TINTA MINDA

Jangan Membazir Hanya Kerana Hendak Sambut Hari Raya

19/03/2026 12:26 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow

Ramadan Al – Mubarak sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Rata - rata umat Islam diserata dunia termasuk di Malaysia kini sedang sibuk siap sedia menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Setiap kali datangnya hari raya, sudah menjadi satu kebiasaan dikalangan orang ramai untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran berkenaan.

Ada diantara mereka yang sanggup mengeluarkan dan berbelanja banyak wang ringgit semata-mata bagi menyambut hari yang hanya muncul setahun sekali ini.

Ada juga kalangan mereka yang sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah berdasarkan prinsip raya hanya datang setahun sekali dan prinsip biar papa asalkan bergaya.

Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran, adalah penting supaya setiap daripada kita untuk merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja.

Walaupun Hari Raya hanya datang sekali setahun, ini tidak bermakna kita perlu membelanjakan banyak wang atau sanggup berhutang semata-mata untuk menyambutnya.

Kesederhanaan dalam Islam

Adalah penting untuk kita ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri.

Hari Raya Aidilfitri disambut khusus oleh umat Islam bagi meraikan kemenangan mereka menahan diri dengan berpuasa dari makan dan minum serta segala perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan Al - Mubarak.

Kedatangan bulan Ramadan Al - Mubarak bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani ibadah puasa malah turut juga mengajar umat Islam untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian.

Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh agama Islam itu sendiri.

Umat Islam tidak sepatutnya melakukan sebarang perkara yang boleh membawa kepada pembaziran, kemudaratan serta sia-sia.

Perkara ini selaras dengan perintah Allah SWT di dalam kitab suci Al – Qur’an yang bermaksud “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua – dua cara itu”. Surah al – Furqan: Ayat 67.

Berbelanja Mengikut Kemampuan

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya kedatangan hari raya ini diisi dengan pembaziran serta perkara yang membawa kepada kemudaratan dan sia - sia pada diri sendiri.

Tidak salah untuk kita melakukan pelbagai jenis persiapan dan kelengkapan untuk menyambut hari raya, namun ianya harus dilakukan dengan bijaksana dan tidak membawa kerosakan kepada diri kita sendiri.

Perkara utama yang paling harus diberi penekanan ketika ingin melakukan proses persiapan hari raya nanti ialah untuk kita berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri.

Bak kata peribahasa Melayu, ukur baju dibadan sendiri, kita haruslah berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri.

Kita tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain. Setiap orang memiliki tahap kemampuan kewangan masing-masing.

Sebarang perbelanjaan yang tidak mengikut tahap kemampuan kewangan akan menyebabkan masalah kewangan serta memudahkan kita terjerumus ke dalam kancah hutang.

Hutang yang tidak berjaya dibayar boleh menyebabkan diri kita jadi jatuh muflis.

Oleh itu, adalah penting untuk kita semua tidak melakukan perbelanjaan di luar kemampuan diri sehingga boleh menyebabkan kita terjebak dalam kancah hutang dan menjadi muflis pada masa hadapan.

Utamakan Keperluan, Bukan Kemeriahan

Setiap orang harus merancang dengan bijak dan berhati-hati terhadap perbelanjaan mereka sebelum mereka keluar dari rumah untuk berbelanja ataupun melakukan proses perbelanjaan secara dalam talian.

Mereka harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika ingin membeli sesuatu barangan.

Proses perbelanjaan harus diutamakan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas kepada diri mereka dan bukannya berdasarkan kehendak hati atau nafsu mereka.

Mereka perlu menjadi seorang pengguna yang bijak dengan rajin bandingkan harga barangan yang dijual antara satu peniaga dengan peniaga yang lain.

Sambutan hari raya juga bukan lesen untuk mereka menukar segala perkakas yang ada dirumah dan membeli barang – barang baru seperti perabot, karpet, langsir, dan lain-lain lagi.

Di dalam perkara ini, mereka harus mempraktikkan amalan kitar semula dan menggunakan daya kreativiti sendiri supaya rumah mereka dapat kelihatan menarik, bersih dan baharu sesuai dengan sambutan Hari Raya.

Selain itu, mereka boleh menyusun atur semula perabot yang ada dalam rumah serta membersihkan segala perkakas atau barangan supaya kelihatan cantik dan teratur.

Peranan Kerajaan

Keputusan kerajaan agar semua kementerian, agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini wajar dipuji.

Langkah berjimat cermat ini diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat, dengan tujuan memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah tersebut turut memberikan mesej yang jelas agar semua pihak mengamalkan sikap lebih cermat dan sederhana.

Selain itu, langkah penjimatan ini juga melibatkan sekatan terhadap lawatan luar negara oleh anggota pentadbiran kerajaan.

Kita memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan seharian selepas musim perayaan berakhir.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam berbelanja.

Amalan berjimat cermat wajar dijadikan budaya, manakala tabiat menyimpan dan menabung perlu diberi keutamaan demi masa depan diri dan keluarga.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)