TINTA MINDA

Pembudayaan Literasi ICT Dalam Pembangunan Pelajar Universiti

13/04/2026 08:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Nurul Huda Rolsan & Sallehuddin Amran @ Jasmani

Mendepani cabaran masa kini, mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi berdepan dengan perubahan dinamik yang memerlukan kecekapan dan kepakaran dalam literasi ICT.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT (Information Communication and Technology) merupakan salah satu teknologi utama dalam pembangunan negara.

Dewasa ini, organisasi, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat menjadikan ICT sebagai salah satu asset utama yang membantu dalam kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Malah penggunaan ICT mampu menambahbaik proses kerja, mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan membantu pembuatan keputusan serta meningkatkan daya saing.

Institusi Pengajian Tinggi Awam khususnya Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merupakan universiti terbesar di Malaysia, mengaplikasikan Open and Distance Learning (ODL) yang merupakan norma baharu menggantikan interaksi komunikasi secara bersemuka di dalam bilik kuliah.

Norma baharu ini dibudayakan secara menyeluruh dengan mengambil kira peraturan yang berkuat kuasa dan keadaan semasa negara.

Elemen ini penting dalam memberikan kelangsungan penyampaikan ilmu berterusan kepada para mahasiswa seiring dengan aktiviti pembangunan pelajar di Univerisiti Teknologi MARA.

Bagi memastikan mahasiswa kekal relevan dan melahirkan graduan yang holistik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif memperkasa dan membangun mahasiswa di IPT dengan aktiviti pelajar yang merangkumi elemen Kemahiran Insaniah, Keusahawanan dan Kepimpinan.

Sebagai komponen utama dalam pentadbiran universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar berperanan sebagai pemangkin utama pelaksanaan program berasaskan teknologi yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.

Literasi ICT: Keperluan Asas

Literasi ICT bukan lagi kemahiran tambahan, tetapi merupakan keperluan asas bagi memastikan pelajar mampu berfungsi secara efektif dalam masyarakat digital serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar harus membudayakan literasi ICT aktiviti Pembangunan Pelajar melalui pemerkasaan penggunaan Internet of Thing (IoT), kepintaran buatan, robot, sensor dan sebagainya (Bonner, 2017).

Asas kepada penguasaan teknologi ini adalah pengetahuan dan kemahiran ICT.

Selain itu, pengaplikasi penyediaan kertas kerja melalui perisian Microsoft Words, penyediaan laporan kewangan melalui Microsoft Excel, penyediaan laporan pembentangan melalui Microsoft Powerpoint memberi Kemahiran asas kepada pelajar dalam melahirkan pelajar yang bukan Sahaja cemerlang akademik tetapi berupaya menggunakan dan memiliki Kemahiran Komputer dengan baik.

Selain itu, kemahiran menggunakan perisian seperti Canva (untuk mereka cipta poster) dan Capcut (dalam pembuatan video pendek) dalam pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar amat penting dalam melancarkan aktiviti dan menambah nilai kompentensi mahasiswa.

Kemahiran ini dapat disebarluas kepada komuniti melalui program-program kolaborasi seperti pembangunan usahawan muda dan penyebaran ilmu bersama komuniti setempat.

Salah satu usaha Staf Residen Kolej (SRK) UiTM Cawangan Sabah telah mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan cabaran komunikasi, penyampaian maklumat dan aktiviti pembangunan pelajar bagi penyampaian perkhidmatan yang lebih baik melalui pengubahsuaian dan penambahbaikan platform penyampaian maklumat dan aktiviti pembangunan pelajar melalui Projek Inovasi Resident Studio.

Selain menyampaikan maklumat melalui media sosial, Kelab Produksi Resident Studio ditubuhkan bagi melatih mahasiswa secara praktikal memiliki kepakaran teknikal seperti produksi, penyuntingan, kewartawanan, pengucapan awam, reka grafik, susunan muzik dan Kemahiran teknikal di belakang tabir.

Melalui model yang telah dibangunkan, Universiti di Malaysia mahupun luar negara boleh mereplika model tersebut dengan menggunakan kemudahan siaran/streaming termasuk green screen kepada para pelajar yang ingin mengadakan program melibatkan siaran secara atas talian serta menyediakan segmen mengikut hari dan masa yang telah dijadualkan.

ICT Memperkasa Mahasiswa dan Komuniti

Perkembangan ICT sejajar dengan kemajuan teknologi dan jaringan industri melalui platform Facebook, Youtube dan TikTok.

Selain berkolaborasi dengan pemain industri, kolaborasi bersama Penjawat Awam, Tokoh Usahawan, Influencer dan Pemegangtaruh lain berperanan dalam pembangunan modal insan dan kepimpinan mahasiswa.

Penyampaian Maklumat ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan serta memberi sumbangan kepada komuniti setempat, di mana segala informasi berkenaan segmen dapat dimanfaatkan kepada penonton FB Live (ditayangkan secara Live di aplikasi Facebook dan Capaian Pengguna adalah diserata dunia).

Siaran ulangan boleh ditonton kembali bila -bila masa sekiranya perlu. Komuniti Setempat berpeluang merasai dan menikmati kemudahan dan program yang dijalankan.

Selain itu, perkongsian ilmu dapat dilaksanakan bersama komuniti setempat, di mana mahasiswa boleh menganjurkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu membangunkan masyarakat agar lebih mahir dan berpengetahuan dalam bidang berkaitan.

Usaha ini bukan sahaja berpotensi melahirkan usahawan dalam talian, malah turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.

Peningkatan keberhasilan ini mampu menjimatkan masa dan memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berfikir secara lebih produktif dan menjana kreativiti kerana masa yang diperuntukan dapat disingkatkan dan fokus lebih kepada penjanaan idea dan perkembangan potensi.

Malahan institusi mampu diangkat ke persada dunia melalui e-marketing dan platform Facebook yang boleh dilayari di segenap pelusuk dunia.

Pembangunan ICT dan penyampaian maklumat kepada pemegangtaruh mampu merealisasikan aspirasi Universiti kearah kecemerlangan.

Para mahasiswa mendapat manfaat dan pengukuhan softskills kepada pelajar melahirkan graduan yang holistik.

Dalam konteks negeri Sabah yang dicirikan oleh kepelbagaian geografi serta ketidakseimbangan tahap pembangunan antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, pelaksanaan aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan satu pendekatan strategik yang signifikan.

Mahasiswa sebagai Agen Perubahan Digital

Penglibatan pelajar dalam program komuniti berasaskan ICT meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu ketidaksamaan digital dan keperluan masyarakat setempat.

Ini selari dengan matlamat BHEP untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga memiliki empati sosial dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Kolaborasi bersama pemain industri komunikasi digital terus dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan kesiapsiagaan pelajar dan graduan dalam mendepani komuniti setempat di era teknologi yang berkembang pesat.

Hasil pendedahan kepada penggunaan teknologi semasa pembelajaran di dalam dan di luar bilik kuliah, pelajar dapat menyumbang kemahiran yang diperolehi bagi membantu komuniti khususnya dalam bidang keusahawanan mikro, pemasaran produk tempatan dan perkhidmatan atas talian.

Dengan menggalakkan penggunaan aplikasi komunikasi digital dalam penyampaian dan hebahan maklumat terkini kepada pelajar-pelajar yang mewakili persatuan dalaman, ianya dapat meningkatkan literasi ICT dalam penyampaian perkhidmatan kepada komuniti.

Digitalisasi perkhidmatan yang diterapkan seawal pengajian, dapat melatih pelajar lebih bersedia dan menyumbang kepada pembentukan pelajar yang celik teknologi, bertanggungjawab sosial, serta berkemahiran tinggi dalam konteks masyarakat digital.

Strategi ini menunjukkan bahawa pendidikan tinggi boleh memainkan peranan penting sebagai agen perubahan sosial yang menyediakan platform untuk penyertaan aktif pelajar dalam pembangunan komuniti berteraskan ICT.

Secara keseluruhannya, penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti digital membuktikan bahawa pelajar bukan sekadar penerima ilmu tetapi juga agen perubahan yang mampu menghubungkan institusi pendidikan dengan masyarakat setempat.

Pendekatan ini menyokong model pembelajaran perkhidmatan (service learning) yang menekankan hubungan timbal balik antara pembelajaran akademik dan sumbangan sosial.

Dengan merangka program yang responsif terhadap keperluan komuniti, BHEP UiTM Cawangan Sabah bukan sahaja membantu mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar malah membentuk pelajar sebagai graduan yang celik digital, bertanggungjawab sosial dan beretika dalam penggunaan teknologi.

-- BERNAMA

Nurul Huda Rolsan, MMIM ialah Penolong Pendaftar, dan Sallehuddin Amran @ Jasmani ialah Pegawai Eksekutif Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)