Oleh Dr Suria Hani A. Rahman dan Dr Rosninawati Hussin
Setiap hari ketika memandu ke tempat kerja, ramai masih menekan butang radio untuk menemani perjalanan. Lagu dimainkan, berita disampaikan dan penyampai berbual santai untuk menghiburkan para pendengar setia.
Namun apabila radio dimatikan, suasana terasa sunyi. Situasi ini menunjukkan bahawa walaupun landskap media kini dipenuhi platform digital seperti TikTok, YouTube dan podcast, radio masih digunakan secara konsisten.
Hakikatnya, radio tidak pernah seakan pupus tetapi hanya mengalami perubahan bentuk selari dengan perkembangan teknologi.
Di sebalik perubahan teknologi yang pesat, radio kekal relevan kerana fungsinya sebagai medium komunikasi manusiawi yang berasaskan kepercayaan, kedekatan dan tanggungjawab sosial.
Medium hubungan manusia
Sejak awal abad ke-20, radio merupakan media pertama yang membawa suara manusia ke ruang peribadi pendengar iaitu di rumah, tempat kerja dan dalam kenderaan.
Berbeza dengan televisyen atau media sosial yang memerlukan tumpuan visual, radio boleh didengar sambil melakukan aktiviti lain seperti bekerja, memasak atau memandu.
Pendengar bukan sekadar mencari maklumat atau hiburan, tetapi turut rasa kebersamaan. Suara penyampai yang dikenali mewujudkan hubungan psikologi dengan pendengar walaupun tidak pernah bersemuka.
Atas sebab itu, ramai pendengar setia kepada stesen tertentu bukan hanya kerana kandungan, tetapi kerana personaliti penyampainya.
Keadaan ini turut menjelaskan mengapa penyampai radio dianggap sebagai ‘pempengaruh’ awal dalam media massa.
Sebelum kemunculan media sosial, cadangan dan ulasan penyampai radio sudah mampu mempengaruhi pilihan lagu, gaya hidup dan bahasa percakapan masyarakat.
Peranan membina masyarakat
Di Malaysia, radio mempunyai sejarah sosial yang signifikan. Medium ini diperkenalkan sekitar awal 1920-an oleh British sebelum penubuhan Radio Malaya pada 1946 yang memperluas penyiaran berbahasa tempatan.
Menjelang dan selepas kemerdekaan negara, radio berfungsi sebagai medium penyatuan masyarakat dengan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar merentas bahasa serta budaya.
Stesen-stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), stesen-stesen radio agensi kerajaan dan swasta yang kini bersiaran melalui lebih 60 stesen di seluruh negara menyambung peranan tersebut.
Tidak ketinggalan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang melancarkan BERNAMA Radio pada 3 September 2007, memperluaskan lagi fungsi radio sebagai saluran penyampaian berita berterusan yang sahih serta berkepentingan awam.
Sebagai sebahagian daripada ekosistem berita negara, BERNAMA Radio memperkukuh fungsi radio bukan sekadar sebagai medium hiburan, tetapi sebagai institusi komunikasi yang menyokong demokrasi, memperkasa literasi media dan membentuk wacana awam yang berinformasi.
Perkembangan industri penyiaran memperlihatkan radio bukan sekadar medium hiburan, malah menjadi platform pendidikan, dakwah, perbincangan isu masyarakat dan pemeliharaan budaya melalui siaran muzik tempatan, drama radio dan program komuniti.
Kepercayaan yang terbina inilah yang menjadikan radio berdepan cabaran tersendiri apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) mula mendominasi ekosistem media.
Sumber maklumat ketika krisis
Kelebihan radio paling jelas ketika situasi kecemasan seperti bencana banjir, gangguan elektrik atau capaian internet terhad. Radiolah menjadi sumber maklumat paling stabil kerana tidak memerlukan jalur lebar tinggi dan boleh diakses secara meluas.
Berbanding media sosial yang berdepan risiko penyebaran maklumat tidak sahih, radio mempunyai struktur editorial dan penyiaran yang lebih tersusun.
Oleh itu, kepercayaan terhadap radio kekal penting terutama dalam penyampaian maklumat kecemasan kepada masyarakat.
Dalam konteks ini, prinsip penyampaian maklumat yang beretika menjadi semakin penting. Al-Quran mengingatkan agar setiap berita disemak sebelum disebarkan, sebagaimana firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah terlebih dahulu” (Al-Hujurat, 6).
Prinsip ini sejajar dengan peranan radio yang berfungsi berasaskan disiplin editorial dan tanggungjawab profesional, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat ketika masyarakat berdepan situasi krisis.
Radio dan kecerdasan buatan
Perkembangan teknologi digital dan AI kini memperkenalkan cabaran baharu kepada industri penyiaran. Platform penstriman audio, podcast dan suara janaan AI menawarkan kandungan yang boleh diakses pada bila-bila masa. Terkini, penyampai radio berasaskan AI juga telah digunakan untuk membaca berita secara automatik.
Walau bagaimanapun, AI bukan ancaman mutlak kepada radio, sebaliknya membuka peluang kepada transformasi. Kekuatan utama radio bukan pada teknologi semata-mata, sebaliknya pada interaksi manusia.
Siaran langsung, maklum balas segera dan kepekaan terhadap situasi tempatan membina keyakinan pendengar, manakala unsur empati serta kredibiliti tetap bergantung pada penyampai manusia.
Dalam era automasi dan suara janaan AI, aspek etika komunikasi menjadi semakin signifikan. Nabi Muhammad SAW menegaskan prinsip asas komunikasi apabila bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (Al-Bukhari dan Muslim).
Prinsip ini mengingatkan bahawa keberkesanan komunikasi bukan terletak pada kecanggihan teknologi, tetapi pada kebijaksanaan, empati dan tanggungjawab penyampainya.
AI berfungsi sebagai pelengkap, terutama dalam mengenal pasti kecenderungan pendengar, pengurusan kandungan serta operasi teknikal.
Walau bagaimanapun, kepercayaan antara penyampai dan pendengar kekal menjadi asas kepada keberkesanan komunikasi radio.
Kekal relevan dalam ekosistem digital
Radio turut berkembang seiring teknologi menerusi penstriman dalam talian, aplikasi mudah alih dan platform media sosial. Banyak stesen menyediakan siaran langsung video, podcast ulangan serta hubungan langsung dengan pendengar.
Perubahan ini menunjukkan radio bukan lagi terhad kepada gelombang frekuensi tetapi sebahagian daripada ekosistem audio digital.
Podcast sebenarnya meneruskan tradisi radio dari segi penceritaan, temu bual dan hubungan yang lebih dekat dengan khalayak.
Sempena Hari Radio Sedunia pada 13 Februari ini, radio wajar dilihat sebagai medium yang matang dan terus berkembang seiring perubahan zaman, bukan teknologi lapuk. Ia kekal menjadi teman kepada pemandu, pelajar, pekerja, juga warga emas di rumah.
Jelas bahawa, radio bukan sekadar medium penyiaran, tetapi institusi komunikasi yang merapatkan jurang maklumat dan emosi dalam masyarakat.
Dalam arus digital yang pantas berubah, radio terus membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri tanpa mengorbankan nilai asasnya melalui suara yang jujur, dekat dan dipercayai.
Selagi manusia mencari makna melalui pendengaran dan hubungan yang bersifat insani, radio akan kekal sebagai medium yang relevan, berwibawa dan signifikan dalam landskap media massa di negara ini.
-- BERNAMA
Dr Suria Hani A.Rahman dan Dr Rosninawati Hussin ialah Ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.