Ramadan adalah bulan yang setiap umat Islam nanti-nantikan kerana bulan ini sering dikaitkan sebagai bulan ibadah, bulan penuh keinsafan dan menyemai rasa kebersamaan.
Di sebalik menjalani rutin berpuasa iaitu sahur dan berbuka, ada suatu peluang di sebaliknya iaitu peluang untuk meningkatkan kesejahteraan diri dari segi mental, emosi, sosial dan spiritual.
Dunia kini bergerak pantas yang menuntut kita hidup dalam keadaan sentiasa tergesa-gesa.
Di samping tuntutan kerja, tanggungjawab keluarga, kesibukan akademik dan lambakan maklumat di media sosial menjadikan minda kita jarang benar-benar dapat berehat.
Ramadan hadir sebagai ruang semula jadi untuk memperlahankan langkah, menyusun semula keutamaan, kembali mengenal diri sendiri, memberi kesedaran tentang erti kehidupan dan peluang untuk meningkatkan kesejahteraan secara menyeluruh.
Setiap dari kita menginginkan kesejahteraan dalam hidup iaitu keseimbangan dari aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan spiritual.
Kita bukan sekadar bebas dari tekanan melampau tetapi lebih kepada ingin rasa tenang, hidup lebih bermakna, bijak mengurus emosi, perhubungan yang sihat dan yang penting merasai nikmat sebuah kehidupan.
Amalan berpuasa melatih kita bagaimana untuk mengawal diri melalui proses menahan lapar dan dahaga.
Selain daripada itu puasa juga melatih kita mengawal emosi yang mendidik kita menjadi individu yang lebih tenang dan stabil.
Pelbagai ibadah yang boleh kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan yang mampu memberikan ketenangan kepada fizikal, emosi dan mental.
Ibadah solat, zikir dan membaca al-Quran merupakan teknik relaksasi yang semula jadi kepada saraf, minda dan emosi yang seterusnya membantu mengurangkan keresahan dan memberikan ketenangan.
Bulan Ramadan juga memperkukuhkan hubungan sosial dan silaturrahim melalui amalan berbuka bersama keluarga, rakan dan komuniti, solat berjemaah serta bertukar juadah.
Ia membantu memperkukuhkan sokongan emosi, menjadikan hubungan semakin akrab dan menghilangan rasa sunyi serta terasing.
Amalan bersedekah dan berkongsi rezeki bukan sahaja meringankan bebanan orang lain tetapi juga memberi kebahagiaan, rasa empati dan kepuasan hidup kepada pemberi.
Kita sememangnya menyedari bahawa bulan Ramadan banyak memberi manfaat.
Namun kita juga pasti akan menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menjejaskan kesejahteraan di sepanjang Ramadan.
Perubahan kepada rutin harian, jadual masa yang berubah, kurang tidur, keletihan dan beban kerja sedia ada boleh menjejaskan kesejahteraan jika tidak diurus dengan baik.
Ada beberapa tip praktikal yang boleh diamalkan bagi meningkatkan kesejahteraan sepanjang Ramadan ini.
Kualiti Tidur
Tidur di bulan Ramadan bukan sekadar diukur melalui kuantiti tetapi ia lebih kepada kualiti.
Kurang tidur boleh menyebabkan emosi tidak stabil, mudah rasa marah, sukar fokus dan keletihan mental.
Tidur yang berkualiti walaupun singkat membantu otak memulihkan tenaga dan menstabilkan emosi.
Apa yang boleh dilakukan adalah menyusun masa tidur, mengelak daripada melihat skrin telefon 30 minit sebelum tidur dan tidurlah 20 hingga 30 minit di siang hari jika perlu.
Rehat yang mencukupi adalah asas kepada kesejahteraan mental.
Amalkan Kesedaran Diri
Melakukan ibadah dengan penuh penghayatan di setiap bacaan solat dan doa membantu menenangkan minda.
Makan dengan perlahan dan penuh kesedaran dengan memberi penekanan kepada rasa, tekstur dan aroma makanan itu sendiri ketika berbuka dan bersahur.
Cuba fokus kepada satu perkara pada satu masa, kurangkan aktiviti yang merugikan, susun semula jadual harian dan berikan ruang kepada diri sendiri untuk berehat.
Amalan kesedaran diri terbukti dapat mengurangkan keresahan dan meningkatkan ketenangan dalaman.
Refleksi Diri
Luangkan masa 10 minit setiap malam untuk refleksi diri, menilai emosi dan perlakuan.
Selalu bertanya kepada diri sendiri apa yang dipelajari hari ini, apakah emosi paling kuat dirasai hari ini dan apa yang yang boleh diperbaiki hari esok.
Luahan Emosi Secara Sihat
Ramadan adalah masa terbaik untuk melepaskan emosi bukan memendamkannya.
Luahan emosi boleh dilakukan dengan menulis di jurnal/diari yang ringkas, berbual dengan individu yang dipercayai, memperbanyakkan doa dan berkongsi bersama pencipta.
Memaafkan
Ramadan juga merupakan masa terbaik untuk memperbaiki hubungan yang renggang dan memohon kemaafan.
Memaafkan sememangnya suatu yang sukar untuk dilakukan.
Sikap bertolak ansur, komunikasi yang baik dan kesediaan memaafkan bukan sahaja mengeratkan silaturahim malah memberi kelegaan emosi yang besar kepada diri sendiri.
Bagaimana untuk belajar memaafkan? Lepaskan dendam yang bersarang di hati, belajar merendahkan ego dan mulakan semula perhubungan dengan niat yang baik.
Amalan Memberi dan Berkongsi
Bersedekah dan membantu orang lain bukan sahaja memberi kegembiraan kepada penerima tetapi ia juga menerbitkan kebahagiaan dalam diri pemberi dan memberi kepuasan yang tidak boleh digambarkan.
Apabila kita melihat senyuman penerima akan terbit rasa kesyukuran dalam diri kita.
Kebahagiaan ini mampu meningkatkan hormon kebahagiaan seperti dopamin dan oksitosin dalam diri pemberi dan penerima.
Kehidupan di bulan Ramadan bukan hanya mengubah rutin makan dan tidur tetapi mengajak kita menyusun semula kehidupan secara menyeluruh.
Ramadan mengajar kita untuk tidak sentiasa tergesa-gesa.
Urus masa dengan bijak agar langkah kita dapat menenangkan minda, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesedaran diri.
Ramadan bukan sahaja bulan untuk spiritual tetapi ia juga masa yang bertepatan untuk kita kembali mengenal diri, memperbaiki hubungan dan memulihkan kesejahteraan yang mungkin terabai.
Jika kita mampu memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan ia bukan sekadar sebulan ibadah tetapi ia akan menjadi titik mula kepada kehidupan yang lebih seimbang, tenang dan bermakna.
-- BERNAMA
Dr Noraishah Daud ialah Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).