Oleh Ts Dr Nur Arzwin Mohamed Aris dan Farranie Erma Clement
Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang diraikan setiap tahun pada tanggal tarikh 28 April bukan sekadar satu acara simbolik atau program seremonial yang memenuhi kalendar organisasi.
Sebaliknya, ia merupakan satu inisiatif global yang diperkenalkan oleh International Labour Organization (ILO) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kepentingan melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja.
Tujuan utama sambutan ini adalah untuk memastikan setiap pekerja, tanpa mengira sektor atau negara, mempunyai hak untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat dan sihat.
Platform penting kukuhkan budaya kerja selamat
Di Malaysia, sambutan ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuh budaya kerja selamat dalam kalangan majikan dan pekerja.
Dalam konteks dunia moden yang semakin berkembang pesat, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak lagi terhad kepada aspek fizikal seperti kemalangan atau kecederaan di tempat kerja.
Sebaliknya, ia telah berkembang merangkumi aspek psikososial yang melibatkan kesihatan mental, emosi dan sosial pekerja.
Perubahan ini berlaku kerana dunia pekerjaan kini lebih kompleks, bertekanan tinggi dan dipengaruhi oleh teknologi serta globalisasi yang menjadikan tuntutan kerja semakin mencabar.
Tema Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2026 iaitu “Memastikan Persekitaran Kerja Psikososial yang Sihat bagi Meningkatkan Keselamatan, Kesihatan dan Prestasi Pekerja” amat relevan dengan situasi semasa di Malaysia.
Tema ini menekankan bahawa kesejahteraan mental pekerja bukan sahaja penting untuk individu, tetapi juga memberi kesan langsung kepada produktiviti organisasi dan ekonomi negara.
Apabila pekerja berada dalam keadaan mental yang sihat, mereka lebih fokus, produktif dan mampu menyumbang dengan lebih berkesan.
Psikososial pengaruhi kesihatan pekerja
Persekitaran kerja psikososial merujuk kepada semua faktor sosial dan psikologi yang wujud di tempat kerja yang boleh mempengaruhi kesihatan pekerja.
Ini termasuk cara komunikasi antara pekerja, gaya kepimpinan majikan, beban kerja yang diberikan, tahap sokongan organisasi serta hubungan sesama rakan sekerja.
Walaupun faktor ini tidak dapat dilihat secara fizikal seperti mesin atau bangunan, kesannya sangat besar terhadap emosi dan prestasi seseorang pekerja.
Di Malaysia, isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja semakin meningkat.
Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan kes tekanan kerja, kemurungan dan kebimbangan dalam pelbagai sektor pekerjaan.
Keadaan ini berlaku kerana tekanan kerja yang tinggi, kekurangan tenaga kerja serta tuntutan produktiviti yang semakin meningkat.
Jika tidak ditangani dengan baik, masalah ini boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja dan prestasi organisasi secara keseluruhan.
Selain itu, perkembangan teknologi juga memberi kesan besar kepada persekitaran kerja.
Penggunaan sistem digital, automasi dan kerja jarak jauh telah mengubah cara kerja tradisional.
Walaupun ia memberikan kemudahan, ia juga menyebabkan pekerja berdepan dengan tekanan baharu seperti keletihan digital, kurang interaksi sosial dan kesukaran memisahkan masa kerja dan kehidupan peribadi.
Keadaan ini menunjukkan bahawa pengurusan psikososial semakin penting dalam dunia pekerjaan moden.
Tripartit: Pastikan keberkesanan OSHA
Di Malaysia, keselamatan dan kesihatan pekerjaan dikawal oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).
Akta ini mewajibkan majikan perlu memastikan tempat kerja adalah dalam keadaan selamat kepada pekerja.
Selain itu, jabatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (JKKP) pula bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang serta memberi panduan kepada industri.
Namun, fokus kini perlu diperluaskan kepada aspek psikososial kerana ia turut memberi kesan besar kepada keselamatan pekerja.
Pendekatan tripartit yang melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja amat penting dalam memastikan keberkesanan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Kerajaan bertanggungjawab menggubal dasar dan undang-undang.
Majikan pula perlu menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan menyokong kesejahteraan pekerja.
Pekerja pula perlu mematuhi peraturan keselamatan dan menjaga kesihatan diri sendiri.
Amalan budaya kerja sihat
Antara sektor yang menyumbang kepada kadar kemalangan di tempat kerja yang tinggi di Malaysia ialah dari sektor pembinaan.
Sektor pembinaan merupakan antara sektor yang paling berisiko tinggi berlaku kemalangan maut di tempat kerja meskipun sektor ini mampu menyumbang pada kadar purata 4.1 peratus hingga 4.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara.
Menurut sumber jabatan satistik Malaysia pada tahun 2023 dilaporkan higga 88 kes kematian di sektor industri pembinan.
Pekerja bukan sahaja berdepan dengan risiko fizikal seperti jatuh dari tempat tinggi atau kecederaan mesin, tetapi juga tekanan psikologi yang tinggi.
Tekanan ini berpunca daripada jadual projek yang ketat, beban kerja yang berat serta ketidakpastian pekerjaan.
Semua ini boleh memberi kesan kepada kesihatan mental pekerja jika tidak dikawal dengan baik.
Sektor pembinaan berkembang pesat seiring dengan pembangunan infrastruktur.
Namun, cabaran seperti kekurangan tenaga kerja mahir dan kebergantungan kepada pekerja kontrak menyebabkan tekanan kerja semakin meningkat.
Oleh itu, pengurusan psikososial amat penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja terjamin.
Tekanan psikososial yang tidak diurus dengan baik boleh memberi kesan negatif seperti burnout, konflik di tempat kerja, penurunan produktiviti dan peningkatan risiko kemalangan.
Apabila pekerja mengalami tekanan, mereka lebih mudah melakukan kesilapan yang boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
Oleh itu, organisasi perlu melaksanakan langkah seperti pengurusan beban kerja yang seimbang, menyediakan sokongan kaunseling, melaksanakan Program Bantuan Pekerja (EAP) serta menggalakkan komunikasi terbuka.
Langkah-langkah ini penting untuk memastikan pekerja mendapat sokongan yang diperlukan.
Budaya kerja yang sihat juga memainkan peranan penting. Budaya kerja yang baik ialah budaya yang menekankan hormat, kerjasama dan komunikasi terbuka dikalangan pekerja dan majikan.
Apabila pekerja merasa dihargai, mereka akan lebih bermotivasi dan komited terhadap kerja.
Pendedahan awal psikososial di institusi pengajian tinggi
Pelajar yang menjalani latihan industri juga tidak kurang tempiasnya dalam menghadapi cabaran psikososial apabila memasuki dunia pekerjaan di era digital.
Mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya kerja baharu, tekanan tugasan serta jangkaan majikan yang kadangkala jauh berbeza daripada persekitaran akademik.
Peralihan ini boleh menyebabkan rasa tertekan, kurang yakin dan kekeliruan dalam memahami peranan sebenar di tempat kerja.
Oleh itu, bimbingan mentor amat penting bagi membantu mereka kerana mentor berperanan sebagai rujukan utama dalam memberi panduan kerja, sokongan emosi serta membantu pelajar memahami norma dan etika organisasi dengan lebih jelas.
Institusi pendidikan juga perlu memberi pendedahan awal tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya pelajar lebih bersedia menghadapi dunia kerja sebenar, termasuk kemahiran mengurus stres, komunikasi profesional dan adaptasi terhadap tekanan kerja.
Dengan persediaan yang baik, pelajar bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat, tetapi juga mampu mengurangkan risiko tekanan psikososial sepanjang tempoh latihan industri.
Usaha memperkasakan persekitaran kerja psikososial yang sihat juga selari dengan Sustainable Development Goal 8 (SDG 8) iaitu pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi.
Hal ini kerana pekerja yang sihat dari segi mental dan fizikal akan meningkatkan produktiviti negara serta mengurangkan risiko kemalangan dan ketidakhadiran kerja.
Mewujudkan persekitaran yang sejahtera kepada pekerja merupakan asas kepada produktiviti negara yang mampan dan inklusif.
Kesimpulannya, persekitaran kerja psikososial yang sihat merupakan aspek penting dalam dunia pekerjaan moden di Malaysia.
Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara.
Apabila pekerja berada dalam keadaan sihat dan sejahtera, mereka bukan sahaja meningkatkan prestasi organisasi, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih maju dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
Ts Dr Nur Arzwin Mohamed Aris ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Pembinaan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Farranie Erma Clement ialah Mahasiswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Pelajar Latihan Industri di Tasek Concrete Sdn. Bhd.