NOTA KAMPUS

Sokongan Menyeluruh Untuk Pelajar Miskin Tegar

08/05/2026 05:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Che Wan Muhammad Aziemuddin C.W. Kamal

Inisiatif kerajaan menyediakan pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar merupakan satu langkah progresif yang wajar dipuji.

Usaha ini bukan sahaja membuka ruang lebih luas kepada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, malah berpotensi menjadi pemutus rantaian kemiskinan yang telah membelenggu sebahagian masyarakat sejak sekian lama.

Sebagai seorang pemimpin mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, saya berpandangan bahawa peningkatan jumlah penerima bantuan daripada 5,800 kepada 10,000 pelajar menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memperkukuh mobiliti sosial melalui pendidikan tinggi.

Pendidikan tidak seharusnya menjadi “hak eksklusif” golongan berada, sebaliknya perlu dibuka seluas-luasnya kepada pelajar berpotensi daripada keluarga miskin tegar.

Sekiranya inisiatif ini dilaksanakan secara berkesan, negara bukan sahaja dapat membantu pelajar keluar daripada belenggu kemiskinan, malah melahirkan lebih ramai ilmuan, profesional dan pemimpin berkualiti pada masa hadapan.

Dasar pendidikan adil

Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang negara dan akses yang lebih adil kepada pendidikan tinggi akan memberi manfaat besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Dalam masa sama, saya turut menyokong mekanisme pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan Ijazah Kelas Pertama.

Langkah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk kontrak sosial akademik yang mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian.

Gabungan bantuan awal melalui sistem e-Kasih dan pengecualian pinjaman PTPTN juga berupaya mewujudkan ekosistem meritokrasi yang lebih adil kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Namun begitu, terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian agar dasar ini benar-benar adil dan inklusif.

Antaranya ialah ketidaksamarataan syarat Kelas Pertama antara universiti yang boleh menjejaskan keadilan kepada pelajar universiti penyelidikan (RU) seperti Universiti Putra Malaysia.

Di sesetengah universiti, CGPA 3.50 sudah melayakkan pelajar memperoleh Kelas Pertama, manakala di UPM dan beberapa universiti lain, pelajar perlu mencapai CGPA 3.75.

Perbezaan standard ini memberi tekanan besar kepada pelajar miskin yang bergantung kepada pengecualian hutang PTPTN sebagai harapan untuk mengurangkan beban kewangan selepas tamat pengajian.

Justeru, kerajaan disaran menyelaraskan semula kriteria tersebut supaya sistem bantuan benar-benar berasaskan merit dan tidak menghukum pelajar berdasarkan perbezaan standard institusi pengajian.

Bukan sekadar yuran

Selain itu, konsep “pendidikan percuma” tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengecualian yuran pengajian semata-mata.

Realitinya, kos sara hidup di kampus masih menjadi cabaran utama kepada pelajar miskin tegar.

Ramai pelajar terpaksa bekerja sambilan sehingga menjejaskan prestasi akademik hanya untuk menampung makan minum, pengangkutan dan keperluan harian.

Tanpa sokongan sara hidup yang mencukupi, pendidikan percuma hanya akan tinggal slogan.

Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan beberapa bentuk bantuan tambahan seperti pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) secara bulanan, jaminan penginapan percuma di kolej kediaman, bantuan laptop dan internet serta pengukuhan inisiatif food bank di universiti.

Di samping itu, isu kelewatan pengemaskinian data e-Kasih juga perlu diberi perhatian serius.

Terdapat keluarga yang baru jatuh miskin akibat kehilangan pekerjaan atau kematian ketua keluarga tetapi belum direkodkan dalam sistem.

Keadaan ini boleh menyebabkan pelajar yang layak tercicir daripada menerima bantuan secara automatik.

Jurang maklumat di kawasan luar bandar dan pedalaman turut dikhuatiri menjadi faktor penghalang kepada pelajar untuk mengetahui kelayakan mereka.

Sehubungan itu, integrasi data secara “real-time” antara e-Kasih, Kementerian Pendidikan Tinggi, universiti dan PTPTN perlu diwujudkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara automatik tanpa birokrasi yang membebankan pelajar.

Mekanisme khas sokongan pelajar

Dalam pada itu, universiti juga perlu memperkenalkan mekanisme khas untuk membantu golongan “hampir miskin tegar” yang tidak tersenarai dalam e-Kasih tetapi berdepan tekanan kewangan serius.

Golongan ini sering berada dalam “zon kelabu” kerana pendapatan isi rumah mereka melepasi garis kemiskinan secara teknikal, namun masih menanggung beban keluarga yang besar.

Universiti disaran mewujudkan panel khas dan sistem semakan berkala supaya bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Pada masa sama, Majlis Perwakilan Pelajar, pihak universiti dan alumni juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh sokongan akademik dan kebajikan kepada pelajar miskin tegar.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk program mentor-mentee, kumpulan belajar yang dipantau pelajar senior, skim pinjaman peranti sementara serta saluran aduan khas berkaitan isu PTPTN dan e-Kasih.

Sokongan seperti ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja mampu memasuki universiti, tetapi juga berjaya menamatkan pengajian dengan baik.

Selain bantuan kewangan, kerajaan juga perlu membuka laluan khas latihan industri dan peluang pekerjaan kepada penerima bantuan melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Matlamat sebenar pendidikan percuma bukan sekadar memastikan graduan tamat belajar tanpa hutang, tetapi membantu mereka memperoleh pekerjaan stabil dan mampu mengubah taraf hidup keluarga secara berkekalan.

Akhir sekali, diharapkan inisiatif pendidikan percuma ini dapat dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh agar tiada pelajar tercicir hanya kerana faktor kemiskinan atau kekangan birokrasi.

Pendidikan merupakan hak setiap rakyat dan masa depan negara bergantung kepada sejauh mana peluang tersebut dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

Che Wan Muhammad Aziemuddin C.W. Kamal ialah Naib Yang Dipertua 3, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Putra Malaysia Sesi 2025/2026.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)