Oleh Datuk Zahari Ibrahim
Dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar global, Malaysia tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelestarian sumber semula jadi terus terpelihara.
Justeru, usaha melalui Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bukan sekadar satu inisiatif dasar, tetapi merupakan satu gerakan nasional yang menuntut penyertaan seluruh lapisan masyarakat.
Usaha ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penanaman pokok dan pemeliharaan alam sekitar menunjukkan perkembangan positif apabila majoriti rakyat Malaysia kini lebih memahami peranan penghijauan dalam memastikan kelestarian alam sekitar negara.
Perkara ini dibuktikan menerusi satu kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menilai reaksi awam terhadap Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan di seluruh negara.
Kajian tersebut melibatkan 971 responden dari pelbagai latar belakang di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap inisiatif penghijauan negara.
Kajian yang dijalankan sepanjang tahun 2025 itu menggunakan pendekatan soal selidik dalam talian serta sesi temu bual bersemuka bagi mendapatkan maklum balas masyarakat tentang tahap pengetahuan, persepsi serta penyertaan mereka dalam program berkenaan.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menerajui pelaksanaan inisiatif ini di Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memikul amanah besar untuk memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak yang nyata dan berpanjangan. Peranan JPSM tidak terhad kepada aktiviti penanaman semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan ekosistem pelaksanaan – daripada penyediaan anak benih berkualiti, penentuan lokasi strategik, pemantauan pertumbuhan pokok, hinggalah kepada pendidikan dan penglibatan masyarakat”, ujar beliau.
“Dalam konteks ini, kami melihat bahawa kejayaan sebenar kempen ini bukan hanya diukur melalui jumlah pokok yang ditanam, tetapi sejauh mana ia mampu membentuk kesedaran kolektif rakyat untuk menghargai dan memelihara alam sekitar secara berterusan. Pokok yang ditanam hari ini adalah simbol komitmen kita terhadap masa depan generasi akan datang”.
Kesedaran masyarakat semakin meningkat
Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap Program Penghijauan Malaysia berada pada tahap yang memberangsangkan.
“Secara keseluruhan, lebih 62 peratus responden menyatakan mereka mengetahui mengenai kempen tersebut, manakala sebahagian lagi mula mengenali inisiatif berkenaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini”, ujar beliau lagi.
Peningkatan kesedaran ini menggambarkan bahawa pelbagai usaha promosi dan penyebaran maklumat yang dijalankan oleh agensi kerajaan serta organisasi berkaitan mula menunjukkan hasil yang positif.
Kajian turut mendapati bahawa sebahagian besar responden mula mengetahui mengenai program tersebut selepas tahun 2021, selaras dengan pelaksanaan kempen penanaman pokok secara lebih meluas di seluruh negara.
Sinergi media dan media sosial
Salah satu dapatan paling signifikan daripada kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ialah peranan media sosial sebagai medium utama penyebaran maklumat.
Hakikat bahawa hampir separuh responden mengenali kempen ini melalui platform digital memberi isyarat jelas bahawa pendekatan komunikasi perlu terus berevolusi.
Dalam era maklumat tanpa sempadan, naratif penghijauan perlu disampaikan dengan lebih kreatif, segar dan berimpak tinggi.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Perhutanan semenanjung Malaysia (JPSM) terus memperkukuh strategi komunikasi digital dengan memberi penekanan kepada kandungan yang lebih interaktif dan mudah diakses.
Generasi muda hari ini berinteraksi dengan maklumat melalui video pendek, visual dinamik dan pengalaman digital yang autentik.
Oleh itu, pendekatan seperti penceritaan visual mengenai transformasi kawasan hijau, perkongsian kisah kejayaan komuniti, serta penglibatan pencipta kandungan digital perlu dipergiatkan.
Hampir 49.4 peratus responden menyatakan mereka mengetahui tentang program tersebut melalui media sosial, menjadikannya saluran komunikasi paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Selain media sosial, maklumat mengenai program berkenaan juga diperoleh melalui aktiviti komuniti seperti gotong-royong, kempen kesedaran dan ceramah awam.
Komunikasi secara lisan atau word of mouth serta laporan media turut menyumbang kepada penyebaran maklumat mengenai program ini.
Justeru itu, JPSM ingin merakamkan penghargaan kepada semua organisasi media, pengamal media serta pencipta kandungan yang telah membantu menyebarluaskan usaha penghijauan negara ini.
Sama ada melalui laporan berita, dokumentari, kempen kesedaran, mahupun perkongsian di media sosial, setiap sumbangan ini telah memainkan peranan besar dalam membentuk kefahaman dan kesedaran masyarakat.
Peranan media arus perdana dalam membina kredibiliti maklumat serta media sosial dalam mencetuskan penglibatan aktif masyarakat merupakan gabungan yang sangat berkesan.
Penceritaan mengenai usaha komuniti, kejayaan program penanaman serta kepentingan memelihara alam sekitar yang diketengahkan oleh media memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat untuk terlibat dalam kempen ini.
Pada masa sama, JPSM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak media bagi memastikan mesej penghijauan negara dapat disampaikan secara berterusan, konsisten dan berimpak tinggi.
Pendekatan komunikasi yang lebih kreatif dan inklusif akan terus digerakkan agar maklumat yang disampaikan bukan sahaja difahami, malah mampu mendorong tindakan selain memastikan mesej berkaitan pemuliharaan alam sekitar dapat disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Kepentingan penanaman pokok
Kajian FRIM juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai persepsi yang sangat positif terhadap kepentingan penanaman pokok.
Sebanyak 99.4 peratus responden menyatakan penanaman pokok adalah penting, manakala 95.4 peratus responden menyatakan hasrat untuk menanam pokok pada masa hadapan.
Dapatan ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin menyedari peranan penanaman pokok dalam memelihara keseimbangan ekosistem, meningkatkan kualiti udara serta mengurangkan kesan perubahan iklim.
Selain itu, sebahagian besar responden turut berpendapat bahawa program penghijauan negara berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menanam lebih banyak pokok.
Apa yang lebih penting, momentum kesedaran yang telah dicapai ini tidak boleh dibiarkan terhenti. Kita perlu beralih daripada fasa kesedaran kepada fasa tindakan yang lebih menyeluruh dan tersusun.
Ini memerlukan kerjasama erat antara semua pihak – kerajaan, agensi pelaksana, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat.
Setiap pihak mempunyai peranan tersendiri, dan hanya melalui sinergi inilah agenda penghijauan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Impak positif terhadap alam sekitar dan masyarakat
Selain meningkatkan kesedaran awam, kajian juga menunjukkan bahawa Program Penghijauan Malaysia memberi impak positif terhadap persepsi masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Majoriti responden bersetuju bahawa program ini membantu meningkatkan kefahaman tentang kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan dalam memastikan keseimbangan ekosistem negara.
Program ini juga dilihat sebagai usaha penting dalam memelihara biodiversiti serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui persekitaran yang lebih hijau dan sihat.
Selain itu, terdapat pandangan bahawa program penanaman pokok mampu memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan melalui aktiviti berkaitan penyediaan anak benih, pengurusan landskap serta peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan.
Kepentingan kerjasama pelbagai pihak
Kajian tersebut turut menekankan bahawa kejayaan Program Penghijauan Malaysia banyak bergantung kepada penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat.
Kolaborasi antara pihak-pihak ini membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuk program penanaman pokok komuniti, kempen kesedaran alam sekitar serta program pendidikan berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
Melalui pendekatan kerjasama ini, usaha penghijauan negara dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berterusan.
Cadangan penambahbaikan program
Walaupun dapatan kajian menunjukkan persepsi masyarakat terhadap program ini adalah positif, beberapa cadangan turut dikemukakan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya pada masa hadapan.
Antara cadangan utama yang akan dilaksanakan oleh JPSM termasuk memperkukuh pendidikan alam sekitar di sekolah dan komuniti, memperluas penggunaan teknologi digital dalam pemantauan penanaman pokok serta meningkatkan kempen kesedaran melalui platform media sosial.
Kajian tersebut juga mencadangkan agar sistem pendaftaran dan pemantauan penanaman pokok ditambah baik bagi memastikan data pelaksanaan program lebih tepat dan mudah diakses oleh pihak berkaitan.
Menyokong agenda kelestarian negara
Secara keseluruhannya, kajian FRIM mengesahkan bahawa Program Penghijauan Malaysia berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penanaman pokok dan pemuliharaan alam sekitar.
Tahap sokongan yang tinggi daripada masyarakat menunjukkan bahawa usaha penghijauan negara bukan sahaja mendapat perhatian rakyat, malah berpotensi menjadi gerakan bersama yang mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar negara dalam jangka panjang.
Kita telah melihat tanda-tanda positif. Kini, cabaran adalah untuk memastikan kesedaran ini diterjemahkan kepada tindakan yang konsisten dan berimpak tinggi.
Jika momentum ini dapat dikekalkan, saya yakin Malaysia mampu muncul sebagai contoh negara yang berjaya mengimbangi pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
Komitmen berterusan daripada kerajaan, agensi pelaksana serta masyarakat, inisiatif penghijauan ini dilihat mampu memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem negara terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
Akhirnya, penghijauan negara bukan sekadar tentang menanam pokok. Ia adalah tentang menanam harapan, membina masa depan dan meninggalkan legasi yang bermakna kepada generasi akan datang.
-- BERNAMA
Datuk Zahari Ibrahim ialah Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.