TINTA MINDA

Antara keperluan Dan kehendak: Tiba Masanya Ubah Cara Berbelanja

21/05/2026 11:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Ketika dunia masih bergelut dengan konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan krisis bekalan global, rakyat di negara ini turut menerima tempias kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan memberi tekanan besar kepada isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat tidak lagi boleh terus hidup berasaskan budaya “ingin memiliki,” sebaliknya perlu berani beralih kepada budaya “mengurus keperluan.”

Cabaran terbesar yang disedari hari ini bukan sekadar soal pendapatan yang terhad atau harga barang yang mahal, tetapi sejauh mana pengguna mampu mengawal emosi, disiplin kewangan dan tabiat berbelanja.

Mendepani cabaran untuk mengurus keperluan, masyarakat perlu memahami apa keutamaan hidup serta mampu membezakan antara keperluan dan kehendak.

Keperluan ialah perkara asas yang wajib untuk kelangsungan hidup seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Kehendak pula merujuk kepada sesuatu yang boleh ditangguhkan dan tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.

Sebagai contoh membeli beras dan barang dapur setiap bulan adalah keperluan kerana setiap hari manusia perlu makan dan minum namun, membeli makanan atau minuman mahal untuk kepuasan atau semata-mata mengikuti trend media sosial lebih menjurus kepada kehendak dan gaya hidup.

Dalam konteks ekonomi hari ini, masyarakat perlu kembali kepada prinsip asas pengurusan kewangan iaitu we must prioritize our priorities.

Daripada membeli telefon pintar baharu hanya kerana ia sedang menjadi trend, lebih baik pengguna mengutamakan pembayaran bil, simpanan dan komitmen keluarga terlebih dahulu.

Ini adalah asas dalam mengurus keperluan yang bijak kerana pendekatan paling penting dalam konteks kehidupan ketika ini ialah mengenal pasti keutamaan hidup, membeli mengikut senarai keperluan utama, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan nilai berbanding gaya hidup.

Pengaruh media sosial ubah corak perbelanjaan

Kehidupan dalam dunia digital dan teknologi hari ini menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi budaya perbelanjaan masyarakat.

Media sosial bukan sahaja mengubah gaya hidup pengguna, malah mempengaruhi cara masyarakat dalam membuat keputusan kewangan.

Ramai di antara pengguna membeli sesuatu bukan kerana benar-benar memerlukannya, tetapi kerana terpengaruh dengan gaya hidup orang lain.

Budaya “orang ada, kita pun mesti ada” semakin menebal, khususnya dalam kalangan generasi muda yang terdedah kepada trend media sosial, sesi live shopping dan fenomena “beg kuning” di platform e-dagang.

Dari sudut psikologi pengguna, keadaan ini boleh dijelaskan melalui ‘Teori Hierarki Keperluan Maslow’ yang menyatakan bahawa manusia bukan sahaja terdorong memenuhi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, tetapi juga keperluan sosial, penghargaan diri dan penerimaan masyarakat.

Pada era media sosial hari ini, ramai pengguna membeli sesuatu bukan kerana benar-benar perlu, sebaliknya untuk mendapatkan pengiktirafan, rasa dihargai atau dilihat setanding dengan orang lain.

Hakikatnya trend sebegini lebih menjurus kepada rasa keinginan, keseronokan dan kepuasan jangka pendek demi kelihatan mewah atau setanding dengan orang lain di media sosial.

Fenomena pembelian secara impulsif juga semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna masa kini.

Tawaran jualan murah, promosi masa terhad serta strategi pemasaran agresif di platform digital mendorong pengguna membuat keputusan pembelian tanpa menilai kemampuan kewangan sebenar.

Dalam banyak keadaan, keputusan membeli tidak lagi berasaskan pertimbangan rasional, sebaliknya dipacu oleh emosi serta kepuasan segera yang bersifat sementara.

Semakin membimbangkan apabila pelbagai kemudahan pembayaran moden seperti Buy Now Pay Later (BNPL), pembayaran tanpa tunai, ansuran mudah dan promosi flash sale menjadikan proses berbelanja terlalu mudah dan cepat.

Tanpa disedari, ia turut mengaburkan kesedaran terhadap jumlah perbelanjaan sebenar.

Apatah lagi menjelang hari gaji, ramai terpengaruh untuk berbelanja tanpa kawalan sehingga menyebabkan berlaku aliran tunai yang drastik dalam kewangan peribadi. Situasi ini akhirnya akan menyumbang kepada tekanan kewangan apabila berbelanja melebihi kemampuan sebenar.

Menurut data Kementerian Kewangan, penggunaan skim BNPL meningkat ketara dengan jumlah pengguna mencecah sekitar 7.5 juta pada akhir 2025, berbanding hanya 2.6 juta pada 2023.

Dalam masa sama, hutang isi rumah Malaysia kekal tinggi apabila mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peranan pengguna

Pengguna memainkan peranan besar dalam melindungi kewangan diri dan keluarga. Pengurusan kewangan yang berdisiplin mampu membantu isi rumah bertahan walaupun berdepan tekanan kos sara hidup.

Dalam konteks ini, fokus utama perlu diberikan kepada tiga perkara asas iaitu praktis, tegas dan disiplin dalam mengurus kewangan harian. I

ni termasuk menyediakan bajet bulanan, membandingkan harga sebelum membeli, membeli secara berhemah serta mengurangkan pembaziran makanan, pakaian dan gaya hidup tidak sesuai seperti langganan yang tidak diperlukan.

Hari ini, pengguna sangat perlu menghargai setiap nilai sen dan ringgit yang ada. Pengguna perlu sedaya upaya membeli atau memasak mengikut keperluan, menyediakan sekadar yang perlu serta mengelakkan pembaziran.

Masa yang sama, perhatian juga perlu diberi kepada simpanan kecemasan walaupun kecil, mengelakkan hutang tidak perlu dan memanfaatkan bantuan atau subsidi yang disediakan kerajaan.

Pendidikan kewangan

Budaya berbelanja impulsif menjadi antara penyumbang utama kepada masalah kewangan rakyat.

Sikap membeli secara spontan tanpa berfikir panjang tentang keperluan, kemampuan kewangan atau kesan jangka panjang semakin membimbangkan.

Biarpun peniaga dan platform digital menggunakan pelbagai strategi pemasaran dan trik psikologi untuk menarik pengguna membuat pembelian namun, di sinilah pengguna perlu memainkan peranan sebagai pembeli yang matang dan rasional.

Ramai pengguna didapati berdepan masalah kewangan kerana kurang ilmu mengurus wang.

Statistik menunjukkan purata 18 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis setiap hari pada 2025 dan hampir 60 peratus daripadanya membabitkan golongan bawah usia 30 tahun.

Laporan media turut menunjukkan rakyat Malaysia membayar lebih RM23 bilion hutang kad kredit sepanjang 2025, sekali gus menggambarkan tahap pergantungan terhadap kredit pengguna yang masih tinggi.

Dalam konteks ini, pendidikan kewangan amat penting kerana ia bukan sekadar mengajar cara menyimpan dan mengurus wang, tetapi membentuk cara berfikir, merancang pembelian serta membuat keputusan kewangan secara bijak.

Justeru, pendidikan kewangan perlu didedahkan sejak kecil sama ada di rumah, sekolah mahupun tempat kerja agar masyarakat lebih bersedia menghadapi krisis ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Utamakan nilai, bukan gaya hidup

Pendekatan paling praktikal untuk mendepani cabaran ekonomi kehidupan hari ini ialah berbelanja secara sedar, realistik dan mengutamakan keperluan utama berbanding kehendak.

Masyarakat perlu membeli apa yang benar-benar diperlukan, memilih alternatif lebih menjimatkan dan mengutamakan fungsi berbanding jenama.

Antara langkah yang boleh diamalkan ialah memasak di rumah, membeli secara pukal, menggunakan pengangkutan secara bijak, mengurangkan langganan tidak perlu serta mengamalkan penjimatan elektrik dan utiliti lain.

Apa yang ditakuti adalah apabila semakin ramai hidup melebihi kemampuan, kuasa beli menjadi tidak sihat, tekanan mental meningkat dan jurang kewangan masyarakat juga boleh menjadi semakin besar.

Lebih membimbangkan, apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk membayar hutang dan komitmen tidak produktif, rakyat akhirnya mengurangkan perbelanjaan penting seperti pendidikan, kesihatan dan simpanan persaraan.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah memberi kesan kepada produktiviti ekonomi negara dalam jangka panjang.

Hakikatnya, ekonomi yang kukuh bukan hanya bergantung kepada pendapatan tinggi, tetapi kepada masyarakat yang bijak mengurus kewangan dan berbelanja secara bertanggungjawab.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kekuatan sebenar bukan terletak pada berapa banyak kita berbelanja, tetapi sejauh mana kita mampu mengurus kewangan dengan bijak.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah di Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)