Malaysia sedang menyaksikan satu perubahan yang menarik dalam landskap kesihatan penduduknya.
Kesedaran masyarakat terhadap pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan penjagaan kesihatan semakin meningkat.
Kemajuan dalam perkhidmatan kesihatan, teknologi perubatan dan pengurusan penyakit kronik turut membantu rakyat hidup lebih lama berbanding generasi terdahulu.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jangka hayat rakyat Malaysia terus meningkat.
Bayi yang dilahirkan pada tahun 2025 dijangka hidup sehingga purata 75.3 tahun, meningkat daripada sekitar 74 tahun beberapa tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas juga semakin bertambah, menandakan Malaysia sedang bergerak ke arah masyarakat menua.
Namun, dalam keterujaan melihat peningkatan jangka hayat ini, terdapat satu persoalan yang sering terlepas daripada perhatian.
Adakah tambahan tahun kehidupan itu disertai dengan keupayaan untuk bergerak secara bebas dan berdikari?
Hidup lebih lama sememangnya satu pencapaian. Namun hidup lebih lama tanpa keupayaan untuk berjalan dengan baik, bangun daripada kerusi tanpa bantuan, menaiki tangga dengan yakin atau menjalankan aktiviti harian secara sendiri mungkin bukan gambaran penuaan yang diimpikan oleh kebanyakan orang.
Cabaran mengekalkan mobiliti
Hakikatnya, cabaran sebenar pada hari tua bukan sekadar berapa lama kita hidup, tetapi sejauh mana kita mampu mengekalkan mobiliti.
Mobiliti merujuk kepada keupayaan seseorang untuk bergerak dengan selamat, cekap dan bebas. Ia bergantung kepada kekuatan otot, keseimbangan badan, fleksibiliti sendi, daya tahan kardiovaskular dan koordinasi pergerakan.
Kehilangan salah satu komponen ini boleh menyebabkan seseorang menjadi semakin bergantung kepada orang lain walaupun masih mempunyai jangka hayat yang panjang.
Ramai beranggapan pelaburan untuk hari tua hanya melibatkan simpanan kewangan.
Kita menyimpan wang dalam KWSP (contohnya), membeli insurans dan merancang persaraan. Semua itu penting. Namun terdapat satu lagi bentuk pelaburan yang sering diabaikan, iaitu pelaburan mobiliti.
Pelaburan mobiliti bukan melibatkan wang ringgit semata-mata. Ia melibatkan masa, disiplin dan komitmen yang konsisten terhadap kesihatan fizikal.
Setiap langkah berjalan kaki, setiap sesi latihan kekuatan otot, setiap aktiviti regangan dan setiap usaha mengekalkan berat badan yang sihat merupakan sumbangan ke dalam "akaun mobiliti" yang akan digunakan pada usia tua.
Bilakah pelaburan ini perlu dimulakan?
Bagi ramai individu, usia 40-an merupakan titik kesedaran yang penting. Pada usia ini, tubuh mula menghantar pelbagai isyarat yang sebelum ini jarang dirasai. Pemulihan selepas bersenam menjadi lebih perlahan.
Berat badan lebih mudah meningkat. Kekuatan otot mula berkurangan secara beransur-ansur dan kecederaan kecil mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Perubahan ini sebenarnya mempunyai asas fisiologi yang jelas. Selepas usia 30 tahun, manusia mula kehilangan jisim otot secara beransur-ansur.
Jika tidak ditangani melalui aktiviti fizikal yang sesuai, kehilangan tersebut menjadi semakin ketara apabila memasuki usia 40-an dan seterusnya meningkatkan risiko kelemahan fizikal pada usia tua.
Atas sebab itu, usia 40-an boleh dianggap sebagai tempoh kritikal untuk membina simpanan mobiliti. Ia bukan kerana sudah terlambat untuk bermula, tetapi kerana pada usia inilah kesan pilihan gaya hidup mula menjadi lebih jelas.
Pelaburan mobiliti juga tidak semestinya memerlukan aktiviti yang ekstrem. Apa yang lebih penting ialah konsistensi.
Berjalan kaki secara berkala, melakukan latihan kekuatan otot sekurang-kurangnya dua kali seminggu, mengekalkan fleksibiliti melalui regangan serta mengurangkan tempoh duduk yang terlalu lama merupakan antara strategi yang terbukti membantu mengekalkan fungsi fizikal apabila usia meningkat.
Akhirnya, masyarakat perlu mengubah cara berfikir tentang penuaan. Matlamat sebenar bukan sekadar menambah tahun dalam kehidupan, tetapi menambah kehidupan dalam tahun-tahun tersebut.
Kita mungkin tidak mampu menghalang proses penuaan. Namun kita masih boleh menentukan bagaimana kita ingin melaluinya.
Sama ada berjalan dengan yakin pada usia 70 tahun, atau bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan perkara-perkara asas, sebahagian besar jawapannya ditentukan oleh pelaburan yang dibuat hari ini.
Jika simpanan kewangan menentukan kualiti persaraan, maka simpanan mobiliti menentukan kebebasan dalam persaraan. Seperti mana-mana pelaburan yang baik, masa terbaik untuk bermula adalah sebelum kita benar-benar memerlukannya.
--BERNAMA
Dr Ezrin Hani Sukadarin ialah Prof Madya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).