PENA WANITA

Cabaran Cuaca Panas Dan Semangat Raya

27/03/2026 12:54 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Norhaliza Abu Bakar

Cuaca panas yang melanda Malaysia sejak kebelakangan ini bukan lagi sekadar rasa tidak selesa, tetapi semakin menghampiri tahap membimbangkan.

Dalam beberapa minggu terakhir, suhu di beberapa kawasan dilaporkan mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius, satu paras yang dikaitkan dengan gelombang haba.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun. Ini bermakna rakyat Malaysia bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan suhu yang lebih tinggi daripada kebiasaan, tetapi juga menghadapi realiti bahawa cuaca ekstrem kini semakin menjadi kebiasaan.

Teruskan Amalan Kunjung Mengunjung

Kesan panas ini tidak hanya dirasai dari segi fizikal, malah turut memberi kesan kepada kesihatan.

Setakat Mac 2026, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan di Malaysia, termasuk tiga kes strok haba dan satu kematian.

Walaupun jumlah ini masih terkawal, ia memberi peringatan bahawa risiko sebenar sedang meningkat, terutama kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas.

Namun di sebalik cabaran cuaca ini, Malaysia kini berada dalam suasana yang cukup istimewa - menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam keadaan panas terik sekalipun, tradisi ziarah-menziarahi tetap diteruskan, seolah-olah menjadi bukti bahawa nilai kekeluargaan dan kebersamaan masih mengatasi segala ketidakselesaan.

Di kampung dan di bandar, suasana raya tetap meriah.

Kanak-kanak berlari dari satu rumah ke satu rumah, sanak saudara berkumpul menikmati juadah tradisional, dan amalan rumah terbuka terus menjadi budaya yang menyatukan masyarakat.

Walaupun peluh membasahi dahi dan kipas dipasang pada kelajuan maksimum, kunjungan tidak pernah terhenti.

Hakikatnya, inilah kekuatan masyarakat Malaysia - keupayaan untuk mengekalkan tradisi dan hubungan sosial walaupun berdepan cabaran cuaca.

Dalam konteks ini, panas terik bukan penghalang, tetapi sekadar ujian kecil dalam menyemarakkan semangat silaturahim.

Penyaman Udara jadi Barang keperluan

Namun, di sebalik suasana meriah itu, satu perubahan besar sedang berlaku dalam kehidupan harian rakyat - kebergantungan terhadap penyaman udara.

Apa yang dahulunya dianggap kemewahan kini menjadi keperluan, terutama ketika waktu rehat dan tidur.

Ramai yang kini tidak lagi mampu berfungsi dengan baik tanpa penyaman udara, khususnya di kawasan bandar yang dipengaruhi fenomena “pulau haba”.

Di rumah, di pejabat, malah di dalam kenderaan, penyaman udara menjadi penyelamat utama daripada bahang cuaca.

Keselesaan ini datang dengan harga yang perlu dibayar.

Apabila berjuta-juta rakyat Malaysia menggunakan penyaman udara secara serentak, permintaan elektrik meningkat secara mendadak.

Bagi kebanyakan isi rumah, kesannya jelas melalui bil elektrik yang semakin tinggi, terutamanya dalam tempoh musim perayaan apabila penggunaan meningkat hampir sepanjang hari.

Lebih membimbangkan, peningkatan ini memberi tekanan kepada sistem tenaga negara. Pada waktu puncak, terutama pada waktu malam, permintaan elektrik boleh melonjak ke tahap yang sangat tinggi.

Malah, Semenanjung Malaysia pernah mencatat permintaan melebihi 20,000 megawatt (MW) — satu angka yang menggambarkan betapa besarnya kebergantungan kita terhadap tenaga elektrik.

Namun, sistem bekalan elektrik negara yang diurus oleh Tenaga Nasional Berhad masih berada pada tahap stabil.

Kapasiti penjanaan melebihi keperluan semasa, disokong oleh margin rizab tenaga yang sihat, membolehkan sistem grid menampung lonjakan permintaan termasuk ketika cuaca panas dan musim perayaan.

Suruhanjaya Tenaga juga mengesahkan bahawa sistem bekalan elektrik negara berada dalam keadaan terkawal dan mempunyai rizab mencukupi untuk memastikan kesinambungan bekalan kepada pengguna.

Dalam masa yang sama, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan bahawa permintaan elektrik dijangka terus meningkat, khususnya ketika cuaca panas berpanjangan.

Menteri PETRA, Dato' Sri Fadillah Yusof, sebelum ini turut menekankan kepentingan pengurusan tenaga yang cekap serta usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu bagi memastikan kelestarian sistem tenaga negara.

Cabaran sebenar bukan sahaja pada hari ini, tetapi pada masa depan.

Kebergantungan kepada bahan api fosil masih tinggi, yang secara tidak langsung menyumbang kepada perubahan iklim.

Kita kini berada dalam kitaran yang saling berkait: cuaca panas mendorong penggunaan penyaman udara, penggunaan tenaga meningkat, pelepasan karbon bertambah, dan perubahan iklim mempercepatkan lagi fenomena panas.

Tekanan Tambahan Sistem Tenaga

Dalam suasana Hari Raya, keadaan ini menjadi lebih ketara.

Rumah terbuka yang berlangsung sepanjang hari, penggunaan peralatan elektrik yang tinggi, serta kehadiran tetamu yang ramai menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga dalam tempoh singkat.

Walaupun ia mencerminkan kemeriahan, ia juga memberi tekanan tambahan kepada sistem tenaga negara.

Namun begitu, masih ada ruang untuk bertindak secara bijak.

Menggunakan penyaman udara pada suhu sederhana sekitar 24 hingga 26 darjah Celsius, menggabungkannya dengan penggunaan kipas, serta mengurangkan penggunaan peralatan elektrik secara serentak adalah langkah kecil yang boleh memberi impak besar.

Pada masa yang sama, usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar perlu dipergiatkan.

Malaysia mempunyai kelebihan dari segi cahaya matahari sepanjang tahun, yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih lestari.

Jika trend semasa berterusan tanpa perubahan, tekanan terhadap sistem tenaga negara mungkin menjadi lebih ketara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Apa yang kita alami hari ini mungkin hanya permulaan kepada cabaran yang lebih besar.

Namun di sebalik semua ini, satu perkara kekal utuh - semangat rakyat Malaysia.

Dalam panas terik, dalam keadaan tidak selesa, tradisi ziarah tetap diteruskan. Senyuman tetap terukir, tangan tetap dihulur memohon maaf, dan pintu rumah tetap terbuka menerima tetamu.

Ini adalah bukti bahawa budaya dan nilai kekeluargaan kita masih teguh, sesuatu yang patut dibanggakan.

Akhirnya, gelombang haba yang melanda Malaysia bukan sekadar ujian terhadap fizikal, tetapi juga peluang untuk kita menilai semula cara hidup.

Dalam usaha menyejukkan ruang kehidupan dengan penyaman udara, kita juga perlu memastikan bahawa kita tidak secara tidak langsung memanaskan masa depan negara.

Keseimbangan antara keselesaan, tenaga dan kelestarian adalah kunci untuk memastikan bahawa bukan sahaja kita dapat menyambut Hari Raya dengan penuh makna hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

Dr Norhaliza Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, UTHM Pagoh, Johor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)