tadisional, bangunan warisan dan struktur warisan.

Pada zaman ini, terdapat banyak bangunan warisan yang telah ditransformasi kepada kegunaan lain seperti kafe hipster, galeri, hotel dan pusat pelancongan.

Mereka boleh singgah dan melakukan akitiviti-aktiviti riadah selain memuatnaik kandungan menarik di media sosial.

Produk pelancongan yang dipamer juga mencermin identiti, karakter destinasi dan kebolehpasaran pelancongan negara.

Disamping mempromosi produk pelancongan, belia juga boleh mengasah bakat dan ketrampilan dalam konten media sosial yang dimuat naik.

Mereka boleh menggunakan medium ini untuk latihan komunikasi serta mengupas dengan terperinci mengenai satu-satu destinasi atau produk pelancongan yang dieksplorasi.

Tidak hanya terhad kepada komunikasi, penyampaian juga boleh dilakukan dengan gambar-gambar menarik produk pelacongan beserta aksi OOTD – “outfit of the day”.

Ianya merupakan trend terkini bagi aktiviti pelancongan seluruh dunia.

Malah, mereka juga boleh belajar dan memahirkan diri dalam bakat suntingan video.

Antara yang menjadi fokus utama adalah belia mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Mereka ini adalah golongan yang kebanyakannya terdedah dan diajar untuk menghasilkan konten serta mengendali dan menganalisa media sosial.

Keterlibatan mahasiswa dengan aktiviti santai dan pelancongan adalah satu perkara yang tidak terkecuali.

Lebih dekat lagi adalah mahasiswa yang mengambil pengkhususan dalam bidang pelancongan dan yang berkait dengannya seperti Hospitaliti, Acara (Event) dan Kulinari.

Mereka sangat dekat dan terdedah kepada hampir semua produk dan destinasi pelancongan dalam negara.

Terdapat pelbagai usaha yang melibatkan mahasiswa di peringkat pengajian tinggi, seperti lawatan akademik, tugasan untuk komentari dan promosi media sosial.

Manfaatkan Kandungan Media Sosial

Justeru, mereka digalakkan untuk memanfaatkan kandungan media sosial bagi mempromosi industi pelancongan negara.

Minat ini perlu dipupuk agar menjadi amalan para belia negara.

Belia kini yang lebih versatile dan juga bervariasi dilihat mampu menjadi pemacu bagi promosi pelancongan negara.

Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai inisiatif lain yang boleh dilaksanakan, namum usaha ini memberi manfaat yang berlipat ganda kepada negara dan pihak berkepentingan yang lain.

Promosi pelancongan perlulah selaras dengan trend semasa yang diterima oleh pelancong antarabangsa.

Antara produk lain yang boleh dipromosikan oleh belia adalah seperti pelancongan aktiviti lasak.

Sebagai contoh, sukan adrenaline di pinggir kota, sukan berbasikal dan pengembaraan hutan.

Aktiviti seperti zipline, zuge, flying fox dan wall climbing kian popular dan mejadi sebahagian tarikan penduduk pinggir kota. Aktiviti sihat seperti ini bermanfaat mencergaskan minda dan fizikal belia.

Lebih manarik, aktiviti pelancongan di Malaysia juga dipenuhi dengan pelbagai acara dan program-program menarik.

Sejajar dengan promosi bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara dan program telah direncana dan diuwar-uwarkan dalam kalendar agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Golongan belia disaran mengambil peluang untuk terlibat terus dengan acara-acara yang dianjurkan ini dan dalam masa sama menjadi duta promosi.

Acara-acara yang dianjurkan adalah dekat kepada rakyat dan mengandungi elemen ilmu serta budaya. Dapat memperkenalkan kepelbagaian bangsa dan suku kaum di Malaysia ke mata dunia.

Pelancongan Minat Khusus

Merujuk kepada pelancongan minat khusus, ianya adalah sesuatu yang lebih menarik untuk diteroka oleh para belia di kota mahupun desa.

Aktiviti pelancongan ini lebih mejurus kepada minat tertentu seperti menyelam skuba, ekopelancongan, pelancongan masjid dan pelbagai minat atau hobi yang lain.

Pelancongan minat khusus adalah istimewa berbanding dengan pelancongan massa yang lain kerana ianya melibatkan aktiviti, kawasan dan perlaksanaan yang berbeza, dan selalunya lebih unik.

Belia amatlah disaran untuk moyokong usaha pembangunan pelancongan luar bandar demi memartabatkan budaya dan amalan hidup setempat, seperti pelancongan orang asli, pelancongan peertanian, pleancongan agro dan ekopelancongan.

Menyentuh kepada pendekatan kandungan media sosial, ianya adalah pelbagai dan boleh dikatakan bebas mengikut kreativiti pengguna, iaitu golongan belia.

Di zaman ini, terdapat banyak medium media sosial yang terdedah kepada rakyat, terutama golongan belia.

Antaranya adalah seperti Facebook, Instagram, Tiktok.

Ini adalah antara media sosial primer yang digunakan oleh ramai golongan belia, mengikut kajian dan statistik. Ia memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi teks, gambar dan juga video sebagai konten.

Lebih menarik lagi, mereka berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pengguna dari luar negara melalui ruang komen dan mesej peribadi.

Usaha mempromosi pelancongan negara adalah usaha bersama. Ianya tidak hanya perlu diletakkan kepada bahu Tourism Malaysia, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan sahaja.

Rakyat, khususnya golongan pengguna utama media sosial seperti belia juga perlu menyokong dan memainkan peranan.

Mereka perlu sentiasa diterapkan dengan usaha kerjasama kepada masyarakat dan negara, serta semangat cinta negara.

Ianya juga mampu menjadi usaha sama yang menyeluruh dari pelbagai pihak dan berpotensi untuk menaikkan nama produk pelancongan negara.

-- BERNAMA

Dr.Maimunah Abdul Aziz ialah Ketua Program Perancangan dan Pembangunan Pelancongan, Jabatan Pelancongan, Universiti Kuala Lumpur Business School,

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)