TINTA MINDA

Kepelbagaian Kebijaksanaan Dan Kepakaran Di Sabah: Menuju Kecemerlangan 2026

10/02/2026 11:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Salmiwati Othman, Norayati Nordin, Nurul Huda Roslan

Negeri di bawah bayu kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya, dialek dan latar belakang sosial.

Pelbagai kaum seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Melayu, Cina, Rungus, Suluk, Iranun serta komuniti pribumi dan bukan pribumi yang lain berada di bawah langit yang sama mencari hasil bumi, berkongsi rezeki dan memajukan tanah yang subur dan hijau membangun.

Kepelbagaian ini merupakan aset strategik dan kekuatan setiap individu di dalam organisasi yang memiliki kepakaran masing-masing serta bersatu membentuk pembangunan, kemajuan institusi dan memacu kecemerlangan organisasi dalam membina semangat baharu menjelang tahun 2026.

Nilai kepelbagaian kebijaksanaan (multiple intelligence) yang dimiliki oleh setiap individu memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan organisasi dan membentuk kebersamaan kerana di negeri Sabah kesemuanya dapat hidup secara harmoni, bertolak ansur dan membentuk pemikiran kolektif, etika kerja, kemahiran sosial mahupun kepakaran profesional.

Kepelbagaian kebijaksanaan ini disatukan dalam sebuah organisasi, ia mewujudkan ekosistem kerja yang dinamik, inklusif dan berdaya saing.

Dalam memacu kecemerlangan organisasi, kepelbagaian kebijaksanaan dan latar belakang kaum dan kepakaran di Sabah memperkayakan proses membuat keputusan di peringkat strategik serta pertengahan.

Melihat kepada kepakaran masing-masing, setiap individu menyumbang perspektif yang berbeza berdasarkan bidang ilmu pengetahuan, nilai, pengalaman hidup, dan budaya masing-masing.

Pendekatan ini membantu organisasi agar lebih saling lengkap- melengkapi dan melihat sesuatu isu secara lebih menyeluruh, kreatif serta inovatif.

Keputusan yang diambil bukan sahaja bersifat teknikal, malah mengambil kira sensitiviti sosial, budaya dan komuniti setempat.

Kepentingan kepelbagaian kebijaksanaan (multiple intelligence)

Berdasarkan penulisan Howard E.Gardner (1999) “Intelligence Reframed: Multiple Intelligences For The 21st Century” menyusulkan teori kepelbagaian kebijaksanaan dan menegaskan bahawa setiap individu memiliki kombinasi kebolehan yang unik, justeru, sistem pendidikan yang berkesan perlu mengiktiraf serta memupuk potensi ini secara holistik.”

Ternyata, kepelbagaian kebijaksanaan adalah diperlukan dalam organisasi terutama organisasi yang penuh dengan kepelbagaian etnik seperti di Sabah.

Malahan, Gardner (1999) juga menawarkan idea-idea provokatif tentang kreativiti, kepimpinan dan kecemerlangan moral, serta membuat spekulasi tentang hubungan antara kecerdasan pelbagai dan dunia pekerjaan pada masa hadapan.

Membentuk jati diri

Kombinasi jati diri dan kepelbagaian kebijaksanaan serta kepakaran profesional merangkumi bidang pendidikan, teknologi, keusahawanan, pertanian, pelancongan, kesihatan dan pentadbiran serta keseimbangan lokal menjadi pemacu utama pembangunan mampan organisasi.

Gabungan pengetahuan tradisional dengan kepakaran moden membolehkan organisasi menghasilkan penyelesaian yang praktikal, relevan dan berimpak tinggi.

Selain menyelesaikan masalah komuniti setempat, ia mampu membangun komuniti, membuka peluang perniagaan dan meletakkan organisasi di mata dunia.

Kepelbagaian kebijaksanaan membentuk identiti pekerja secara menyeluruh kerana ia mengiktiraf bahawa nilai, keupayaan dan sumbangan seorang staf tidak hanya terhad kepada satu jenis kecerdasan sahaja.

Malahan, kepelbagaian kebijaksanaan ini boleh membina kesedaran diri dan identiti profesional seorang pekerja dalam organisasi dengan memahami kekuatan dominan mereka masing-masing seperti interpersonal dan intrapersonal.

Budaya kerja harmoni

Kepelbagaian kebijaksanaan juga memainkan peranan penting dalam membina budaya kerja yang harmoni dan saling menghormati.

Di Sabah, semangat muhibah dan toleransi antara kaum telah lama menjadi asas kehidupan bermasyarakat.

Nilai kebersamaan ini diterjemahkan dalam organisasi melalui kerjasama berpasukan yang kukuh, komunikasi yang terbuka serta sikap saling mempercayai.

Persekitaran kerja yang inklusif bukan sahaja meningkatkan motivasi dan kesejahteraan warga kerja, malah menyumbang kepada produktiviti dan kelestarian organisasi.

Menjelang tahun baharu 2026, kepelbagaian kebijaksanaan kepakaran, kaum dan budaya ini menjadi sumber inspirasi untuk membina semangat baharu yang akan melonjakkan kecemerlangan organisasi.

Ia menuntut organisasi untuk terus memperkasakan bakat tempatan, mengiktiraf sumbangan semua kaum dan mewujudkan ruang pembangunan yang adil serta saksama.

Kepelbagaian kebijaksanaan kaum dan kepakaran di negeri Sabah bukan sekadar kekuatan sosial, malah merupakan tunjang kejayaan organisasi dan pembangunan masa depan.

Dengan semangat kebersamaan, saling menghormati dan keterbukaan terhadap perbezaan, Sabah mampu melangkah ke Tahun Baharu 2026 dengan keyakinan, membawa sinar harapan dan semangat baharu demi kemajuan bersama.

-- BERNAMA

Dr Salmiwati Othman, CHRM, MMIHRM ialah Timbalan Pendaftar Kanan UiTM, Norayati Nordin ialah Timbalan Pendaftar (M) (KUP) UiTM dan Nurul Huda Roslan, MMIM ialah Penolong Pendaftar UiTM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)