Sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, agensi penguatkuasaan seperti polis dan kastam perlu bertindak lebih tegas dalam membanteras aktiviti penyeludupan, penjualan serta permainan mercun haram di negara ini.
Terdapat pelbagai peruntukan undang-undang yang jelas di negara ini bagi mengawal selia aspek penyeludupan, penjualan serta permainan mercun.
Mana-mana individu yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 [Akta 207].
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mana-mana pihak yang didapati mengilang, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api tanpa permit juga boleh didakwa di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 [Akta 207].
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Individu yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 [Akta 235] kerana menyimpan atau memiliki barangan larangan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan bermain atau membakar mercun dan bunga api yang dilarang, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu bulan atau didenda sehingga RM100, atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].
Pemantauan Media Sosial
Usaha pemantauan juga perlu dilakukan terhadap platform media sosial yang dilihat digunakan untuk menjual atau mempromosikan mercun kepada orang ramai, khususnya kepada golongan kanak-kanak.
Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mempergiat usaha pemantauan terhadap isu ini, terutamanya menjelang sambutan Hari Raya.
Pada masa yang sama, tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan saluran media tersebut untuk memasarkan bahan mercun secara tidak sah.
Adalah penting untuk difahami bahawa undang-undang yang mengawal penggunaan mercun yang masih berkuat kuasa di negara ini bukan bertujuan menyekat kemeriahan sesuatu perayaan, sebaliknya bagi mengelakkan kemalangan dan kemudaratan daripada berlaku kepada masyarakat.
Lindungi Kanak-Kanak
Tindakan lebih tegas juga perlu diambil bagi menghentikan kanak-kanak daripada bermain mercun yang dilarang.
Ini termasuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai dan gagal menghalang anak-anak di bawah jagaan mereka daripada bermain dengan mercun tersebut.
Semua jenis mercun merupakan bahan berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada kanak-kanak yang bermain dengannya, malah turut membahayakan orang di sekeliling.
Sejak sekian lama, ramai kanak-kanak menjadi mangsa akibat permainan mercun sehingga mengalami kecederaan serius.
Selain itu, masyarakat sekitar juga terpaksa berdepan bunyi bising dan letupan kuat yang dihasilkan oleh mercun.
Permainan mercun bukan sahaja mengancam keselamatan orang ramai, malah turut mengganggu ketenteraman awam.
Peranan Ibu Bapa dan Penjaga
Isu mercun sering kali timbul setiap kali menjelang musim perayaan. Aktiviti bermain mercun seolah-olah telah menjadi satu kebiasaan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Perkara ini tidak seharusnya terus dibiarkan berlaku di negara ini.
Sebelum sebarang kejadian tidak diingini atau lebih buruk berlaku, kanak-kanak perlu sentiasa dipantau ketika mereka bermain dengan mercun.
Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam membendung anak-anak daripada bermain dengan mercun yang berbahaya dan dilarang.
Hal ini kerana mereka merupakan individu yang paling hampir dan bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.
Kanak-kanak masih belum mempunyai tahap pemikiran yang matang untuk membezakan antara perkara yang baik dan buruk.
Oleh itu, ibu bapa serta penjaga perlu sentiasa memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak.
Dalam masa yang sama, ibu bapa dan penjaga tidak boleh lepas tangan atau mengambil sikap tidak peduli terhadap tingkah laku anak-anak di bawah jagaan mereka.
Walaupun tugas dan tanggungjawab sebagai ibu bapa serta penjaga bukanlah sesuatu yang mudah, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak sentiasa terpelihara.
Tanggungjawab Ibu Bapa Menurut Undang-Undang
Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang mempunyai tanggungjawab pemeliharaan seorang kanak-kanak dan:
adalah melakukan suatu kesalahan. Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa dan penjaga, perlu mengambil serius tanggungjawab mereka dengan memantau, menjaga dan melindungi anak-anak di bawah jagaan mereka.
Tindakan undang-undang wajar diambil terhadap mana-mana ibu bapa atau penjaga yang cuai atau gagal menjalankan tanggungjawab ini.
-- BERNAMA
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Prof Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).