TINTA MINDA

BNPL : Memudahkan atau Membebankan?

30/03/2026 08:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Syamil Khalid

Dalam era dunia digital yang bergerak pantas, cara masyarakat kini dalam berbelanja turut membawa kepada perubahan yang ketara.

Jika dahulu pembelian secara ansuran sering dikaitkan dengan kad kredit atau pinjaman bank, kini muncul satu kaedah yang semakin popular iaitu Buy Now, Pay Later (BNPL) atau Beli Dahulu, Bayar Kemudian.

Konsepnya cukup mudah, beli sekarang dan bayar kemudian secara ansuran dengan amaun yang kecil atau besar mengikut kepada produk dan harga yang dibeli.

Tanpa kad kredit dan proses yang rumit, pengguna hanya perlu beberapa klik di aplikasi atau platform e-dagang untuk memiliki barangan yang diingini.

Bagi ramai pengguna, khususnya golongan muda, BNPL dilihat sebagai satu kemudahan yang memudahkan kehidupan.

Telefon pintar, barangan elektronik, pakaian malah tiket penerbangan kini boleh dibayar secara berperingkat tanpa perlu mengeluarkan jumlah wang yang besar sekaligus.

Buruk, Baik BNPL

Namun di sebalik kemudahan tersebut, timbul satu persoalan penting iaitu adakah BNPL benar-benar membantu pengguna mengurus kewangan, atau sebenarnya membuka ruang kepada budaya berbelanja tanpa kawalan?

Tidak dinafikan, BNPL menawarkan beberapa kelebihan dengan memberi peluang kepada individu yang tidak mempunyai kad kredit untuk membuat pembelian secara ansuran.

Bagi sesetengah pengguna, kaedah ini membantu mengurus aliran tunai bulanan dengan lebih fleksibel.

Tambahan pula, platform e-dagang menjadikan BNPL sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran mereka.

Tawaran seperti “bayar dalam tiga ansuran tanpa faedah” atau “ansuran serendah RM30 sebulan” dilihat agak cukup ‘menarik’.

Hakikatnya, pendekatan ini sangat berkesan.

Apabila jumlah bayaran dipecahkan kepada angka yang kecil, pengguna cenderung merasakan pembelian tersebut tidak terlalu membebankan.

Namun di sinilah juga bermulanya risiko. Masalah utama BNPL bukanlah pada satu pembelian, tetapi pada pengumpulan pembelian.

Seorang pengguna mungkin membeli kasut menggunakan BNPL, kemudian membeli telefon pintar melalui skim yang sama, dan selepas itu menambah satu lagi pembelian untuk pakaian atau barangan lain.

Setiap transaksi mungkin hanya melibatkan bayaran kecil setiap bulan.

Tetapi apabila digabungkan, jumlah komitmen bulanan boleh meningkat tanpa disedari.

Lebih membimbangkan, pengguna kadangkala tidak merasakan mereka sedang berhutang.

Berbeza dengan pinjaman bank atau kad kredit, BNPL sering dilihat sebagai sekadar bayaran ansuran biasa.

Disiplin Diri dan Berbelanja Ikut Kemampuan

Fenomena ini mencerminkan satu realiti psikologi yang menarik iaitu hutang yang kecil dan berpecah-pecah sering kali tidak dirasakan sebagai hutang yang sebenar.

Perkembangan BNPL juga mendapat perhatian pihak pengawal selia bank pusat seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

Walaupun model ini memberi manfaat kepada pengguna dan merancakkan ekonomi digital, ia turut menimbulkan kebimbangan daripada sudut perlindungan pengguna serta pengurusan hutang.

Jika tidak dikawal dengan baik, BNPL berpotensi menggalakkan perbelanjaan mengikut dorongan hati tanpa memikirkan kesan jangka panjang atau impulsif, terutama dalam kalangan generasi muda yang aktif dalam ekosistem pembelian barang secara dalam talian.

Bagaimanapun, BNPL bukanlah sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya seperti mana-mana instrumen kewangan yang lain, ia boleh menjadi alat yang berguna jika digunakan dengan bijak dan berhemah.

Pengguna perlu melihat BNPL sebagai satu komitmen kewangan, bukan sekadar kemudahan membeli.

Pembelian seharusnya dibuat berdasarkan keperluan dan kemampuan, bukannya semata-mata kerana ansuran yang kelihatan kecil.

Dalam dunia kewangan peribadi, disiplin sentiasa menjadi kunci utama.

Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada BNPL itu baik atau buruk. Persoalannya ialah sejauh mana kita mampu mengawal diri dalam menggunakan kemudahan tersebut.

Kesimpulannya, berbelanjalah mengikut kemampuan.

-- BERNAMA

Muhammad Syamil Khalid ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)