TINTA MINDA

Cabaran AI Dalam Industri Media

04/05/2026 11:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohamad Letfee Ahmad

Berita mengenai insiden mogok oleh ratusan wartawan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 25 Mac lepas dan tindakan Federazione Nazionale Stampa Italian (FNSI), sebuah kesatuan wartawan utama di Itali, melancarkan mogok dua hari kemudian, mencetus kebimbangan global dalam kalangan pemilik, pengurusan dan para pengamal media.

Tindakan-tindakan mogok itu bukan sahaja melibatkan pertikaian gaji atau syarat perkhidmatan, sebaliknya menggambarkan kebimbangan yang mendalam terhadap masa depan kerjaya kewartawanan dalam era Kecerdasan Buatan (AI).

Sebelum kehadiran AI, hanya faktor gaji yang mendorong golongan wartawan untuk mogok.

Namun, pada era ini, wujud keresahan yang lebih serius, iaitu kemungkinan peranan wartawan semakin terhakis akibat penggunaan teknologi AI dalam tugas pelaporan dan penjanaan berita.

AI dan transformasi fungsi kewartawanan

Penggunaan AI dalam semua sektor industri, termasuk media, tidak boleh dielakkan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AI sudah menguasai semua proses kerja dalam industri media.

Organisasi berita terkemuka dunia seperti Reuters dan Associated Press (AP) telah mengintegrasikan sistem automasi untuk menghasilkan laporan berasaskan data, termasuk laporan kewangan, keputusan sukan dan analisis data.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan AI menjadi jalan pintas dan mudah untuk kekal berdaya saing.

Selain itu teknologi AI boleh melaksanakan sebahagian besar fungsi kewartawanan dengan kos yang lebih rendah.

Namun begitu, sejauh mana AI mampu menggantikan peranan wartawan secara menyeluruh?

Dari sudut disiplin akademik, kewartawanan merangkumi pelbagai proses penghasilan berita termasuk penilaian editorial, pemilihan sumber, pemahaman konteks sosial dan politik serta pertimbangan etika.

Elemen-elemen ini masih memerlukan keupayaan kognitif dan sensitiviti manusia yang sukar ditiru oleh algoritma.

Tekanan industri media di Malaysia

Perkembangan yang berlaku di ABC dan FNSI mempunyai kesan yang jelas dalam konteks Malaysia.

Industri media tempatan juga sedang melalui fasa transformasi akibat pendigitalan, perubahan pola penggunaan media dan tekanan terhadap model perniagaan tradisional.

Organisasi media seperti Media Prima dan Astro telah melaksanakan pelbagai strategi untuk kekal relevan, termasuk memperkukuh platform digital dan mengoptimumkan kos operasi.

Dalam proses ini, isu pengurangan tenaga kerja dan penyusunan semula organisasi adalah perkara biasa.

Walaupun penggunaan AI dalam bilik berita di negara ini masih dalam tahap awal, trend global menunjukkan bahawa AI akan mendominasi landskap media suatu hari nanti.

Justeru, kebimbangan yang disuarakan oleh wartawan di ABC dan FNSI boleh dilihat sebagai gambaran awal kepada cabaran yang bakal dihadapi oleh pengamal media di mana-mana sahaja termasuk Malaysia.

Dalam tempoh jangka pendek, AI mungkin akan digunakan untuk menyokong tugas-tugas asas seperti penulisan laporan ringkas, penyuntingan dan terjemahan automatik serta analisis data.

Namun dalam tempoh jangka panjang, ia berpotensi mengubah struktur pekerjaan dalam industri ini secara lebih menyeluruh.

Apa yang berlaku di ABC dan FNSI bukan kes terasing. Perkara itu boleh merebak menjadi satu trend global yang sukar dibendung.

Di banyak negara, wartawan berdepan dengan ketidaktentuan pekerjaan, penurunan pendapatan dan tekanan untuk menghasilkan kandungan dengan lebih pantas dalam persekitaran digital yang kompleks dan penuh persaingan.

Dalam keadaan ini, kemunculan AI dilihat sebagai serampang dua mata.

Pada satu pihak, ia menawarkan peluang untuk meningkatkan kecekapan dan memperluas keupayaan petugas media.

Pada pihak lain pula, kemunculan AI menimbulkan kebimbangan terhadap penggantian tenaga kerja manusia dan penurunan nilai kerjaya kewartawanan.

Dari perspektif teori ekonomi sumber manusia, situasi ini boleh ditafsirkan sebagai kes ‘peralihan teknologi’ dengan teknologi mengambil alih peranan tertentu manusia dalam pekerjaan.

Namun, sejarah juga menunjukkan bahawa inovasi teknologi sering kali membawa kepada penciptaan peranan baharu yang sebelum ini tidak wujud.

Sebagai contoh, kemunculan internet telah mengubah landskap media daripada versi cetak kepada platform digital.

Walaupun banyak akhbar tradisional terjejas, ia turut membuka ruang kepada kewartawanan digital, kewartawanan data dan kandungan multimedia.

Adakah kerjaya kewartawan di ambang kepupusan?

Persoalan sama ada kewartawanan akan pupus akibat AI perlu dilihat secara lebih realistik.

Secara umum, anggapan bahawa teknologi akan menggantikan sepenuhnya peranan manusia dalam bidang ini adalah tidak tepat.

Sebaliknya, apa yang mungkin berlaku ialah proses evolusi dalam kerjaya kewartawanan.

Wartawan masa depan perlu memiliki kemahiran yang lebih dinamik, termasuk keupayaan memahami teknologi, menganalisis data serta menghasilkan kandungan yang bernilai tinggi dan kompleks.

Peranan khusus seperti kewartawanan penyiasatan, pelaporan konflik dan penceritaan berasaskan pengalaman manusia dijangka kekal relevan kerana ia memerlukan interaksi langsung serta mempunyai pertimbangan moral dan emosi.

Dalam era kewartawanan siber yang memudahkan penyebaran maklumat palsu, fungsi pengamal media profesional sebagai pengesah fakta juga menjadi semakin sulit dan kritikal.

Dalam konteks ini, AI bukan mengambil alih, tetapi sebagai alat yang memperkukuh keupayaan wartawan.

Dengan memanfaatkan teknologi untuk tugas rutin, wartawan boleh memberi tumpuan kepada aspek kerja yang lebih kompleks dan mempunyai nilai tambah.

Keseimbangan antara inovasi dan profesionalisme kewartawanan

Transformasi teknologi dalam industri media tidak boleh dipisahkan daripada isu keadilan sosial dan kebajikan pekerja.

Inovasi tidak seharusnya berlaku dengan mengorbankan kestabilan kerjaya, kewibawaan dan profesionalisme pengamal industri media.

Bagi Malaysia, perkembangan ini menawarkan peluang untuk mengambil pendekatan proaktif dalam mengurus peralihan ke arah penggunaan AI dalam media.

Ini termasuk pelaburan dalam latihan semula (reskilling), penggubalan dasar yang melindungi pekerja serta penekanan terhadap etika dalam penggunaan teknologi.

Masa depan kewartawanan tidak ditentukan semata-mata oleh kemajuan teknologi, tetapi oleh keupayaan manusia, iaitu wartawan, organisasi media dan pembuat dasar, dalam membentuk hubungan antara teknologi dan nilai-nilai kewartawanan itu sendiri.

Dalam hal ini, integriti dan suara kemanusiaan mungkin menjadi aset paling berharga yang tidak dapat diganti oleh mana-mana alat atau teknologi.

-- BERNAMA

Mohamad Letfee Ahmad pernah bertugas di stesen radio dan TV milik RTM dan BERNAMA, serta turut menulis rencana untuk BERNAMA, dan majalah-majalah terbitan DBP. Beliau juga pernah menjadi pensyarah komunikasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Kini berkhidmat sebagai Perunding Komunikasi di Enforcement, Leadership and Management University (ELMU).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)